PARIT BUNTAR, 2 Dis: Semangat rasis yang disemarakkan oleh Umno pada perhimpunan agungnya perlulah dibuang jauh-jauh kerana unsur itu tidak lebih dari mengundang kemusnahan terhadap negara.
“Saya melihat kegelabahan pemimpin Umno yang dipamirkan serta mendapat liputan meluas dari media pengampu adalah tidak lebih dari retorik dan lakonan pemimpin Umno di pentas politik negara yang diulang bekali-kali untuk selamatkan kuasa menjelang pilihanraya.
“Malah saya sangat terkejut dengan pemimpin wanitanya yang menyingsingkan lengannya semasa berucap,” kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Dalam Perhimpunan Agung Umno, kata beliau hakikatnya mereka sedang menanam kebencian terhadap orang Cina dan DAP selepas sokongan kaum itu jelas tidak memihak kepada BN dan MCA.
Tambahnya, dalam masa yang sama sokongan orang India juga diharapkan kembali kepada BN dengan pelbagai cerita dan mengapi-apikan kononnya berlaku penghinaan kepada bangsa tersebut.
Sedangkan, soalnya siapakah yang sebenarnya yang menghina dan mengkhianati orang India apabila sekolah Tamil sudah hilang separuh jumlahnya selepas 54 tahun negara menyambut kemerdekaan.
Pada waktu sekarang, kata belia kegusaran Umno jelas menyerlah dan memuncak kerana mereka sudah hilang sokongan dari kaum Cina dan India, lalu gendang perkauman dipalu bagi mendapat sokongan orang Melayu.