13 Oct 2011

Kebebasan Ekonomi Prasyarat Perubahan

Sekali lagi tahun ini kita disajikan dengan Laporan Tahunan Kebebasan Ekonomi Dunia yang diterbitkan oleh Fraser Institute, Kanada.  Seperti tahun-tahun yang lalu, Laporan Tahunan ini mengandungi satu indeks penting yang mengukur dan membandingkan tahap kebebasan ekonomi 141 negara seluruh dunia.

Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) mula terlibat dengan penerbitan Laporan Tahunan Kebebasan Ekonomi Dunia pada tahun 2010, apabila ia secara rasmi menjadi ahli Economic Freedom Network, iaitu satu rangkaian global yang menggabungkan kumpulan-kumpulan pemikir dari seluruh dunia.  Rangkaian ini diuruskan oleh Fraser Institute yang berpusat di Kanada.  Biasanya hanya satu organisasi sahaja yang dijemput dari setiap negara, dan IDEAS bertuah kerana berjaya menjadi ahli rangkaian ini (1).
Di peringkat Asia pula terdapat satu rangkaian yang bernama Economic Freedom Network (EFN) Asia.  Rangkaian ini dijalankan oleh Friedrich Naumann Foundation for Freedom (FNF) cawangan Asia, dari pejabat mereka di Bangkok.

Tahun ini persidangan serantau EFN Asia diadakan di Kuala Lumpur pada 11-12 Oktober.  Laporan Edisi Malaysia ini dilancarkan sempena persidangan rantau tersebut, yang mana tuan rumahnya ialah Centre for Public Policy Studies (CPPS) dan IDEAS.

Malaysia sedang berubah

Pelancaran Laporan Tahunan Kebebasan Ekonomi Dunia Edisi Malaysia ini diadakan tatkala Malaysia sedang mengalami arus perubahan yang deras.  Pada 16 September 2011, sempena menyambut Hari Malaysia yang ke-48, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak telah mengumumkan beberapa perubahan besar dalam landskap politik negara.

Antara perubahan paling besar yang diumumkan oleh Najib pada tarikh bersejarah itu ialah penamatan darurat, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, dan juga semakan semula terhadap beberapa akta dan peraturan yang menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan berkumpul.  Sudah pastilah rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik menyambut baik pengumuman tersebut.

Pengumuman yang dibuat oleh Najib bukanlah satu pengumuman yang lahir secara tiba-tiba daripada satu vakum.  Pelbagai pihak, baik dari masyarakat sivil mahupun parti politik, telah sekian lama memperjuangkan dan menuntut semua perubahan ini.  Akhirnya, setelah sekian lama mereka menjalankan pelbagai usaha dan kempen, kini
Perdana Menteri telah mendengar dan seterusnya menerima tuntutan ke arah satu suasana politik yang lebih bebas dan terbuka di Malaysia.

Liberalisme di Malaysia: kebebasan politik, sosial dan ekonomi

Sebenarnya perkembangan ini juga menggambarkan landskap aktivisme masyarakat sivil di Malaysia.  Kita mempunyai ramai sekali aktivis yang menjalankan berbagai-bagai aktiviti untuk menuntut lebih banyak kebebasan dalam bidang politik dan sosial.  Malahan, di kalangan aktivis liberal juga kita mempunyai ramai tokoh-tokoh dan pejuang yang bergerak dalam ruang lingkup kebebasan politik dan sosial.  Kegigihan, iltizam dan juga kejayaan yang telah mereka capai sememangnya mengkagumkan.  Kita perlu mengiktiraf bahawa Malaysia telah banyak berubah hasil titik peluh para aktivis liberal di seluruh negara selama ini.

Tetapi masih tidak ramai yang bercakap mengenai kebebasan dari segi ekonomi.  Malahan, mungkin tidak salah jika dikatakan bahawa ramai juga aktivis liberal yang berpegang dengan konsep kebebasan politik dan kebebasan sosial, tetapi menolak atau ragu-ragu dengan konsep kebebasan ekonomi berteraskan kapitalisme pasaran bebas.  Hakikatnya, tidak mudah untuk kita bertemu dengan aktivis liberal di Malaysia yang secara terbuka memperjuangkan kapitalisme pasaran bebas dari segenap sudut.  Kebanyakannya masih "bertapi-tapi" jika ditanya adakah mereka yakin dengan kapitalisme.

Kerana itulah agenda kebebasan ekonomi berteraskan kapitalisme pasaran bebas perlu diperluaskan.  Kami berharap agar usaha menerbitkan Laporan Tahunan ini sedikit sebanyak akan membantu memperlengkap aktivisme liberal di Malaysia secara amnya.

