GEORGETOWN, 13 OKT – Yang membezakan negeri-negeri Pakatan Rakyat  dengan Barisan Nasional ialah Pakatan tidak meminjam duit untuk  diberikan kepada rakyat, sebaliknya menggunakan lebihan Bajet untuk  diberikan kepada mereka yang memerlukan.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, sikap Kerajaan  Persekutuan yang boros berbelanja dan meminjam semata-mata untuk meraih  undi merupakan punca rakyat telah menjadikan Malaysia sebagai antara  negara yang banyak berhutang.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata demikian dengan merujuk  kepada Laporan Tahunan Bank Negara 2010 yang mendedahkan bahawa hutang  isi rumah rakyat Malaysia adalah kedua tertinggi selepas Korea Selatan.
“Laporan itu mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir  tahun 2010 adalah sebanyak RM581 bilion atau 76 peratus daripada KDNK,”  katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, nisbah bayaran hutang  isi rumah rakyat Malaysia pada 2010 adalah 47.8 peratus, bermakna  hampir separuh pendapatan isi rumah rakyat Malaysia digunakan untuk  membayar hutang.
“Jelas rakyat Malaysia telah membentuk negara yang banyak berhutang,  terutamanya apabila kerajaan persekutuan memberikan wang yang diperolehi  daripada pinjaman,” katanya.
Beliau menjelaskan, negeri-negeri Pakatan Rakyat lebih jujur dengan  memberikan bantuan tunai kepada golongan miskin berdasarkan hasil dari  lebihan bajet, berbanding BN yang turut menawarkan bantuan yang sama  tetapi dengan bergantung pada lebihan defisit perbelanjaan dan pinjaman  kewangan.
Jelas beliau lagi, ramai pakar ekonomi telah memberi amaran bahawa  risiko Bajet 2012 BN akan membawa negara kepada perbelanjaan yang tidak  mampan kerana tidak sesuai dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang  mengalami kemelesetan.
“Dr Marie-Aimee Tourres, felo penyelidik kanan di Fakulti Ekonomi dan  Pentadbiran Universiti Malaya menyatakan bahawa bajet ‘buah tangan’ BN  ini tidak dikaitkan dengan mana-mana komitmen produktiviti.
“Jelas bajet pilihan raya ini direka untuk meraih pengundi dan dalam  masa sama, DAP tidak nampak sebarang usaha (BN) untuk memerangi rasuah  atau pun ketirisan dalam pengurusan sumber negara,” katanya.
Oleh itu, Guan Eng yang juga Adun Air Puteh tidak yakin bahawa  sasaran Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan defisit akan dapat  dicapai menjelang tahun hadapan.
“Pungutan hasil adalah terlalu optimistik dan boleh menyebabkan  peningkatan hutang kerajaan persekutuan untuk membiayai perbelanjaan  defisit ini,” katanya.
Kerajaan BN pada sesi pembentangan Bajet 2012 Jumaat lalu menyasarkan  defisit bajet dapat dikurangkan dari 5.4 peratus kepada 4.7 peratus  daripada KDNK, iaitu bersamaan RM45.5 bilion untuk tahun ini kepada RM43  bilion menjelang 2012. – Roketkini.com

 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.