Ramai yang mempercayai bahawa Tsunami politik
2008 yang berlaku di Tanah Besar Semenanjung Malaysia tidak pernah
berlaku di Sabah. Media alternatif atau media ketiga seperti blog,
Facebook dan Twitter yang menjadi pemangkin kepada tercetusnya tsunami
politik 2008 itu masih berada pada tahap baru berkembang di Sabah pada
waktu tersebut. Justeru, ledakan politik pembaharuan yang menyaksikan BN
hampir-hampir kehilangan kuasa tidak berlaku di Sabah dan Sarawak.
Sebab itu kedua negeri di kepulauan Borneo ini masih gah dengan "fixed
deposit" buat BN dan sekutunya.
Setelah 4 tahun berlalu, Sabah dan Sarawak mula
'menerima' kehadiran media alternatif ini, bersama bahang Tsunami
politik 2008 yang masih panas dan membara di semenanjung. Ertinya,
tsunami politik di kepulauan Borneo ini mungkin akan tercetus pada PRU
13 iaitu 2012. Itupun setelah menerima media alternatif ini sebagai
ruang fikir politik baru di kedua-dua buah negeri yang menyertai Gagasan
Malaysia pada tahun 1963 di mana termaktubnya perjanjian 20 perkara
yang dikatakan tidak pernah ditunaikan oleh Kuala Lumpur.
Di Sabah di tahun mendatang ini, langit semakin
terbuka. Di mana-mana, generasi yang berumur atau yang baru 'menetas'
usianya sudah mengenali dunia internet berupa blog, Facebook dan
Twitter. Begitu banyak timbunan maklumat dihujung jari yang diakses
saban waktu terutama melibatkan soal politik dan kuasa. Justeru itu,
Sabah mula berubah paradigma politiknya, tidak lagi seperti tahun-tahun
kebelakangan dimana maklumat hanya didengar dan ditonton dalam media
arus perdana.
Ramalan pemerhati politik di Sabah, BN dan UMNO
akan menyaksikan beberapa kawasan terlepas dari genggaman kuasa mereka.
Beberapa trend pengundi di Sabah mula mencetuskan kegusaran di kalangan
pemimpin di peringkat negeri. Golongan berumur sekitar 50-80 tahun ini
mewakili kek politik sekitar 50%. Mereka ini terdiri daripada golongan
yang mewarisi idealisme perjuangan USNO. Setelah USNO di bubarkan, maka
mereka menyertai UMNO pada tahun 1991. Tetapi ini bukan bererti UMNO
akan memperolehi undi mereka pada PRU akan datang, kerana ura-ura
penyertaan USNO yang dipelopori oleh Datu Badaruddin Tun Mustapha pada
PRU 13 ini, memungkinkan golongan ini memberi sokongan semula kepada
USNO, setelah UMNO dilihat tidak banyak mendatangkan faedah kepada
peribumi di Sabah.
Kes rampasan tanah adat, sikap pemimpin yang
semakin kaya dan harga barang yang semakin tinggi, menyebabkan golongan
ini menuntut perubahan setidak-tidaknya mahukan USNO kembali menerajui
Sabah.
Golongan kedua ialah golongan muda yang baru
mengenal dunia politik tetapi terdedah kepada maklumat dalam media
alternatif ini. Mereka di Sabah terbahagi kepada beberapa sub golongan
yang membawa gelombang perubahan. Sub golongan pertama ialah mereka yang
memang mahukan perubahan, terlibat secara langsung dalam kempen-kempen
politik yang beraliran pembangkang. Jumlah mereka tidak ramai tetapi
boleh mempengaruhi rakan yang lain.
Golongan inilah yang membawa slogan "INI KALI
LAH...". Sub Golongan kedua ialah mereka yang terdedah kepada maklumat
media blog dan fcb tetapi berada pada kedudukan atas pagar. Mereka ini
juga lebih ramai dari yang pertama tadi. Golongan ini mewakili sekitar
40% kek politik di Sabah. Mereka kurang berminat dengan politik tetapi
mengambil tahu perkembangan terbaru melibatkan keadaan politik dan
ekonomi negara. Golongan ini sangat 'merbahaya' kepada UMNO dan BN di
Sabah kerana pada bila-bila masa sokongan golongan ini boleh tergelincir
kepada pembangkang, lebih-lebih lagi bila naluri dan keperluan mereka
tidak dipenuhi.
Di Sabah, isu penagngguran masih menjadi isu
besar. Biarpun Datuk Musa Aman dalam ucapan bejet 2012 yang diumumkannya
memperuntukkan lebih RM4 billion ringgit, namun ia tidak menjadi asas
kuat kepada penarikan sokongan golongan ini, kerana apa yang berlaku
angka RM4 billion itu hanya sekadar menghiasi ekonomi peringkat atasan,
di peringkat akar umbi ia tidak mendatang banyak kesan. Pengangguran
masih berlaku, kekurangan pekerjaan dan kenaikan harga barang masih
menghimpit kehidupan rakyat. Dan, golongan ini mahu kerajaan lebih
bertanggungjawab dalam soal itu dan bukan bermain dengan nombor dan
angka semata-mata.
Rata-rata golongan ini mahu agar kepimpinan di
peringkat Pusat harus berubah..! manakala di peringkat negeri masih
mahukan kesinambungan dari kepimpinan terdahulu. Ada yang berpendapat
bahawa peringkat Pusat perlu diubah supaya masalah yang masih bertaburan
boleh diselesaikan. Kes-kes seperti perjanjian 20 perkara dan
peruntukan kerajaan persekutuan kepada Sabah menjadi asas kepada
keinginan itu. Golongan ini bagi UMNO dan BN di Sabah adalah penanda
aras kepada penerimaan kepimpinan mereka.
Slogan “INI KALI LAH...” yang mula berkumandang
di kedai-kedai kopi dan serata pelusuk negeri Sabah membawa makna yang
berkait dengan tsunami politik akan berlaku. Slogan “INI KALI LAH...”
ini membawa pengertian bahawa PRU 13 inilah yang akan membawa perubahan
dalam soal penggantian kepimpinan negara.
Justeru merebaknya slogan “INI KALI LAH...” ini
seharusnya menjadikan Najib semakin gusar, risau dan menggelabah. Kerana
jika semangat dan roh slogan “INI KALI LAH...” ini benar-benar
diterjemahkan pada PRU 13, maka pemerhati politik akan melihat Najib
sebagai Perdana Menteri UMNO yang terakhir.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.