Kami tidak menafikan bahawa mungkin agak sukar untuk memberi penjelasan yang muktamad mengenai dinamika hubungan antara kebebasan ekonomi dan kebebasan politik.  Hong Kong merupakan negara yang ekonominya paling bebas menurut indeks dalam Laporan Tahunan ini.  Tetapi Hong Kong juga merupakan sebuah negara yang sistem politiknya banyak dikongkong oleh pemerintah komunis China.  Singapura pula mendapat tempat kedua dalam indeks tahun ini.  Akan tetapi kita tahu bahawa kebebasan politik agak terhad di Singapura.

Adakah kebebasan politik menghasilkan kebebasan ekonomi, atau adakah kebebasan ekonomi yang menghasilkan kebebasan politik?  Malahan, adakah wujud sebarang kaitan antara kebebasan politik dengan kebebasan ekonomi untuk menjustifikasi perlaksanaan kempen lebih besar ke arah kebebasan ekonomi sebagaimana wujudnya aktivisme dalam bidang politik dan sistem sosial?

Sebenarnya telah ada banyak kajian yang menyiasat hubung kait ini (2).  Contohnya, Professor Milton Friedman, seorang pakar ekonomi tersohor yang pernah memenangi anugerah Nobel, telah menulis dalam bukunya bertajuk Capitalism and Freedom (3) bahawa:

"Ramai yang menyangka bahawa politik dan ekonomi adalah dua perkara yang terpisah dan tidak berkait … Pandangan ini adalah salah kerana sebenarnya wujud hubung kait yang amat rapat antara ekonomi dan politik … Aturan ekonomi mempunyai dwifungsi dalam mewujudkan masyarakat yang bebas.  Pertama, kebebasan ekonomi itu sendiri merupakan salah satu komponen kebebasan yang yang lebih besar dan maka itu kebebasan ekonomi boleh dianggap sebagai satu matlamat yang tersendiri.  Kedua, kebebasan ekonomi adalah satu alat yang wajib wujud dalam usaha mencapai kebebasan politik."

Terdapat juga beberapa kajian yang cuba menyiasat faktor penyebab atau causality - adakah kebebasan ekonomi menyebabkan wujudnya kebebasan politik, atau adakah kebebasan politik yang menyebabkan wujudnya kebebasan ekonomi.  Salah satu daripada kajian tersebut (4) telah menggunakan metodologi analisis "penyebab Granger".  Perlu disebut bahawa metodologi ini memang mempunyai beberapa kelemahan dan kajian ini tidak boleh dihujahkan sebagai satu bukti seratus peratus bahawa wujud hubungan "A menyebabkan B".  Tetapi, metodologi kajian ini boleh memberikan maklumat-maklumat penting kepada kita mengenai hubungkait antara kebebasan ekonomi dan kebebasan politik.

Kajian tersebut mendapati bahawa kebebasan ekonomi menghasilkan satu taraf hidup yang lebih baik, dan seterusnya ia menghasilkan kebebasan politik.  Tetapi, pada waktu yang sama kebebasan politik tidak semestinya pula menghasilkan taraf hidup yang lebih baik.  Berdasarkan hasil kajian tersebut, ada hujah ilmiah untuk kita mengatakan bahawa salah satu faktor penting untuk mewujudkan kebebasan politik ialah wujudnya taraf hidup yang baik.  Dan taraf hidup yang baik pula wujud disebabkan oleh adanya kebebasan ekonomi.  Maka kebebasan ekonomi adalah diperlukan jika kita mahu kebebasan politik yang tulin.

Izinkan kami menggunakan cara yang lebih mudah untuk menerangkan hubungkait ini tanpa menggunakan metodologi yang terlalu teknikal.  Sekiranya rakyat hidup dalam keadaan yang memaksa mereka sentiasa memikirkan bagaimana untuk menampung kos sara hidup, maka terdapat kemungkinan tinggi bahawa mereka tidak cukup masa untuk berusaha melakukan transformasi politik atau melibatkan diri dalam arena masyarakat sivil.

Lebih-lebih lagi jika rakyat telah terbiasa dengan suasana di mana pemerintah menyediakan pelbagai kemudahan seperti sekolah dan perkhidmatan kesihatan percuma, harga barangan dikawal ketat agar tidak terlalu tinggi, dan subsidi pula diberikan untuk menurunkan kos barangan tertentu.  Dalam situasi sedemikian, sudah pasti wujud rasa kebergantungan dan "berterima kasih" dalam hati rakyat terhadap pemerintah sedia ada sehingga mereka tidak terlalu menghiraukan sekatan ke atas kebebasan politik.

