
Sebagai tanda pelancaran, kutipan sumbangan pertama tabung khas itu dibuat dalam mesyuarat lajnah itu di Pejabat Agung PAS petang tadi.
RM500 berjaya dikumpulkan di kalangan AJK lajnah ini bagi membolehkan satu akaun dibuka untuk mengumpul sumbangan orang ramai untuk membina surau ini.
Idea penubuhan surau ini dicetuskan oleh Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menziarahi pulau itu dalam ekspedisi penerangan PAS ke Sabah dan Sarawak baru-baru ini.
PAS telah melahirkan komitmen untuk membina surau bagi kegunaan masyarakat kampung yang amat memerlukan surau tersebut bagi tujuan ibadat dan aktiviti kemasyarakatan.
Bagi peringkat permulaan, Tuan Ibrahim bersama AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Yang dipertua PAS Kawasan Batu Sapi, Hj Hamzah Abdullah telah meletakkan batu asas bagi pembinaan surau tersebut.
(Tuan Ibrahim bersama Nik Zawawi, Haji Hamzah, Idris Ahmad serta penduduk tempatan memacakkan kayu tanda perletakan asas surau Kampung Shanghai di Sandakan)
Berucap sebelum meletakkan batu asas itu, Tuan Ibrahim yang dalam rangka kerjanya ke Sabah melahirkan perasaan dukacita atas komitmen yang ditunjukkan oleh Umno-BN mentadbir dan menjaga kebajikan masyarakat di pulau ini.
“Di Pulau Api Api dan Pulau Tronglit ada surau, mengapa di pulau ini (Pulau Shanghai) tidak begitu? Di mana sensitiviti wakil rakyat di sini yang kononnya membela rakyat dan Islam?” soal Tuan Ibrahim dalam majlis itu.
Pulau Shanghai terletak setengah jam perjalanan dengan bot laju dari Sandakan.
Hampir kesemua penduduk pulau ini beragama Islam namun kerana kemiskinan dan tidak diendahkan, tidak ada sebuah suraupun di pulau ini.
Untuk bersembahyang Jumaat, mereka terpaksa menaiki bot ke pulau lain yang berhampiran.
Ekoran itu, dalam ekspedisi penerangan PAS baru-baru ini, keputusan dicapai untuk membina sebuah surau di pulau itu.
"Kita sasarkan kutipan sebanyak RM50,000 untuk membina surau ini," kata Tuan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Lajnah Penerangan PAS hari ini.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.