SHAH ALAM 6 Dis: Tiada sebarang permohonan kebenaran merancang projek
perumahan di Felda Gedangsa di Hulu Selangor dari Kerajaan Persekutuan
atau Felda, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Khalid berkata, kerajaan negeri tidak pernah menerima cadangan untuk
membangunkan projek perumahan kepada generasi kedua felda seperti yang
didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Jika ada pun permohonan yang diterima, ia hanya melibatkan
permohonan dari Felda untuk melupuskan pemilikan tanah seluas 14.65
hektar di Felda Soeharto bagi tujuan kediaman.
“Kerajaan Negeri bagaimanapun mendapati tanah itu masih terletak di
bawah Seksyen 44 Akta Penempatan Berkelompok 1960 yang bermaksud tanah
itu masih di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan Adalah salah untuk Perdana
Menteri mendakwa Kerajaan Negeri enggan membantu,” kata beliau.
Beliau mengulas kenyataan Najib hari ini yang menyalahkan Kerajaan
Negeri Pakatan Rakyat kerana didakwa enggan meluluskan projek-projek
perumahan di Felda-felda di Hulu Selangor.
Khalid berkata, semakan dengan Jabatan Tanah dan Galian Negeri
Selangor juga mendapati terdapat satu cadangan pada awal tahun 1990-an
iaitu dari Felda untuk projek pembangunan di Felda Gedangsa.
Bagaimanapun katanya, ia ditolak oleh Kerajaan Negeri Barisan
Nasional ketika itu kerana kegagalan projek pembangunan semula di Felda
Sungai Buaya.
Khalid juga kecewa kerana Perdana Menteri menyalahkan pihak lain
ekoran kegagalan Umno-BN menunaikan janji-janji yang dibuat pada pilihan
raya kecil di Hulu Selangor.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan
Persekutuan untuk kebaikan rakyat. Kami telah buktikan dengan Projek The
Greater Klang Valley dan projek River of Life. Tiada alasan untuk
Kerajaan negeri mendiskriminasikan peneroka Felda.
“Malah, lebih 2,000 ekar tanah milik Kerajaan Negeri di Hulu Bernam
telah dibangunkan oleh Felda tanpa pengetahuan Kerajaan Negeri dan
Kerajaan Negeri tidak menerima bayaran satu sen pun,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.