Mengikut kalendar kaum Maya di Amerika Selatan, mereka percaya
bahawa tahun 2012 merupakan tahun dunia yang kita ketahui bakal kiamat.
Apakah ‘dunia’ pemerintahan kerajaan paling lama di dunia juga akan
mengalami nasib yang sama?
Semakin lama di bawah UMNO-Barisan Nasional, semakin parah dan teruk
negara yang kita cintai ini. Amanah rakyat dianggap sebagai hak mereka,
penindasan dan kezaliman terus berleluasa, dan rakyat diporakperandakan
dengan perkauman melampau agar mereka terus dapat mencengkam kuku mereka
menggenggam kuasa.
Apakah yang menanti rakyat untuk tahun 2012 di bawah UMNO-BN? Ini
adalah antara ramalan Nujum Pak Atan. Walau pun Pak Atan tak sekolah
tinggi, Pak Atan belajar sendiri tentang ekonomi dan isu semasa dari
internet. Maklumlah semua maklumat yang ada dalam surat khabar hanya
omong kosong BN saja.
1. Ketirisan Wang Perbendaharaan Negara terus didedahkan Laporan Ketua Audit Negara dan peningkatan hutang negara.
Tahun demi tahun, bajet belanjawan negara sentiasa berada dalam
defisit sehinggakan ia dianggap normal. Mana tidaknya, apabila jabatan
kerajaan membeli teropong lebih mahal daripada kereta Myvi dan banyak
lagi contoh lain telah didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2011 dan ia
bukanlah suatu pekara yang baru. Ketirisan dan kebocoran seperti inilah
yang menyebabkan kerugian wang rakyat. Belum lagi dikira berapa banyak
wang negara telah hilang akibat rasuah.
Malah negara telah mencapai kedudukan nombor 4 dunia tahun ini dalam
carta pengaliran wang haram ke luar negara untuk tahun 2011. Malahan,
jika dikira jumlah pengaliran wang haram ke luar negara dalam dekad ini
sahaja ia sudah melebihi RM1 trilion (iaitu RM1,000,000,000,000.00).
Kesan langsung daripada ketirisan, kebocoran, rasuah, dan
penyelewengan oleh sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab ialah
peningkatan kadar hutang negara.
Tahun demi tahun kadar hutang negara terus meningkat. Pada tahun
2006, hutang negara ialah RM242 bilion, dan ia kian melonjak setiap
tahun. Kini pada tahun 2011, jumlah hutang kerajaan pusat ialah RM456
bilion. Tahun demi tahun ia meningkat dan ini tidak akan berubah untuk
2012. Sejarah telah membuktikan ramalan ini.
Pasal apa hutang ini penting untuk kita tahu? Sebab hutang kerajaan
itu duit rakyat. Jadi kita sebagai rakyat yang kena tanggung dan kena
bayar. Tengoklah nanti, macam-macam jenis cukai, bayaran perkhidmatan
dan entah apa lagi kita dipaksa bayar.
Ramalan Pak Atan: Laporan Ketua Audit
Negara 20112 akan menjumpai perbelanjaan yang tidak masuk akal oleh
jabatan awam, orang yang berkaitan perbelanjaan itu hanya akan diberi
‘surat amaran’. Defisit bajet sudah pasti, dan hutang awam negara turut
meningkat.
2. Pemotongan subsidi, peningkatan harga barangan, pengenalan cukai-cukai baru
Apabila sebuah kerajaan bersikap boros dan tidak bertanggungjawab,
maka hanya terpaksa menanggung ialah rakyat. Untuk menambah hasil, maka
subsidi harus dikurangkan dan cukai akan ditambah atau cukai baru
terpaksa diperkenalkan.
Ini sudah terlihat dengan pelbagai pengenalan cukai baru yang akan
dilaksanakan pada tahun ini seperti cukai 6% untuk perkhidmatan telefon
bimbit pra-bayar dan goods and services tax (GST).
GST ini dianggap satu sistem pencukaian yang amat tidak adil dan akan
menyusahkan rakyat, terutamanya yang berpendapatan rendah. Jika ingin
tahu tentang GST ini, sila lihat kembali berita dan rencana tentangnya
di roketkini.com mahu pun di internet.
Sama ada kita rakyat biasa atau pakar ekonomi Harvard, terdapat dua jaminan yang tidak boleh disangkal dengan wujudnya GST ini.
Yang pertama, lagi miskin seseorang itu, maka lagi banyak cukai dia terpaksa bayar atas prinsip ekonomi yang mudah.
Yang kedua, pelaksanaan GST menjanjikan inflasi sekurang-kurangnya
sekali, dan kesannya amat buruk. Manakan tidak, setiap benda pun akan
dicukaikan. Jika sebab harga petrol meningkat maka harga makanan
meningkat.
Cuba bayangkan apa akan jadi jika semua benda meningkat harganya
kerana GST? Sudah pasti pihak pengeluar tidak akan menyerap, malah
memindahkan beban tersebut kepada pengguna.