Rakyat yang terlalu sibuk untuk mencari nafkah menyara kehidupan tidak memiliki masa untuk melakukan sesuatu terhadap cengkaman politik ke atas mereka.  Apatah lagi jika pihak berkuasa terus menerus menyuap mereka dengan subsidi yang cukup-cukup makan sahaja.  Ini akan memperkuat rasa kebergantungan dan rasa berterima kasih di kalangan rakyat, walaupun mereka sebenarya hidup dalam sebuah negara yang mana tahap kebebasan politiknya masih perlu diperbaiki.

Mungkin agak kasar jika kami ringkaskan bahawa orang miskin tidak ada masa untuk berfikir mengenai transformasi politik kerana mereka perlu mencari makan dahulu.  Tetapi itulah kebiasaannya.

Cuba kita lihat di merata tempat di Malaysia.  Aktivisme menuntut kebebasan sosial dan politik adalah satu "kemewahan" yang biasanya hanya boleh dinikmati oleh golongan kelas pertengahan.  Sebab itulah masyarakat sivil berkembang pesat di bandar-bandar besar, di kalangan "orang-orang senang".

Jika kita pergi ke kampung-kampung dan kawasan luar bandar, pakcik dan makcik di sana jarang-jarang berbicara mengenai isu rasuah dan salah guna kuasa, apatah lagi reformasi sistem pilihanraya atau kebebasan institusi kehakiman.  Mana mungkin mereka ada masa untuk semua itu jika mereka terpaksa membanting tulang saban hari membajak sawah, menoreh getah atau pergi ke laut menangkap ikan semata-mata untuk mencari sesuap nasi untuk anak isteri.

Maka kerana itulah jika kita mahu membentuk sebuah negara yang bebas dari segi politik dan sosial, kita perlu juga memastikan sistem ekonomi negara juga adalah bebas.  Mungkin sudah tiba masanya untuk dicadangkan bahawa jika kita mahu mengusahakan satu suasana politik dan sosial yang lebih bebas di Malaysia, maka kita perlu memastikan wujud kebebasan dan kemakmuran ekonomi terlebih dahulu.  Ini kerana hanya apabila rakyat telah selesa dengan kualiti kehidupan mereka sahaja mereka akan benar-benar turut sama dalam perjuangan untuk mereformasi sistem politik dan sosio budaya negara.

Untuk berubah, kita perlukan golongan kelas pertengahan yang lebih ramai, dan ini hanya akan wujud jika ekonomi kita lebih bebas.  Keprihatinan mengenai kebebasan politik dan sosial, dan aktivisme yang berkesan dalam semua sudut hanya boleh wujud dan berkembang setelah keperluan ekonomi dipenuhi.

Malaysia dalam Indeks Kebebasan Ekonomi Dunia 2011

Dengan premis itu, mari kita lihat prestasi Malaysia berdasarkan Indeks Kebebasan Ekonomi yang dibentangkan dalam Laporan Tahunan Kebebasan Ekonomi Dunia ini.

Indeks Kebebasan Ekonomi Dunia mengukur tahap kebebasan ekonomi 141 buah negara seluruh dunia dengan menggunakan lima indikator utama iaitu (5):

1. Saiz kerajaan: perbelanjaan, cukai dan perniagaan milik kerajaan
2. Struktur perundangan dan jaminan hak pemilikan
3. Akses kepada matawang yang kukuh (sound money)
4. Kebebasan untuk berdagang di peringkat antarabangsa
5. Regulasi kredit, buruh dan perniagaan

Pada tahun ini Malaysia sekali lagi menunjukkan prestasi yang semakin menurun.  Tahun ini kita jatuh satu anak tangga ke tempat ke-78, berbanding tempat ke-77 pada tahun lalu.  Ini merupakan petanda yang membimbangkan kerana telah enam tahun berturut-turut Malaysia mencatatkan kejatuhan, seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.
  2006
2007 2008 2009 2010 2011
Malaysia 53 60 72 66 77 78
Singapura 2 2 2 2 2 2
Indonesia 83 86 101 93 90 84
Thailand 60 60 56 59 58 65
Vietnam 88 97 108 101 105 88
Sumber: Laporan Tahunan Kebebasan Ekonomi Dunia terbitan Fraser Institute 2006 - 2011

