SHAH ALAM: Wakil Kerajaan Negeri Selangor dalam Lembaga Penasihat  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr Idris Ahmad dilantik sebagai  Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kampung baru (JKBPKB).
Menurut kenyataan media yang dikeluar Sekretariat Akhbar Pejabat  Menteri Besar, jawatankuasa berkenaan telah mengadakan mesyuarat  pertamanya, semalam.
“JKBPKB ini ditubuhkan oleh Pejabat  Menteri Besar selepas menerima  maklum balas berterusan dari pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru yang  mahu kepentingan dan kesejahteraan mereka diutamakan dalam  apa jua  pembangunan yang dirancangkan,” kata kenyataan itu.
JKBPKB dianggotai wakil Pejabat Dato’ Menteri Besar, Perbadanan  Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad  (PNSB), yayasan Selangor (YS), Sekretariat Pembangunan Kampung Baru  (SPKB), wakil pemilik dan pewaris tanah serta ahli-ahli profesional  termasuk peguam serta jurutera.
“Jawatankuasa ini akan berperanan sebagai badan yang meneliti isu-isu  berkaitan Kampung Baru termasuk perundangan, perancangan dan  pelaksanaan pembangunan serta mengadakan sesi penerangan,” jelasnya.
Selain itu, ia juga akan mengemukakan cadangan kepada  pemilik dan  pewaris tanah dan akan dijadikan sebagai pilihan  untuk dipertimbang dan  dipersetujui.
“JKBPKB bertanggungjawab memastikan kepentingan pemilik dan pewaris  tanah Kampung Baru sentiasa dipelihara dan dilindungi,” ujarnya.
Sehubungan itu, pertemuan dengan berbagai pihak akan dibuat bagi  mendapatkan pandangan agar cadangan pembangunan yang terbaik diterbitkan  dengan mengambil kira semua faktor.
sumber : Keadilan Daily 
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.