MENURUT istilah MABBIM, 'window dressing' ditakrifkan sebagai 'peraga  hias' manakala Kamus Bahasa Inggeris DBP pula mentakrifkannya sebagai  'muslihat untuk menutup mata'.
Di bidang pentadbiran, 'window dressing' ditakrif sebagai;  "Memanipulasi angka dalam penyata kewangan untuk memaparkan kedudukan  kewangan yang lebih kukuh daripada yang sebenarnya". Manakala di bidang  pentadbiran perniagaan, ia dihuraikan sebagai; "Strategi pengurus dana  yang merubah pegangan mereka dengan tujuan menunjukkan portfolio  pelaburan yang disenangi oleh pemegang unit. Ini biasanya dilakukan pada  akhir tahun, iaitu dengan menjual saham spekulatif dan membeli saham  teguh".
Begitulah kompleksnya pengertian 'window dressing' mengikut takrifan DBP.
Tapi adakah 'window dressing' juga diamalkan dalam bidang politik? 
Jawapannya  sudah pasti ada. Walaupun DBP tidak memberikan takrifan khusus  berhubung pengertian 'window dressing' atau 'peraga hias' dalam konteks  politik, episod-episod di bawah mungkin boleh membantu pembaca  memahaminya.
Baru-baru ini, kehadiran beberapa gadis jelitawan dalam Mesyuarat  Agung Tahunan Pemuda MCA menjadi tajuk utama akhbar berbahasa Cina.  Kehadiran amoi yang pada mulanya dikatakan sebagai anggota Beliawanis  MCA itu mencuri tumpuan umum kerana mereka bukan sahaja berarak masuk ke  dewan persidangan, malah duduk di barisan paling hadapan.
Beliawanis adalah cabang Wanita MCA khusus untuk wanita yang berumur 18 hingga 35 tahun.
Beberapa blog kemudiannya membuat ulasan sendiri. Blogger-blogger  terbabit tidak percaya wanita muda berkenaan anggota Beliawanis MCA dan  mendakwa mereka sekadar penghias majlis.
Terhimpit dengan dakwaan-dakwaan nakal itu dan keghairahan media  untuk menemubual 'enam gadis misteri' yang menjadi tumpuan utama  perhimpunan agung (AGM) Pemuda MCA itu, Ketua Pemuda MCA Selangor, Dr  Kow Cheong Wei menjelaskan bahawa amoi-amoi terbabit "masih menunggu  kelulusan keahlian mereka".
"Ada di antara mereka adalah ahli, sebahagiannya lagi telah memohon  menjadi ahli, dan telah menyerahkan borang keahlian tetapi masih belum  diluluskan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Bagaimanapun, Kow berkata, ia bukan satu isu kerana mereka dijemput sebagai pemerhati dan bukan sebagai perwakilan.
"Sebenarnya kami menjemput ramai pemerhati, kami menghantar surat  kepada bahagian, cawangan dan beberapa universiti untuk majlis perasmian  (membuka sayap itu kepada wanita), tetapi mereka perlu mendaftar,"  ujarnya.
Berang dengan tuduhan beberapa pihak khususnya para blogger bahawa  amoi-amoi itu diupah sebagai 'window dressing', Ketua Pemuda MCA,  Dato'  Wee Ka Siong cuba mengalih isu.
Wee dilapor menyelar tindakan 'blog propembangkang' yang didakwanya  sengaja  memaparkan gambar lucah wanita dan mengaitkannya dengan  Beliawanis MCA.
"Sebagai Ketua Pemuda saya sangat sedih dengan gelagat dan tindakan  yang jelas tidak berertika itu," katanya pada sidang media di lobi  Parlimen, 11 Oktober lalu.
Wee berkata beliau menerima laporan daripada Beliawanis MCA mengenai  perkara itu dan ada di antara anggotanya yang menangis kerana dimalukan  sedemikian rupa.
"Adakah menjadi satu kesalahan untuk mereka menyertai politik dan  menghadiri mesyuarat agung tahunan (AGM) sebagai pendedahan hingga  menjadi sasaran pembangkang?" kata Wee.
Terpulanglah kepada pembaca sama ada ingin mempercayai alasan diberikan Wee itu.
Berlainan pula di Rawang. Kali ini membabitkan ustaz dan ustazah yang  mengajar matapelajaran Pendidikan Agama Islam (PAI). Beberapa hari  sebelum Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak mengadakan lawatan kerja  ke Rawang, seluruh tenaga pengajar PAI di daerah GOmbak menerima surat  daripada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk mengikuti kursus setengah  hari di SRJK(C) Kundang.
Tempat kursus itu berlangsung juga menimbulkan tanda-tanya kerana  banyak lagi sekolah menengah agama di daerah Gombak yang boleh dijadikan  lokasi kursus. Bagaimanapun atas dasar menurut perintah, ratusan tenaga  pengajar PAI berkumpul di dewan SRJK(C) Kundang bagi mengikuti kursus  hujung minggu pada pagi 8 Oktober, sehari selepas Bajet 2011  dibentangkan Najib di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun menjelang tengahari, tumpuan guru-guru PAI itu mula  terganggu apabila sedikit demi sedikit perkarangan dewan tersebut mula  dipenuhi orang ramai. Kebanyakan yang hadir memakai baju-T tertera logo  1Malaysia. Secara tiba-tiba, segerombolan petugas tampil ke atas pentas  dan secara bersahaja menggantikan sepanduk (banner) yang dijadikan latar  pentas (backdrop) kursus sehari itu dengan sepanduk baru yang  mengalu-alukan kedatangan Najib.
