KUALA LUMPUR, 13 Okt: Dewan Rakyat diberitahu seramai 820,156 orang mendaftar sebagai pemilih baru bagi tahun 2010 berbanding 276,621 pada tahun 2009.
Menteri  di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam jawapan  bertulis kepada soalan ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong  berkata, jumlah permohonan pendaftaran baru ini berbeza dari tahun ke  tahun kerana ia bergantung kepada kesedaran warganegara Malaysia yang  berkelayakan untuk mendaftar sebagai pemilih.
Selain itu katanya, ia juga berkait dengan sentimen keadaan politik semasa.
"Berdasarkan  trend, jumlah permohonan adalah rendah dalam tempoh selepas berakhirnya  pilihan raya umum dan akan berlakunya peningkatan yang ketara dalam  jumlah permohonan apabila masyarakat umum menjangkakan tarikh pilihan  raya sudah semakin hampir," katanya yang juga ahli Parlimen Padang  Rengas.
Menjawab soalan Chin Tong mengenai bilangan pegawai  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yabg ditugaskan di seluruh negara untuk  memproses pendaftaran pemilih baru, beliau memberitahu SPR mempunyai 132  pegawai dan kakitangan yang berkhidmat secara tetap.
Di samping  itu, sehingga Ogos 2011, SPR melantik seramai 10,865 Penolong Pendaftar  Pemilih (PPP) yang terdiri daripada 2,845 wakil parti politik, 3,992  wakil jabatan, 779 wakil pertubuhan dan 2s9 wakil universiti.
Ianya  untuk membantu SPR menerima permohonan pendaftaran baru dan pendaftaran tukar alamat pusat mengundi.
"Pelantikan  ini adalah bagi tempoh tertentu dan penamatan boleh dilakukan pada pada  bila-bila masa bergantung pada syarat-syarat yang ditetapkan SPR,"  katanya.
Sementara itu, peruntukan yang ditetapkan untuk tujuan pendaftaran pemilih berjumlah RM500,000.
Manakala  tempoh bagi satu-satu permohonan yang diterima oleh SPR sama ada untuk  mendaftar sebagai pemilih baru atau pun memohon pertukaran alamat pusat  mengundi, ia diproses dan diperakui mengikut tempoh suku tahun yang  lazimnya mengambil tempoh masa antara tiga hingga lima bulan seperti  berikut:
Suku Tahun Pertama (pendaftaran yang diterima dalam bulan Januari hingga Mac), pengesahannya dijangkakan dalam bulan Mei.
Suku tahun Kedua (pendaftran yang dietrima dalam bulan April hingga Jun), pengesahannya dijangkakan dalam bulan Ogos.
Suku Tahun Ketiga (pendaftaran yang diterima dalam bulan Julai hingga September), pengesahannya dijangkakan dalam bulan November
Suku  Tahun Keempat (pendaftaran yang diterima dalam bulan Oktober hingga  Disember), pengesahannya dijangkakan dalam bulan Februari tahun yang  berikutnya.
sumber : Harakah Daily 
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.