13 Oct 2011

Bajet 2012: Mekanisme pelaksanaan perlu diperkemaskan

1. Ada dua perkara yang menarik perhatian saya dalam pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri minggu lalu.

2. Pertamanya pemansuhan semua yuran sekolah rendah dan menengah. Dan keduanya pemberian bantuan RM 500 kepada keluarga berpendapatan RM 3,000 dan ke bawah.  Kedua-dua perkara ini sangat dekat dengan hati rakyat berpendapatan rendah namun ia memerlukan pemantauan dan mekanisme pelaksana yang cekap.
3. Penghapusan yuran sekolah pernah diumumkan sebelum ini dalam Bajet beberapa tahun lalu.  Namun ia tidak terhapus sepenuhnya kerana ada yuran yang masih dikutip bagi menampung tabung sekolah untuk perjalanan aktiviti dan juga pentadbiran.

4. Dengan penghapusan sepenuhnya ini, kerajaan perlu memperuntukkan dana kepada sekolah sebagai ganti penghapusan yuran ini.  Selain itu, pentadbiran sekolah harus diperingatkan agar tidak mewujudkan sebarang bentuk kutipan yuran tambahan dan sebagainya sehingga memberi gambaran seolah-olah pengumuman kerajaan mengenai sekolah kebangsaan yang percuma sepenuhnya hanya satu sandiwara.

Mekanisme Bantuan RM 500

5. Pelaksanaan cadangan pemberian RM 500 kepada setiap isi rumah yang berpendapatan di bawah RM3,000 merupakan satu cabaran yang sangat besar kepada jentera kerajaan.  Ini kerana kerajaan perlu mengenal pasti keluarga yang berpendapatan di bawah RM3,000 bagi mengelakkan berlakunya penipuan dan juga penganiayaan.

6. Kebergantungan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak akan banyak membantu kerana kebanyakan mereka yang berpendapatan di bawah RM 3,000 di luar bandar bukan kumpulan yang "makan gaji".

7. Saranan pendaftaran melalui LHDN bukan sahaja akan menambah beban kerja agensi tersebut malah akan menyusahkan golongan sasaran di luar bandar.  Adalah kurang wajar untuk meminta ketua isi rumah yang berada di kampung-kampung e LHDN bagi mengisi borang pendaftaran dan pengisytiharan hanya semata-mata untuk satu bayaran sekali sahaja berjumlah RM500.00.

8. Sungguhpun jumlah ini agak besar namun janganlah sampai pelaksanaannya menyebabkan RM500 tersebut tinggal RM300 kerana mereka yang layak terpaksa menghabiskan wang ke bandar untuk mendaftar dengan LHDN.

7. Justeru penggunaan jentera di peringkat akar umbi sangat penting bagi membantu kumpulan sasar ini.  Oleh kerana Bajet 2012 dianggap tidak relevan oleh pembangkang, maka kerajaan perlu bekerjasama dengan Barisan Nasional bagi mengenal pasti dan menyediakan pangkalan data kumpulan sasar ini.

8. Jentera politik Barisan Nasional di peringkat bawahan boleh digunakan untuk menghantar nama berserta bukti perkahwinan dan juga pengesahan pendapatan oleh Penghulu atau Ketua Kampung bagi setiap nama yang dihantar.  Senarai ini kemudiannya perlu disemak oleh pegawai kerajaan bagi memastikan ada ketelusan dan kejujuran dalam pelaksanaannya.

9. Cadangan penggunaan Pos Malaysia sebagai agen pembayaran sangat tepat memandangkan ia mempunyai rangkaian yang meluas dan cekap termasuk di kawasan luar bandar.

10. Lebih penting pemberian ini perlu dilakukan setelah senarai dimuktamadkan agar ia tidak menimbulkan kekeliruan apabila ada pihak yang telah dapat dan ada pula yang belum dapat.

11. Kerajaan juga perlu melaksanakan pemberian ini sebelum pilihan raya umum ke-13 atau berhadapan dengan tuduhan pembangkang bahawa ia hanya sandiwara pilihan raya.

12. Apa yang rakyat mahukan adalah kejujuran kerajaan dan kesungguhan Najib diterjemahkan.  Biar nanti rakyat akan berkata indah khabar, indah lagi rupanya bukannya "indah Khabar dari Rupa".

*Tulisan ini dipetik dari blog Khir Toyo (gambar kanan), bekas Menteri Besar Selangor.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.