Rakyat Malaysia telah dimaklumkan oleh Parlimen Malaysia bahawa terdapat 27,293 warga asing telah diterima menjadi warganegara sejak tahun 2008 hingga 2011. Suatu jumlah yang sangat besar bagi sebuah negara seperti Malaysia. Dalam keadaan rakyat negara ini berada dalam kesempitan hidup mereka terpaksa bersaing dengan warga asing yang seolah-olah menjadi anak emas kerajaan kerana begitu mudah menjadi warga negara ini. Pemuda PAS tetap curiga terhadap pemberian hak warganegara ini. Kami mengesaki bahawa tujuan pemberian hak warganegara ini ada kaitan dengan terdesaknya Barisan Nasional (BN) untuk terus berkuasa selepas pilihanraya umum ke-13.
Pemuda PAS melalui Lujnah Pemulihan Demokrasi Dan Mobilisasi telah membuat intipan satu operasi pemberian kad pengenalan kepada warga asing bermula petang Selasa 11 Oktober 2011. Operasi ini melibatkan tujuh buah bas yang penuh dengan warga asing dari negeri Johor menuju ke Putrajaya. Mereka memulakan perjalanan pada jam 10 malam daripada beberapa lokasi di Johor Baharu. Pada jam 1 tengah malam kumpulan ini telah berhenti di hentian Rehat &Rawat (R&R) Pagoh. Daripada maklumat warga asing ini tujuan mereka ke Putrajaya adalah untuk mendapatkan kad pengenalan bagi mengesahkan mereka menjadi warganegara.
Selepas berehat mereka terus bergerak ke Masjid Putrajaya. Mereka sampai di sana sekitar jam 6 pagi. Solat di Masjid Putrajaya. Selepas solat seolah-olah ada kawalan daripada anggota polis tidak beruniform (preman) yang mengawal pergerakan mereka. Beberapa buah bas telah diarah masuk ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan dipandu oleh seorang Dato yang tidak dikenali.
Saya telah keluarkan maklumat operasi ini dalam laman Facebook sekitar jam 7 pagi. Secara tiba-tiba arahan dibuat kepada pemandu-pemandu bas agar membawa penumpangnya ke lokasi yang tidak diketahui. Perjanjian dengan pemandu bas hanyalah ke Putrajaya tetapi di saat-saat akhir telah ditukar ke lokasi lain. Akhirnya mereka sampai di Istana Dugang Country Resort sekitar jam 8 pagi. Semua warga asing telah diturunkan di kawasan tersebut.
Berdasarkan kepada operasi ini, Pemuda PAS mahu pihak Kementerian Dalam Negeri khususnya Hishammuddin Hussin menjelaskan perkara-perkara berikut :
1. Kenapa pemberian kad pengenalan ini dibuat secara berkelompok? Apakah istimewanya mereka sehingga kerajaan menawarkan warganegara secara berkelompok?
2. Kenapa proses pemberian kad pengenalan dibuat di sebuah resort tidak di pejabat kerajaan? Murah sangatkah nilai kewarganegaraan kita?
3. Kenapa proses pemberian kad pengenalan dimudahkan? Kenapa mereka tidak melalui proses yang ketat seperti ujian bertulis untuk menilai kesetiaan mereka kepada negara?
4. Kenapa ada kawalan ketat daripada pihak polis semasa warga asing ini berada di Masjid Putrajaya dan Istana Dugang Country Resort? Apakah istimewanya warga asing ini sehingga mereka diberi layanan istimewa sedemikian rupa?
5. Kenapa terdapat arahan yang sentiasa berubah-ubah terhadap distinasi yang hendak dituju? Bukankah ini tanda-tanda adanya manipulasi dalam pemberian kad pengenalan kepada warga asing?
*Kenyataan media oleh Suhaizan bin Kaiat (gambar kiri) selaku Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.