KUALA LUMPUR: Pemberian Kad Pengenalan (MyKad) segera kepada warga  asing bagi tujuan mengundi Umno-BN, merupakan tindakan terdesak Datuk  Seri Najib Razak, kata Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.
Tindakan itu katanya, menunjukkan perdana menteri sendiri tidak yakin  untuk menang pilihan raya umum akan datang, kecuali mengamalkan taktik  kotor.
Beliau berkata demikian mengulas kehadiran lebih 200 warga asing dari Johor yang dikesan di sebuah resort di Putrajaya, semalam.
Mereka yang terdiri daripada warganegara Indonesia, Bangladesh dan  Kemboja, dibawa menaiki enam buah bas, dipercayai untuk diberikan kad  pengenalan bagi mengundi kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.
“Persoalan paling besar dalam isu ini ialah kalau benarpun mereka  berstatus penduduk tetap dan layak mendapat warganegara, megapa perlu  memberi Mykad di resort?
“Ini menunjukkan sistem terancang pentadbiran Najib untuk terus  menjadikan warga asing sebagai pengundi Umno-BN untuk menang PRU,” kata  Yusmadi.
Beliau menegaskan pendedahan Pemuda Pas itu juga mengesahkan  pendedahan Jabatan Perdana Menteri Bangladesh sebelum ini, bahawa  rakyatnya memperoleh MyKad mudah di Malaysia, dengan syarat mengundi  Umno-BN.
“Kita harus ingat, sehingga kini tiada penafian secara rasmi dan  secara langsung dari PM Bangladesh sendiri mengenai kenyataan yang  pernah dikeluarkannya sebelum ini,” tegasnya.
Beliau turut meminta  pimpinan dan jentera parti di setiap negeri  memantau keadaan itu dan melapor serta mendedahkannya kepada media.
Sementara itu, Pas pula menuntut penjelasan segera daripada  Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung kehadiran warga asing  berkenaan.
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub di parlimen hari ini berkata, KDN  harus memberikan penjelasan kerana pihaknya mengesyaki ia bertujuan  membolehkan warga asing berkenaan menjadi pengundi pada PRU 13.
sumber : Keadilan Daily 
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.