SUBANG JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat supaya
meneruskan perjuangan sekalipun beliau dipenjara, demi membebaskan
negara ini dari kancah rasuah, selain menegakkan demokrasi dan keadilan
serta menolong rakyat miskin.
Berulang kali berkata demikian, beliau tidak digentar dipenjara,
malah pernah mengalami pelbagai seksaan, penghinaan dan dipukul tetapi
ia tidak sedikitpun mengurangkan semangat juang membela rakyat. “Ini
perjuangan agama dan tuntutan universal,” kata Ketua Umum KEADILAN itu
depan kira-kira 10,000 orang dalam ceramah di stadium mini 3K Subang
Jaya, malam tadi.
Kurang 60 jam menjelang keputusan kes Fitnah II, Isnin ini, Anwar
sudah sedia berdepan sebarang kemungkinan dan keputusan mahkamah, selain
bersedia di segi mental dan fizikal.
Dengan tegas, Anwar berkata: “Kes Fitnah II dan keputusannya tidaklah
penting. Yang lebih penting ialah persiapan Pakatan Rakyat menghadapi
PRU 13 supaya Pakatan dapat berkuasa di Putrajaya.
“Kita
mesti teruskan perjuangan menegakkan keadilan, kebebasan, menentang
rasuah, diskriminasi, penipuan dan kezaliman BN. Perjuangan ini jauh
lebih penting dari memikirkan nasib saya atau keputusan mahkamah,”
katanya.
Dipetik dari HarakahDaily, kata-kata itu disambut dengan tepukan gemuruh dari orang ramai yang terdiri dari pelbagai kaum.
Dengan suara bergetar, Anwar memberitahu, beliau akan terus berjuang
sama ada di dalam penjara atau di luar penjara dan meminta rakyat yang
mahukan kebebasan dan pemerintahan yang adil, mesti meneruskan
perjuangan.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa pemimpin negara Asia Barat
termasuk kerajaan baru Tunisia dan Perdana menteri Turki, Resep Rayeeb
Erdogan menawarkan beliau dan keluarganya supaya tinggal di negara
mereka tetapi beliau menolak.
“Saya tidak akan lari ke luar negara walau apapun kemungkinan yang
berlaku. Wan Azizah, anak-anak dan menantu sudah saya beritahu,”
katanya.
Minggu depan, kata Anwar, beliau akan berada di luar negara beberapa
hari untuk berucap di beberapa seminar termasuk di Turki yang akan
membincangkan persoalan gerakan Islam dan demokrasi.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.