KUALA LUMPUR, 13 Okt: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk  Mahfuz Omar  mendesak agar kerajaan menghentikan Program Latihan  Khidmat Negara  (PLKN) yang dilihat gagal membuahkan hasil positif  kepada negara selain  dapat mengurangkan defisit negara.
Beliau semasa membahas Belanjawan 2012 di Parlimen hari ini berkata,  sepatutnya kerajaan mengemaskan intitusi pendidikan dengan menerap balik  subjek yang diajar di PLKN bukannya melaksanakan program tersebut.
"Peruntukan  sebanyak RM5 bilion yang digunakan untuk PLKN sepatutnya diserap kepada  sekolah-sekolah atau membina lebih banyak sekolah-sekolah teknikal dan  serapkan juga pelajaran yang diajar ke sekolah dan dengan cara ini  penjimatan dapat dilakukan.
"Bagi saya peruntukan yang besar  dibelanjakan itu amat merugikan kerana kita tidak nampak hasil yang  diperolehi, ia bukan satu angka yang kecil malah saya mendesak agar  kerajaan menutup PLKN dengan secara tidak langsung defisit negara dapat  dikurangkan," jelasnya.
Tambahnya lagi melalui perancangan yang  terancang dilakukan pada awal persekolahan akan lebih baik dari apa yang  dilakukan pada program PLKN itu.
"Jika program selama tiga bulan  itu berjaya dilakukan dalam membaiki jati diri remaja sepatutnya ia  diserap ke dalam alam persekolahan lebih awal lagi bukannya melalui PLKN  dengan ini peruntukan yang besar itu boleh digunakan untuk manfaat bagi  sektor lain juga selain menaikkan martabat persekolahan," katanya.
Tiada jaminan harga barang tak naik
Mahfuz  juga memberitahu bahawa kerajaan sehingga kini melalui belanjawan yang  dibentangkan itu tidak dapat memberi jaminan bahawa pada tahun hadapan  harga barang keperluan tidak akan naik begitu juga harga minyak.
"Dengan  perkembangan ekonomi yang ada sekarang saya pasti bebanan rakyat  semakin bertambah dan sehingga kini tidak ada jaminan diberi oleh  kerajaan bahawa harga minyak dan juga barang keperluan tidak akan naik  pada tahun hadapan.
"Kita melihat belanjawan sekarang adalah  bersikap defisit dan bagi mengurangkan defisit sudah pasti kerajaan akan  meletakkan bebanan tersebut kepada rakyat dengan cara mengurangkan  defisit pada harga minyak.
"Bila subsidi dikurankan maka harga minyak akan naik begitu juga harga barang keperluan yang lain," katanya lagi.
Mahfuz  berharap kerajaan kembali merangka bagaimanakah untuk menambah  pendapatan negara dengan meneroka sumber-sumber baru negara dan bukannya  hanya tertumpu kepada cara memberi bebanan kepada rakyat.
"Belanjawan  ini umpama umpan pancing yang mana disebalik umpan tersebut ada mata  kail yang menanti rakyat. Belanjawan nampak baik tetapi bebanan akan  ditanggung oleh rakyat," jelasnya lagi.
Kerana Mohamad Sabu
Dalam  pada itu beliau juga menekankan kerajaan hanya sedar tentang jasa yang  telah diberikan oleh mereka yang telah berjuang setelah perkara tersebut  ditimbulkan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, jika tidak sudah  pasti sehingga sekarang kerajaan tidak akan mengambil serius pembelaan  terhadap bekas-bekas tentera yang telah tamat bertugas.
"Disebabkan  oleh Mat Sabu baru kerajaan ingin sedar dan memberikan sumbangan  bersifat 'One Off' kepada keluarga bekas angkatan tentera malah  mengambil berat dengan mereka yang telah tamat berkhidmat.
"Tapi  apa yang mereka akan dapat jika hanya diberika sumbangan sedemikian dan  ia tidak dapat mengubah langsung kedudukan ekonomi mereka. Kita melihat  pemandu-pemandu teksi diluar sana kebanyakkan mereka adalah bekas  tentera yang telah tamat berkhidmat dan jika kerajaan benar-benar  perihatin sepatutnya mereka diberi permit persendirian bukannya  membiarkan mereka bekerja dengan syarikat-syarikat teksi tersebut,"  sambungnya lagi.
sumber : Harakah Daily 
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.