Indikator-indikator dalam indeks ini membuat ukuran berdasarkan skala dari 0 ke 10, yang mana 0 ialah paling buruk dan 10 ialah yang terbaik.  Jika dianalisa data-data dalam indeks ini dengan lebih terperinci, maka kita akan melihat bahawa skor Malaysia untuk:

Saiz kerajaan jatuh kepada 5.55 mata berbanding 5.96 pada tahun lepas.
Struktur perundangan dan jaminan hak pemilikan naik ke 6.54 mata berbanding 6.24 mata pada tahun lepas.
Akses kepada matawang yang kukuh jatuh kepada 6.50 mata berbanding 6.58 mata pada tahun lepas.
Kebebasan untuk berdagang di peringkat antarabangsa jatuh kepada 7.23 mata berbanding 7.27 mata pada tahun lepas.
Regulasi kredit, buruh dan perniagaan naik ke 7.61 mata berbanding 7.55 mata pada tahun lepas.


Data-data ini menunjukkan bahawa Malaysia mencapai prestasi yang paling bagus dalam bidang regulasi terhadap sistem kredit, buruh dan perniagaan.  Malahan dalam hal ini, jika diteliti data yang diberikan pada mukasurat 106, kita boleh melihat bahawa negara kita telah menunjukkan peningkatan yang konsisten sejak tahun 1980 lagi.

Faktor yang merendahkan skor purata kita pula ialah saiz kerajaan.  Sekali lagi data pada mukasurat 106 menunjukkan bahawa sejak tahun 1995 saiz kerajaan kita terus meningkat, yang seterusnya menyebabkan skor kita semakin menurun.  Lebih merisaukan lagi, skor kita bagi sub-kategori "syarikat dan pelaburan kerajaan" adalah kosong terus!

Ini melambangkan campurtangan kerajaan yang amat besar dalam sistem ekonomi kita melalui syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).  Perkara ini adalah tidak baik untuk kesejahteraan ekonomi negara secara jangka panjang.
Amat perlu untuk kerajaan memperbaiki segera situasi ini dengan cara mengurangkan penglibatan dalam bidang perniagaan melalui GLC.

Perkongsian Trans-Pasifik Memberi Peluang

Satu peluang besar untuk memperbaiki kedudukan Malaysia, dan seterusnya menjana kekayaan untuk rakyat negara ini melalui persekitaran ekonomi yang lebih bebas dan terbuka sebenarnya terbentang luas di depan kita pada waktu ini.  Negara kita kini sedang terlibat dalam perbincangan perjanjian perdagangan bebas multilateral melalui Perkongsian Trans Pasifik (Trans Pacific Partnership – TPP).

Sekiranya rundingan TPP berjaya, kita akan dapat mempertingkat kadar perdagangan antarabangsa kita terutamanya dengan Amerika.  Ini pasti akan membolehkan kita meraih keuntungan kerana kita akan mempunyai akses kepada skim perolehan kerajaan Amerika Syarikat yang amat besar.  Sudah pasti akses ini akan membuka peluang perniagaan yang pelbagai kepada syarikat-syarikat pengeksport dari Malaysia.

TPP merangkumi sembilan negara-negara Asia Pasifik termasuk Malaysia, dan berpotensi menjadi pemangkin integrasi ekonomi yang lebih meluas.  Contohnya, ia mungkin boleh menjadi antara langkah awal ke arah mencapai visi Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik yang pernah dibincangkan oleh APEC.

Tambahan pula, dengan meningkatnya perdagangan antarabangsa, sudah pasti ia dapat membantu kita mencapai matlamat untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi seperti yang digariskan dalam Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi.

Indeks 2011 ialah penanda aras (benchmark) untuk Model Baru Ekonomi

Amat penting untuk kita sedari bahawa seperti juga indeks-indeks global lain, Indeks Kebebasan Ekonomi Dunia ini disediakan menggunakan data historikal.  Apa yang dipaparkan dalam Indeks 2011 adalah merupakan ukuran yang dibuat menggunakan data terkumpul pada tahun 2009 kerana itu merupakan data paling mutakhir yang ada semasa Indeks ini digubal.  Maka Indeks ini sebenarnya mengukur prestasi ekonomi yang ditinggalkan oleh Mantan Perdana Menteri Abdullah Badawi dan diwarisi oleh Najib apabila beliau mengambil alih pada 3 April 2009.

Maksudnya, semua penambahbaikan atau penurunan berbanding tahun sebelumnya yang direkodkan dalam Indeks kali ini adalah hasil daripada usaha kerajaan pimpinan Abdullah Badawi.  Impak daripada dasar-dasar baru yang diperkenalkan oleh Najib sejak beliau menjadi Perdana Menteri tidak diukur oleh Indeks kali ini.

