DAP memperolehi hampir 900,000 undi atau 12.8 peratus daripada keseluruhan undi bagi kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum 2008. Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri, DAP mendapat 1.1 juta undi atau 14 peratus.
Peratusan undi terbanyak DAP di peringkat DUN diperolehi di Pulau Pinang dengan 54.6 peratus dan Perak 42.4 peratus.
Selepas PRU 2008, sebanyak 16 pilihan raya kecil diadakan. DAP hanya bertanding satu PRK bagi Parlimen Sibu di Sarawak pada Mei 2010. Kemenangan berpihak kepada DAP dengan mendapat 18,845 undi atau 49.7 peratus.
Pada April 2011, DAP yang meletakkan 15 calon dalam pilihan raya negeri Sarawak telah menang 12 kerusi dengan mendapat 134,847 undi atau 20 peratus daripada keseluruhan undi.
Walau pun Barisan Nasional mengekalkan penguasaan, keputusan DAP amat membanggakan kerana menambah kerusi bnegitu banyak berbanding hanya enam yang dimenangi pada 2006.
Dalam PRU 2008, ramai pengundi Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain telah memilih DAP. Pilihan raya negeri Sarawak 2011 pula menyaksikan 32 peratus undi DAP diperolehi daripada kaum Iban, Bidayuh, Melayu dan Melanau.