KUALA LUMPUR: Belanjawan 2012 berjumlah RM232 bilion pada ketika  pendapatan negara tidak dapat menampung keupayaan berhutang kerajaan,  mengesahkan niat Datuk Seri Najib Razak melaksanakan Cukai Barangan dan  Perkhidmatan (GST).
Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli,  Perdana Menteri  berniat mengaburi mata rakyat dengan menawarkan gula-gula belanjawan  bermula Januari 2012, tetapi akan dicukai kembali melalui GST selepas  Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).
Justeru itu katanya, Biro Politik KEADILAN memutuskan untuk bersama  Pakatan Rakyat membawa isu GST sebagai isu utama PRU, bagi memastikan  rakyat memahami bahawa “undi kepada BN bermakna undi melaksanakan GST”.
Menurut Rafizi, berdasarkan realiti ekonomi global, sasaran  pertumbuhan 5 peratus hingga 6 peratus yang digunapakai kerajaan adalah  sukar untuk dicapai.
“Ini akan memberi kesan kepada jumlah pendapatan negara bagi tahun  2012 akibat kutipan cukai dan hasil lain yang berkurangan berikutan  pertumbuhan ekonomi 2012 yang lebih perlahan.
“Barisan Nasional perlu meminjam sekurang-kurangnya RM46 bilion untuk  membiayai defisit Belanjawan 2012; itu pun jika ekonomi tumbuh pada  kadar 5% – 6% bagi tahun 2012,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Pada masa yang sama, katanya, keupayaan kerajaan mengeluarkan  terbitan bon dan instrumen hutang baru dalam tahun 2012 pula adalah  terbatas.
Ia disebabkan had keberhutangan negara (debt ceiling) yang dihadkan  kepada 55 peratus daripada KDNK di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959  dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983.
“Hutang negara sudah pun mencecah 53% dari KDNK berdasarkan angka  rasmi Bank Negara Malaysia setakat Jun 2011, maka sebarang hutang baru  sudah tentu bertentangan dengan undang-undang negara.
“Saya berpendapat Perdana Menteri dan pentadbiran Barisan Nasional  cukup arif dengan segala angka ekonomi dan had keberhutangan kerajaan di  bawah kedua-dua akta tersebut.
“Saya juga yakin Perdana Menteri telah dinasihatkan bahawa ramalan  pertumbuhan 5% – 6% yang digunapakai di dalam Belanjawan 2012 adalah  tidak realistik. Ini membawa kepada satu rumusan semata-mata,” ujarnya.
Kata Rafizi, angka unjuran ekonomi terkini juga menunjukkan bahawa  ramalan pertumbuhan ekonomi yang digunakan Perdana Menteri dalam  Belanjawan 2012 adalah tidak realistik.
“Terbaru adalah unjuran yang dibuat Malaysian Institute of Economics  Research (MIER) yang menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun  2011 kepada 4.6%,” katanya.
sumber : Keadilan Daily 
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.