13 Oct 2011

Di manakah kedudukan universiti kita?

Ngeow Chow Bing
Baru-baru ini dua senarai utama kedudukan universiti dunia, iaitu QS World University Rankings dan Times Higher Education (THE) diumumkan.  Isu kedudukan universiti negara kita dalam senarai dunia menjadi hangat semula.

Dalam senarai QS, Universiti Malaya kita melonjak, memasuki senarai 200 universiti terbaik.  Naib Canselor UM kini lebih kerap tampil di depan media, menyasarkan matlamat 100 universiti terbaik di dunia.  Namun, THE yang diumumkan selepas itu memperlihatkan tiada sebuah universiti tempatan yang tersenarai.  Naib Canselor UM memberi penjelasan bahawa cara penilaian THE tidak adil, maka universiti kita tidak terlibat.
Apakah lonjakan kedudukan menunjukkan bahawa UM telah maju ke depan?  Pada hakikatnya tidak.  Kita perlu meneliti bagaimana perkiraannya ketika menilai sesebuah universiti.  Menurut perkiraan QS, 40% adalah academic peer review; 10% adalah recruiter review, 20% adalah nisbah fakulti-penuntut; 20% adalah citations per faculty, dan 10% adalah orientasi antarabangsa.

Sementara perkiraan THE lebih kompleks.  Secara keseluruhannya, 30% berkenaan dengan pengajaran, 30% adalah kuantiti hasil kajian, dan 30% mengenai kualiti hasil kajian, dan 10% lagi mengenai "pengantarabangsaan".

UM maju dalam bidang?
Rata-ratanya dalam bidang akademik bersetuju bahawa senarai THE lebih objektif.  Dalam perkiraan QS, bahagian "academic peer review" sering dipertikaikan.  Ini kerana penilaian sedemikian kekurangan asas saintifik, malah Pengarah THE Phil Baty menganggap sampel statistik yang digunakan dalam "academic peer review" tidak mencukupi.

Bahagian "recruiter review" juga berdepan dengan masalah kurang sampel.  Di samping itu, dalam kedua-dua bahagian "academic peer review" dan "recruiter review", sebahagian penilai disyorkan oleh universiti itu sendiri.  Dengan kata lain, universiti boleh mengesyorkan korporat dan ahli akademik yang mempunyai hubungan baik dengan universiti itu untuk menilainya.

Dua penilaian yang bermasalah ini telah mencakupi 50% daripada penilaian keseluruhannya.  Dalam bahagian nisbah penuntut, pengantarabangsaan dan sebagainya, amat mudah untuk ditingkatkan markahnya.  Misalnya, dengan mengupah lebih ramai warga asing, atau mendaftarkan lebih ramai penuntut asing - maka markah akan bertambah, tanpa mengira bagaimana kualitinya.  Dalam perkiraan QS, bahagian yang betul-betul berkaitan dengan akademik adalah "Citations per faculty" yang mencakupi nisbah 20%.

Ketika menilai kemajuan UM, apa yang diteliti bukan mata keseluruhannya, tetapi juga bahagian mana yang telah menunjukkan kemajuan, dan bahagian mana pula yang perlu diperbaiki.  Seandainya kita cemerlang pada bahagian nisbah pensyarah-penuntut, pengantarabangsaan dan sebagainya, itu bukan kemajuan yang sebenarnya - kerana mata ini boleh dikutip tanpa kemajuan dari segi akademik.

Seandainya UM maju pada bahagian "citations" (pengaruh dan pengiktirafan akademik), maka memadailah kita ucapkan syabas kepadanya.  Namun, benarkah UM maju pada bahagian "citations"?

Satu dokumen dari pejabat Naib Canselor UM menunjukkan bahawa prestasi akademik UM pada tahun 2010 amat memalukan, seandainya dibandingkan dengan universiti di negara asing.  Dalam dokumen ini, muka surat 14 hingga 21 memperlihatkan bagaimana ketinggalannya UM dan akademik negara kita secara keseluruhannya.  Muka surat 14 menunjukkan prestasi akademik kita secara keseluruhannya dilewati Thailand.  Pada muka surat 15, perbezaaan Universiti Tokyo dengan UM boleh diibaratkan bagai langit dan bumi.

UM dan Universiti Singapura berada pada paras yang sama pada tahun 1980, namun kini pencapaian akademik Singapura secara keseluruhannya adalah tiga kali ganda pencapaian UM.  Seandainya QS 2011 menggunakan maklumat tahun 2010, maka saya amat meragui kemajuan prestasi UM dalam bahagian "citations".

Seandainya UM menyertai senarai THE, amat pasti bahawa UM dan mana-mana institusi pengajian tinggi di Malaysia gagal melayakkan diri ke dalam senarai 200 universiti terbaik di dunia.

Gunakan cara yang betul


Naib Canselor UM Dr. Ghauth Jasmon (gambar kanan) menganggap perkiraan THE tidak adil, salah satu faktornya dari segi peruntukan penyelidikan.  Menurutnya, UM gagal menyaingi universiti di Amerika-Eropah dari segi ini.  Namun, seandainya kita meneliti perkiraan THE, kita akan mendapati bahawa nisbah peruntukan penyelidikan tidak tinggi.

Adalah sesuatu yang baik apabila NC berazam untuk memimpin UM ke arah senarai 100 universiti terbaik QS.  Bagaimanapun, ia harus dilakukan dengan usaha yang konkrit, dan bukannya meningkatkan mata atau ranking dengan cara pentadbiran.

Pada hakikatnya, UM dan institusi pengajian tinggi yang lain harus menyasarkan senarai THE, untuk bersaing dengan universiti negara asing.  Jika gugur dari senarai pun, sekurang-kurangnya kita tidak mengambil kesempatan untuk "bergimik", kita perlu menampilkan apa yang sebenarnya ada pada kita.  Lantas kita menyedari di manakah paras akademik kita, agar kita mampu memperbaiki diri dan mengubat bahagian mana yang perlu.

*Ngeow Chow Bing ialah pengkaji politik dan kolumnis di MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Disedut, diterjemah dan disunting daripada teks asal yang disiarkan pada pada 12 Oktober 2011.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.