(Oleh: Rusnizam Mahat)
KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, pentadbiran Barisan-Nasional (BN) perlu memperincikan berapakah jumlah kos pembangunan dan kos mengurus dari hutang negara sebanyak RM437 bilion.Menurut Rafizi, terdapat dua akta yang mengehadkan jumlah hutang kerajaan iaitu Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983.
“BN langsung tidak sentuh berapakah jumlah hutang yang boleh diambil kerajaan yang dihadkan oleh undang-undang.
“Berdasarkan kedua akta ini, jumlah terkumpul hutang kerajaan tidak boleh melebihi 55 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tujuan pembangunan,” katanya kepada Keadilandaily.
Menurutnya, berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM), angka hutang negara setakat suku kedua tahun ini iaitu sehingga Jun lalu, sudah melebihi 53 peratus dari KDNK.
“Kalau hutang negara setakat Jun 2011, sudah 53 peratus dari KDNK, ia sudah hampir nyawa-nyawa ikan.
“Untuk tempoh enam bulan terakhir 2011, dianggar kerajaan akan berhutang sebanyak 2 peratus lagi dan ini sudah tentu dengan hutang bagi belanjawan defisit 2012 sebanyak RM46 bilion.
“Dua peratus ini dianggar berjumlah RM18 bilion, dan apa sahaja tambahan hutang melebihi RM18 bilion telah pun melanggar undang-undang negara,” katanya.
Justeru katanya, untuk memastikan hutang negara kekal pada had 55 peratus dari KDNK, kerajaan perlu samada meminda akta berkenaan atau memotong perbelanjaan bagi mengurangkan hutang negara.
Namun katanya lagi, sekiranya kerajaan memberi jawapan nisbah perbelanjaan mengurus lebih banyak berbanding pembangunan dari hutang negara, ia juga bermakna kerajaan berada dalam situasi panik.
“Ini kerana negara tidak perlu berhutang untuk belanja mengurus. Sepatutnya kerajaan tidak meminjam langsung untuk tujuan mengurus.
“Secara logiknya, hutang digunakan untuk tujuan pembangunan dan bukan mengurus. Sekiranya kita meminjam duit untuk membayar gaji kakitangan awam, ia membayangkan negara ke arah bankrap,” ujarnya.
Minggu lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan hutang negara yang kini meningkat sebanyak RM437 bilion, berdasarkan Laporan BNM setakat suku ke 2 tahun ini.
Jika unjuran KDNK bagi 2011 dibuat berdasarkan pertumbuhan 5 peratus, maka kadar keberhutangan negara kini mencecah 53 peratus dari KDNK.
Kadar itu jauh lebih tinggi berbanding pada 2007 iaitu sebanyak 42 peratus dari KDNK negara. Manakala kadar hutang isi rumah pula mencecah RM577 bilion iaitu 77 peratus dari KDNK, berbanding pada 1997 hanya 33 peratus dari KDNK.
sumber : Keadilan Daily
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.