Belum pun reda dengan kejayaan gerakan mahasiswa menekan Universiti
Islam Antarabangsa untuk menarik balik penggantungan Prof. Dr Abdul Aziz
Bari baru-baru ini. Mahkamah Rayuan telah mencatatkan satu lagi sejarah
dalam gerakan mahasiswa apabila telah mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a)
Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 bercanggah / ‘ultra-virus’
dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Dato’ Hishamudin Yunus di dalam penghakiman bertulisnya
menyatakan peruntukan Seksyen 15(5)(a) akan memandulkan daya fikir
kritikal dan sihat para mahasiswa. Universiti bukannya kilang untuk
membiakkan para robot dan mesin pekerja, tetapi jauh lebih besar dari
itu, ia adalah gedung melahirkan para pemikir dan reformis. Mahkamah
Rayuan juga secara tidak langsung telah mengiktiraf hak-hak kebebasan
asasi sebagai struktur asas dan roh di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mahasiswa telah melakar sejarah kegemilangannya satu ketika dahulu,
sebagai agen pendesak dan pengimbang bagi pemerintah. Demonstrasi
Baling, penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, Bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar di Universiti Malaya dan Kempen Anti-Tunku adalah
antara kenangan manis dalam sejarah gerakan mahasiswa.
Pertubuhan Pembela Hak Orang Melayu (PERKASA) sekali lagi cuba
ungkitkan isu berbau perkauman yang cukup sensitif. Ini adalah berhubung
dengan keputusan Putrajaya menarik balik novel ‘Interlok’ sebagai teks
sastera.
PERKASA cuba membela seorang penulis tetapi menghina keseluruhan
kaum India di negara ini. Perkasa menghina kaum India sebagai gologan
minoriti yang sudah besar kepala. Setiasausaha Agung PERKASA Syed
Hassan Syed Ali menunjukkan rasa kesal dan kecewa terhadap kerajaan
kerana menggugurkan novel kontroversial Interlok yang menghina kaum
India.
Beliau berkata, kerajaan terlalu lemah dan gagal mempertahankan
tekanan daripada golongan minoriti yang besar kepala. Beliau juga
membuat kenyataan bahawa ‘Ini sangat biadap. Kerana undi kaum India,
maruah penulis Melayu terhina’.