Sebut sahaja nama Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), rata-rata
rakyat yang hidup sebelum dan sesudah Perang Dunia Kedua meremang bulu
roma mereka hasil daripada tiupan semangat nasionalisme kelahiran para
guru dari situ.
Apakan tidak, di awal penubuhannya sahaja sudah cukup meyakinkan
rakyat untuk mengakui kebangkitan para gurulah yang mendorong gerakan
kebangsaan untuk memulai wacana kemerdekaan negara.
Pasti, slogan mahasiswa khususnya bakal guru sebagai ‘juru bicara’ rakyat bukanlah hal yang asing dan terpisah dari masyarakat.
Dahulu, kita sudah menyaksikan anak-anak bangsa kita yang berjuang
menuntut kemerdekaan adalah merupakan mahasiswa perguruan. Jadi, atas
teras inilah golongan yang memperkecilkan kelompok pelajar perguruan
bermakna mereka tidak ubah seperti berusaha menterbalikkan sejarah yang
sahih di sisi masyarakat.
Tidak usahlah kita memperkecilkan potensi pelajar pada hari ini atas
alasan mahasiswa kita akan ketinggalan, abai pada perintah dan harapan
ibu-bapa, dilalaikan di dalam larut politik semasa.
Apakah pejuang kemerdekaan yang terbit daripada semangat pencerahan
para guru suatu ketika dahulu sebenarnya berpijak di ruang yang fana dan
berpaksi di atas kayangan? Sudah-sudahlah memperkecilkan bakal
pendidik ini.
Dan akhirnya kita terpaksa akur bahawa dongak dan tunduknya bangsa
kita ini adalah tersandar dengan tidur atau sedarnya bakal pendidik
kita. Merekalah pencorak generasi dan penentu utama masa hadapan
Malaysia.
Kebangkitan perjuangan guru
Melintas kembali romantisnya sejarah perjuangan pelajar perguruan
MPSI yang kini dikenali dengan nama Universiti Perguruan Sultan Idris
(UPSI), cetusan gerakan kemerdekaan awal menerusi Kesatuan Melayu Muda
sekitar 1930 adalah diasaskan oleh seorang graduan MPSI yang bernama
Ibrahim Haji Yaakob.
Bermulanya gerakan radikal yang saya kira mungkin detik pertama dalam
usaha memerdekakan tanahair kita ini disulami kebangkitan golongan
terpelajar tidak lain tidak bukan dari UPSI sendiri.
Siapa pula Harun Aminurrashid? Apa latar belakang pendidikan pendeta
Za’ba ( Bapa Kesusasteraan Melayu Moden) atau tahukah kita dari manakah
bermula perjuangan Aminuddin Baki? Seorang reformis pendidikan kita
yang merupakan sebahagian lingkaran kebangkitan para guru untuk meniup
semangat kebangsaan negara.
Jadi, penerus kebangkitan nilai kebangsaan ini bermula dengan jatuh
bangunnya pelajar perguruan. Kalau mahu bercerita sumbangan besar
mereka, saya kira satu hari pun belum tentu cukup untuk menggambarkan
betapa pentingnya kebangkitan guru dalam menegakkan keadilan dan hak
rakyat yang tertindas.
Memori luka
Kini, memori luka perjuangan pelajar perguruan yang juga pejuang
kemerdekaan negara agak sedikit tersadur menerusi penerusan
mahasiswa-mahasiswa yang aktif memperjuangkan hak mereka.
Kita sudah cukup penat untuk dibebani dengan krisis yang melanda para
guru kita. Dari satu hak kepada hak yang lain ditarik, dibebani dengan
beban tanggungjawab mendidik dan memerdekakan minda anak bangsa tetapi
persoalan utama inikah layanan sebenar pihak berkuasa terhadap bakal
pendidik kita dengan diherdik dan diperlakukan sebegini lupa?
Sudahlah begitu, parti pemerintah yang suatu masa dahulu bergantung
kepada sumbangan para guru telah meminggirkan mereka kerana ghairah
dengan ‘tokoh korporat’ dan ‘profesional’. Akhirnya ia terpalit dengan
jenayah dan dosa rasuah serta penyelewengan yang juga bertaraf
‘korporat’ dan ‘profesional’.
Adakah pemerintah sedar apa yang mereka lakukan ini seumpama membunuh masa depan bangsa Malaysia kita?
Sebutkan pada mereka di celah mana sekalipun, sejarah kebangkitan
rakyat seluruh dunia tidak satu pun yang memperkecilkan sumbangan
mahasiswa dalam mendalangi peristiwa-peristiwa terbabit.
Hal kemuncak kebangkitan mahasiwa sendiri seperti yang dunia lihat
adalah menerusi protes pelajar 15 April 1989 di Tiananmen Square di
China dimana kebangkitan yang didokongi gerakan pelajar bukanlah fakta
yang diruncit tanpa penjelasan fakta sejarah yang kukuh. Begitu juga
kebangkitan mahasiswa dan bakal guru di Indonesia dalam reformasi 1998.
Jadi, di mana letaknya kumpulan pelajar ini di sisi masyarakat kita?
Adakah mahasiswa kita sudah cukup tercerah sekiranya mereka hanya larut
di dalam sistem yang melahirkan pelajar secara teknikal berilmiah tetapi
tidak mampu bersifat kritis terhadap ranah pendidikan kebangsaan ini?
Sampai bila untuk kita sanggup melihat kegagalan demi kegagalan
tercipta hanya untuk menutup kerang busuk yang membuat onar. Saya
percaya peristiwa pembantaian mahasiswa 1 Januari lepas seharusnya
menjadi titik tolak untuk sama-sama kita berganding tangan menentang
kemusnahan yang sedang tercipta.
Sedar dari lena yang panjang
Mahasiswa ini bukan menuntut ruang untuk berhibur dan berfoya-foya
tetapi mereka cuba mengabdikan diri mereka untuk terbabit dalam
tanggungjawab kenegaraan. Suara-suara kecil mereka mahu didengari
sebagai senjata yang membela rakyat jelata supaya tidak ditipu penguasa.
Akhir sekali, kita harus akur bahawa kebangkitan guru dan bakal guru
inilah sumbu yang menyalakan pelita kebangkitan rakyat menentang
kezaliman penguasa. Tinggal apa lagi ~ sedarlah para guru dari lena yang
panjang, tiupan kebangkitan hanya tunggu tersebar bila anda semua
bangkit melawan kebobrokan. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.