Salam sejahtera buat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang terkenal
dengan slogannya ‘Cepat, Mesra dan Betul’. Hamba ingin menarik
perhatian pihak tuan kepada peristiwa berdarah 1 Januari 2012 ketika
penyuraian Himpunan Kebebasan Akademik di hadapan UPSI yang rata-ratanya
disertai mahasiswa dan belia.
Di beberapa Negara yang pernah
hamba berkelana, polis dianggap sebagai perkakas rejim dan bukan sebagai
penjaga keselamatan awam. Polis juga ditakuti dan dibenci bukan
diharapkan dan dihormati sebagai penjaga undang-undang.
Polis
menjadi simbol kezaliman dan bukan panji-panji keamanan. Sehingga ada
yang sanggup melabel polis sebagai anjing-anjing suruhan, yang bertindak
mengikut arahan tuan tanpa berperikemanusiaan. Hamba pohon PDRM untuk
tidak menjadi sedemikian di Tanah Tumpah Darahku, Malaysia tercinta ini.
Bersempena
dengan tahun baru 2012 suka hamba selusuri beberapa peristiwa menarik
yang berlaku sepanjang tahun sebelumnya, yakni 2011. Pertama, suka hamba
ceritakan tentang Revolusi Tunisia, nyalaan api pengingkaran sivil yang
berakar umbi daripada peristiwa seorang beliawan bernama Boazizi.
Bertitik
tolak daripada tindakan kasar polis merampas gerainya, beliau membakar
dirinya sehingga tindakan tersebut menjadi inspirasi kebangkitan rakyat
menjatuhkan Presiden Zainal Abidin Ali.
Kedua, suka hamba
kisahkan berkenaan Revolusi Belia Mesir, ketikamana anak-anak muda
menggunakan Facebook dan laman interaktif sosial untuk meletupkan public
disobedience.
Kempen kebangkitan ini tidak lain tidak bukan
meletup kerana tindakan kasar polis memukul dan membunuh seorang aktivis
belia bernama Khaleed Said dan kemunculan Laman Facebook, Youtube “We
are all Khaleed Said” yang membela kematiannya. Tuan tahu bukan apa
akhirnya berlaku kepada Presiden Husni Mubarak?
Ketiga, revolusi
dan pergolakan di Yaman yang masih berterusan sehingga kini. Paling
mengejutkan hamba antara tokoh yang terjulang namanya membakar semangat
kebangkitan hanyalah seorang aktivis beliawati bernama Tawakel Karman!
Perhatikan juga, semakin keras, ganas dan zalim perkakas kerajaan
menentang rakyat, sebegitu keras, ganas dan dahsyat juga tindakbalas
yang diterima!
Tuan perhatikan sendiri bagaimana hakikat yang
berlaku di Libya. Bagaimana pula di Syria? Mengapa polis dan angkatan
tentera begitu payah sekali menghadapi anak-anak tempatan, rata-ratanya
bersenjatakan suara dan kain rentang?
Mengambil iktibar daripada
peristiwa-peristiwa berkenaan saya mohon dua perkara daripada PDRM.
Mohon jangan bertindak keras, ganas dan zalim kepada mahasiswa mahupun
belia yang bangkit melaungkan perjuangan. Hamba risau darah muda mereka
menggelegak kepanasan untuk bertindak balas.
Kedua, mohon jangan
bertindak keras, ganas dan zalim sehingga muncul Boazizi, Khaleed Said
dan Tawakel Karman versi Malaysia. Kecederaan Safwan Anang sudah cukup
membakar semangat juang para mahasiswa! Jangan katakana tidak diberi
ingat!
Yang tulus benar,
Hanglekiu
Sekolah Konsultansi Panglima
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.