KUALA LUMPUR 7 Dis : Skandal projek lembu oleh National Feedlot Corporation (NFC) yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil, terus menerima kecaman banyak pihak selepas isu itu didedahkan beberapa minggu lalu.
Ia berikutan kerugian operasi syarikat berkenaan dan kegagalannya mencapai sasaran penternakan lembu, meskipun mendapat peruntukan dana sebanyak RM250 juta.
Antara lain, NFC didakwa membeli dua unit kondominum mewah di Bangsar, termasuk membeli kereta mewah Mercedes Benz dan membiayai percutian keluarga Shahrizat ke luar negara.
Tinjauan yang dijalankan Keadilan Daily mendapati rata-rata orang ramai yang ditemui mahu kerajaan memberi penjelasan berhubung penyelewengan dana berkenaan.

Seorang pekerja sektor kerajaan Abdul Majid, 46, ketika ditemui menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap penafian Shahrizat dengan syarikat milik suaminya itu.
“Ini bukan duit yang sikit. Projek Lembu ini besar dan dana RM250 juta adalah jumlah yang besar. Rakyat berhak tahu bagaimana wang dana rakyat yang disalurkan.
“Dia (Shahrizat) kata tiada kaitan dengan perniagaan suaminya. Kita boleh fikir secara logik akal. Takkanlah tiada apa-apa pengaruh dari jawatannya dalam projek tersebut?,” soal beliau.