13 Oct 2011

Jelaskan bentuk pembangunan Kampung Baru – Tian Chua

(Oleh: Nabihah Hamid)
KUALA LUMPUR : Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua menggesa Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menjelaskan bentuk pembangunan di Kampung Baru.
Tegasnya, rancangan pembangunan menerusi Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011 yang diluluskan minggu lalu, masih kabur dan tidak jelas pelaksanaanya.

“Isunya ialah corak pembangunan yang dilaksanakan tidak memberi kuasa kepada pemilik tanah untuk menentukan corak pembangunan,”
“Kita tidak menolak pembanggunan tetapi apabila kuasa tidak diberikan kepada pemilik, yang dibimbangi adakah tanah itu akan terus kekal menjadi hak pemilik tanah?,” soalnya.
Tian berkata, penduduk juga masih tidak jelas tentang reka bentuk pelan pembangunan yang ingin dilakukan kerajaan.
“Kerajaan tidak beri jaminan, ini adalah satu perkara yang memberi kesan 100 tahun akan datang. Undang-undang ini meminggirkan hak pemilih tanah iaitu satu-satunya warisan Melayu,” ujar Tian.
Sebelum ini Nong Chik menafikan penubuhan perbadanan  itu berniat untuk mengambil tanah pemilik di Kampung baru sebaliknya sebagai pemudah cara membangun dan memajukan orang Melayu di kawasan itu.
Namun Tian Chua membidas ekoran perbadanan tersebut yang mungkin tidak lagi mewakili suara majoriti penduduk Kampung Baru.
Sebelum ini, Penasihat Undang-undang Sekretariat Pembangunan Kampung Baru, Zulhazmi Sharif mengatakan MAS sebagai Lembaga Pentadbir Kampung Baru bakal kehilangan fungsi apabila hampir kesemua ahli lembaganya diserap ke dalam Perbadanan Kampung Baru.
Menurutnya, penubuhan Malis Penasihat kepada Perbadanan Pembangunan Kampung Baru juga dilihat sebagai satu gimik politik semata-mata kerana Perbadanan tidak terikat untuk mendengar ‘nasihat’ yang diberikan majlis tersebut.
“MAS yang terdiri dari 7 Ketua Kampung dalam Kampung Baru yang selama ini menjadi pemutus akan kehilangan fungsi. Ini kerana taraf ahli Majlis Penasihat tidak sama dengan ahli lembaga MAS yang berkuasa mentadbir,” katanya.
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) minggu lalu berkata penduduk Kampung Baru turut menolak akta tersebut kerana tidak mendapat mandat sepenuhnya dari pemilik dan pewaris tanah di Kampung berkenaan.
Kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor, meskipun status tanah bertukar dari Pertanian kepada tanah Pusat Bandaraya Komersial (CCC), namun dakwanya, penduduk terikat kepada kuasa pentadbiran Perbadanan.
Malah, melalui Akta tersebut pihak Perbadanan mempunyai kuasa merampas mana-mana tanah dengan membayar gantirugi yang nilainya ditentukan oleh oleh pihak lembaga yang dilantik oleh Menteri.
DPPM juga, tambahnya, melihat pindaan kecil terhadap senarai ahli lembaga Perbadanan dengan melantik seorang wakil penduduk sebagai timbalan pengerusi sebagai gimik politik.
Beliau mendakwa, ini kerana yang bakal dilantik nanti sudah pasti di kalangan orang Umno yang menjadi penyokong menteri.
sumber : Keadilan Daily

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.