Perkara ini menjadikan Indeks 2011 ini sebagai satu indeks yang amat penting bagi Malaysia.  Najib telah memperkenalkan dasar yang berbeza daripada sebelumnya iaitu Model Baru Ekonomi.  Melalui Model Baru Ekonomi (6) (New Economic Model - NEM), pelbagai dasar baru telah beliau perkenalkan.  Model Baru Ekonomi, melalui Program Transformasi Ekonomi (Economic Transformation Programme - ETP), memberi penekanan yang amat tinggi kepada usaha untuk menjadikan sistem ekonomi Malaysia lebih bebas.  Najib juga mahu melihat sektor swasta mengambil alih peranan sebagai enjin utama pembangunan ekonomi daripada kerajaan.

Oleh itu, Indeks yang dikeluarkan pada tahun ini boleh dijadikan sebagai penanda aras atau benchmark untuk menilai sejauh mana usaha-usaha Najib berjaya menjadikan ekonomi Malaysia lebih bebas berbanding sebelumnya.  Jika Indeks 2011 ini dijadikan penanda aras pertama, maka kemungkinan besar kesan awal daripada NEM dan ETP hanya akan boleh dilihat pada tahun 2013 nanti, apabila Indeks ini membuat ukuran berdasarkan data tahun 2011.  Maka untuk mengukur sama ada NEM dan ETP berjaya atau tidak, kita boleh membandingkan skor Malaysia pada tahun-tahun mendatang dengan data yang diterbitkan dalam Indeks tahun ini.

Contohnya, pada tahun ini skor Malaysia yang paling rendah ialah bagi indikator saiz kerajaan.  Tetapi kita sedia maklum bahawa di bawah pimpinan Najib, pelbagai usaha sedang dibuat untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan, terutama untuk mengurangkan subsidi.  Dan kerajaan juga telah mengumumkan langkah untuk mengurangkan penglibatan mereka dalam bidang perniagaan dengan cara menjual pegangan kerajaan dalam syarikat tertentu, dan juga menswastakan beberapa GLC.  Untuk mengetahui sama ada semua usaha ini berjaya atau gagal, maka data dalam Indeks tahun inilah yang bakal menjadi tanda aras untuk perbandingan kelak.

Sudah pasti kita ternanti-nanti Indeks Kebebasan Ekonomi Dunia terbitan tahun-tahun akan datang kerana dengan itu kita boleh mengukur dengan objektif dan independen sama ada Najib berjaya atau gagal dalam usaha mentransformasi ekonomi negara menjadi lebih bebas dan berdayasaing.  Bagi pihak semua yang terlibat dalam
penerbitan Laporan Tahunan 2011, kami berharap agar usaha kecil kami ini akan membolehkan kami memainkan peranan yang lebih berkesan dalam mengukur pencapaian kita pada masa hadapan.

Rujukan
1 Sila lihat http://freetheworld.com/member.html
2 Sebagai contoh, lihat senarai bahan rujukan yang disenaraikan dalam tulisan Goel, Rajeev K. dan Nelson, Michael A. A. bertajuk "Economic Freedom versus Political Freedom: Cross-Country Influences on Corruption" yang diterbitkan dalam Australian Economic Papers, Vol. 44, No. 2, pp. 121-133, June 2005.
3 Diterbitkan oleh University of Chicago Press pada tahun 1962.
4 Rujuk hasil kajian W. Ken Farr, Richard A Lord dan J Larry Wolfenbarger bertajuk "Economic Freedom, Political Freedom, and Economic Well-being" yang diterbitkan dalam Cato Journal (Vol. 18, No. 2, Fall 1998).
5 Penerangan lanjut mengenai setiap satu daripada indikator-indikator ini diberikan pada mukasurat 6 dan 7.
6 Untuk perbincangan lanjut mengenai cabaran-cabaran dalam melaksanakan liberalisasi ekonomi di bawah Model Baru Ekonomi, sila lihat "Malaysia’s New Economic Model: Is the Malaysian government serious about economic liberalisation?" tulisan Wan Saiful Wan Jan (Friedrich Naumann Foundation, 2011)
*Wan Saiful Wan Jan (Ketua Eksekutif, IDEAS Malaysia), Moritz Kleine-Brockhoff (Pengarah Projek Malaysia, Myanmar dan Cambodia, Friedrich Naumann Foundation for Freedom, FNF), dan Ng Yeen Seen (Pengarah, Centre for Public Policy Studies, Malaysia).

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.