KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat  Daerah (IPD) Polis di sini semalam oleh ahli-ahli Koperasi Permodalan  Felda (KPF) dan wakil peneroka terhadap Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa  Samad.
Laporan tersebut dibuat bagi meminta siasatan bahawa Isa telah  menyalahgunakan kuasa serta ‘merampas’ jawatan Pengerusi Permodalan  Felda Berhad daripada pemegang jawatannya Datuk Dzulkifli Wahab, secara  tidak sah semasa Dzulkifli berada di tanah suci Mekah menunaikan Umrah.
Mereka ditemani peguam Suhaimi Said yang juga Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
Menurut Suhaimi, semasa ketiadaan Datuk Dzulkifli Wahab yang juga  Pengarah Besar Felda, Isa telah mengadakan Mesyuarat Lembaga Pengarah  KPF pada 25 Ogos 2011 dan berbekalkan surat daripada Perdana Menteri,  Isa telah melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi KPF.
“Ini bertentangan dengan Undang-Undang di bawah Akta Koperasi 1993  (Pindaan 2007) Akta 502, dan telah menyalahgunakan kuasa kerana  mengangkat dirinya sendiri sebagai Pengerusi baru kepada KPF, mengambil  alih jawatan yang disandang oleh Datuk Dzulkifli Wahab semasa beliau  menunaikan Umrah di Mekah.
“KPF telah ditubuhkan pada 1hb Julai 1980 dibawah Ordinan Koperasi  1948 bertujuan untuk menjadikan KPF sebagai wadah simpanan dan pelaburan  anggota Felda.
“Penubuhan KPF ini telah menyerlahkan hasrat murni Felda untuk  memberi peluang secara adil kepada warga Felda untuk turut serta  memiliki ekuiti dalam syarikat-syarikat Felda melalui KPF, juga  merupakan suatu wawasan dan prihatin Felda untuk kemajuan warga Felda,”  tambahnya seperti dilapor Harakahdaily.
Menurut Suhaimi, Isa Samad tidak layak memegang jawatan selaku  Pengerusi KPF kerana beliau tidak layak menjadi ahli kepada KPF yang  membuka keahliannya hanya kepada Peneroka Felda, anak peneroka atau  kakitangan tetap Felda.
Tambahnya, kedudukan Isa hanyalah bertaraf kontrak justeru pelantikan  beliau sebagai Pengerusi KPF adalah bertentangan dengan undang-undang  koperasi dan menyalahgunakan kuasa dengan membuat perlantikan ke atas  dirinya sendiri.
“KPF merupakan salah sebuah daripada 10 koperasi cemerlang yang  menjadi contoh koperasi yang berjaya memberikan dividen yang tinggi atas  kadar 15% setahun dan ini membuktikan bahawa KPF telah dikelolakan dan  diselenggarakan dengan baik oleh Datuk Dzulkifli dan Ahli Lembaga  Pengarahnya.
“Pengambilalihan jawatan Pengerusi dengan cara yang bertentangan  dengan undang-undang koperasi ini adalah pengkhianatan kepada KPF dan  laporan dibuat supaya Isa disiasat kerana melanggar undang-undang dan  menyalahgunakan kuasa,” ujarnya.
Tambah Suhaimi, laporan yang sama telah dibuat serentak di  balai-balai polis utama di negeri-negeri Johor, Negeri Sembilan, Pahang,  Selangor dan Perak.
sumber : Keadilan Daily 
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.