Bukan itu sahaja, malah infrastruktur dan tenaga kerja untuk mengutip
cukai GST yang dikenakan kepada setiap benda hidup atau mati pun pasti
akan mengambil kos yang tinggi. Bersiap sedialah rakyat Malaysia untuk
mengalami satu inflasi terbesar negara dengan pelaksaan GST.
Ramalan Pak Atan: GST dilaksanakan dalam
setahun jika BN mengekalkan kuasa Putrajaya. Satu inflasi besar akan
berlaku dan pemimpin BN akan menyuruh rakyat untuk mengubah gaya hidup.
3. Negara semakin bergolak dengan sentimen perkauman.
Sejak azali kita mengetahui BN tiada modal untuk mengekalkan
kerelevanannya melainkan memisahkan setiap rakyat Malaysia berdasarkan
kaum. Ini terutamanya diamalkan oleh parti UMNO. Agama dan penganut
Kristian, kaum-kaum Cina dan India, Majlis Peguam, lembu, katak dan
sebagainya dijadikan musuh dalam imaginasi liar mereka untuk mengajak
manusia ke jalan kebencian dan bukannya kasih saying.
Sejak 2008, ada saja fitnah untuk mencipta imej bahawa semua orang di
Malaysia adalah musuh orang Melayu. DAP dikatakan ejen Kristian, DAP
dituduh nak menubuhkan republik, semua orang yang bersimpati, menyokong
dan menjadi ahli DAP ditohmah sebagai ‘bangsat’.
Malah skandal barangan tidak selamat dimakan di Kedai Rakyat
1Malaysia pun dijadikan isu perkauman. Sehingga skandal wang rakyat
untuk ternak lembu yang digunakan oleh keluarga seorang menteri untuk
membeli kondo mewah dikatakan usaha menghancurkan Melayu.
Tanpa penciptaan benci ini, maka UMNO-BN dilihat sebagai tidak
relevan lagi. Selain perkauman, apa yang mereka boleh sumbangkan kepada
rakyat di negara kita? Ekonomi teruk, rasuah teruk, kesemuanya teruk
belaka.
Inilah apa yang rakyat perlu fikirkan. Siapakah yang mencipta
pergolakan kaum? Siapa yang akan memperoleh keberuntungan dengan
pergolakan kaum? Tanpa kebencian, tanpa perkauman, UMNO-BN tidak mungkin
relevan.
Rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu harus mengorak langkah ke
hadapan dan jangan terperangkap ke kancah perkauman dan kebencian yang
diciptakan oleh UMNO-BN untuk melemahkan orang Melayu supaya kononnya
orang Melayu boleh berlindung di bawah payung UMNO-BN.
Ramalan Pak Atan: Penganut agama Hindu dan
Kristian sudah menjadi mangsa para pemimpin UMNO, selepas ini
penganut-penganut agama lain yang berani menuntut hak akan menjadi
sasaran pula. Pertubuhan-pertubuhan perkauman yang seangkatan dengan
UMNO akan semakin menjadi-jadi dalam mengeluarkan kenyataan perkauman.
4. Undang-Undang baru lebih bebas dan adil? Tunggulah kucing bertanduk…
Dengar ceritanya, pada tahun 2012 ini kerajaan UMNO-BN nak ‘menukar
‘undang-undang yang dianggap sebagai zalim atau menghapuskannya terus!
Baik sungguh UMNO-BN. Terima kasih UMNO-BN…selepas ini ramailah pemimpin
pembangkang, pelajar dan aktivis menjadi mangsa undang-undang baru.
Jika dilihat dengan janji-janji yang terdahulu, Datuk Seri Najib
Razak belum pernah menunaikan janji yang tidak menyokong kepentingan
beliau. Daripada janji nak beri Stadium Merdeka untuk perhimpunan aman
Bersih 2.0 kepada pembelasahan peserta Bersih 2.0, dan kini kepada
serangan ganas polis terhadap mahasiswa yang berhimpun secara aman di
Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), inilah wajah sebenar Perdana
Menteri.
Jika PM telah menjanjikan undang-undang yang lebih bebas untuk orang
ramai berhimpun, kita ucapkan tahniah kerana ia adalah perubahan yang
baik ke arah kematangan demokrasi. Namun jika undang-undang tersebut
lebih teruk daripada undang-undang perhimpunan di Myanmar yang dipimpin
oleh rejim tentera, kita pun amat marah bagaikan panglima perang ludah
UMNO Petaling Jaya kerana rakyat cuba diperbodohkan dan diperlekehkan.
Ramalan Pak Atan: Undang-undang yang
menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Mesin Cetak
dan Penerbitan (PPPA) akan lebih teruk dari rejim-rejim diktator di
dunia. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan terus kekal,
atau sedikit dipinda, kerana kerajaan UMNO-BN amat takut jika pelajar
dan mahasiswa bangkit menuntut perubahan.
Jelas, semakin lama di bawah UMNO-BN, lebih parah keadaannya di
negara yang kita cintai ini. Kalau kita cinta orang yang disayangi,
kasih kepada anak-anak dan cucu-cucu kita, dan tidak mahu ibu bapa
serta generasi akan datang menjadi bangsa yang hina di bumi sendiri,
maka kita perlu ubah sekarang untuk selamatkan Malaysia. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.