Para peserta kursus tidak dapat meninggalkan dewan kerana kehadiran  semakin ramai penyokong BN manakala kereta yang mereka letakkan di luar  dewan telah dihalang oleh kenderaan yang baru tiba. Akhirnya dengan  iringan tarian singa dan gendang India, Najib pun muncul disusuli para  penyokong BN dari kalangan masyarakat Cina dan India. Maka ustaz dan  ustazah dari seluruh daerah Gombak yang terperangkap di dalam dewan  SRJK(C) Kundang itu berjaya menjadikan majlis tersebut benar-benar  berimej 1Malaysia!
Tahniah diucapkan kepada PPD Gombak kerana buat kesekian kalinya  berjaya 'memperkakaskan' guru-guru untuk kepentingan politik BN! Mungkin  apa yang dialami para ustaz dan ustazah itu menjadi contoh betapa  pentingnya 'window dressing' dalam kempen politik BN walaupun ia  dilakukan dengan penuh tipu helah dan berunsur eksploitasi melampau.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Najib mengumumkan beberapa projek  bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan BN pusat terhadap penduduk  tempatan. Antara yang diumumkan Najib adalah projek segera jalan  menghubungkan Kundang dan Bandar Tasik Puteri bernilai lebih RM4 juta.  Jalan penghubung itu diharap dapat memudahkan penduduk untuk ke ibu kota  dengan menggunakan lebuhraya baru Kuala Lumpur-Kuala Selangor (KLKS  Expressway).
Walaupun projek itu memberikan sedikit kelegaan kepada penduduk di  Bandar Tasik Puteri dan kawasan berdekatan yang saban hari terpaksa  berhadapan dengan kesesakan lalulintas untuk ke Lebuhraya Utara-Selatan  (Plus), projek jalan penghubung Kundang-Bandar Tasik Puteri itu bukanlah  penyelesaian kepada masalah yang dihadapi penduduk. Ini kerana tiada  jalan susur keluar (exit) untuk pengguna Lebuhraya KLKS di Kundang  walaupun ada jalan susur masuk. Mereka yang ingin keluar ke Bandar Tasik  Puteri terpaksa menggunakan exit Puncak Alam dan Kota Puteri yang  terletak 4km di hadapan.
Ketiadaan jalan keluar dari lebuhraya KLKS di Kundang juga  menimbulkan tanda tanya sedangkan pejabat Adun Kuang, Abdul Shukor Idrus  terletak lebih kurang 3km daripada jalan masuk ke lebuh raya tersebut.  Mengapakah Abdul Shukor yang juga Ketua Penerangan Umno Selangor tidak  melihat kekurangan yang berlaku dan mencadangkan agar laluan keluar  dibina di Kundang bagi kemudahan penduduk?
Projek 'window dressing' yang menjadi kebanggaan Umno itu juga tidak  menjawab isu sebenar iaitu kegagalan kerajaan BN pusat melaksanakan  projek menaik taraf dan melebarkan semua Jalan Persekutuan dalam kawasan  Rawang iaitu Jalan FT3209, FT01 dan B27 dari Selayang–Pekan  Rawang–Sungai Choh serta Pekan Rawang-Bandar Country Homes-Bandar Tasik  Puteri-Batu Arang–Ijok.
Menurut Adun Rawang, Gan Pei Nei, setiap hari terdapat kira-kira  370,000 kereta yang menggunakan Jalan Persekutuan FT 3209 dari arah  Pekan Rawang ke Batu Arang.  Kesesakan lalulintas sentiasa berlaku di  depan Tol PLUS Rawang.
Pada Disember 2010, Menteri Kerja Raya telah mengumumkan bahawa 9km  Jalan Persekutuan tersebut akan dinaik taraf, tetapi pada peringkat  terkini, jelas Gan cuma 1.6km yang sedang dibina.
Gan turut  menyentuh soal keselamatan yang semakin meruncing di Rawang. Balai Polis  Rawang serta bilangan polis yang sedia ada, ujarnya tidak dapat  menampung jumlah populasi Rawang yang kini mencecah 200,000 orang. Malah  nisbah bilangan polis kepada penduduk Rawang adalah 1:4000 orang,  sedangkan kadar yang  ideal adalah 1:250.
Beliau mencadangkan sebuah balai polis dibina di Bandar Country Homes  bagi meningkatkan tahap keselamatan dan membanteras jenayah di Rawang. 
  
Mengikut  Rancangan Pembangunan Rawang, sebidang tanah telah digazetkan untuk  membina Balai Polis di Bandar Country Homes, tetapi tidak dapat  dijalankan kerana tidak mendapat sebarang peruntukan daripada  Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Nampaknya lawatan kerja Najib ke Rawang tidak banyak mengubah keadaan  dan kekurangan infrastruktur di daerah ini. Ia hanyalah satu lawatan  berunsur 'populist' yang mahu mewujudkan 'feel good factors' kepada  penduduk tempatan. Episod-episod ini juga dibantu oleh beberapa elemen  'window dressing' bertujuan menggambarkan betapa pentadbiran Najib  menerima sokongan rakyat pelbagai kaum. Antara yang menjadi mangsa ialah  ustaz dan ustazah di sekitar daerah Gombak!
sumber : Harakah Daily  
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.