| Sejak tahun 2001, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah  menggesa pihak berkuasa supaya mengharamkan sepenuhnya segala bentuk  asbestos. Gesaan tersebut dibuat berikutan peningkatan kes-kes penyakit  yang dikaitkan dengan asbestos disebabkan penggunaan besar-besaran  asbestos pada masa lalu, dan hakikat bahawa beberapa buah negara,  termasuk Malaysia, masih terus menggunakan asbestos chrysotile. 
 Dalam perbincangan dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan  (DOSH) pada 28 Mac lalu, satu persetujuan telah dicapai berhubung  pengharaman asbestos, termasuk chrysotile. Bagaimanapun perwakilan dari APCO Worldwide membantah kemasukan chrysotile  ke dalam pengharaman tersebut dengan alasan Malaysia akan mengalami  kerugian ekonomi jika berbuat demikian. Mereka yang hadir dan DOSH  sendiri menekankan bahawa penggunaan chrysotile sedang dikeluarkan secara berperingkat-peringkat oleh industri terbabit.
 APCO telah membuat bantahan supaya menghentikan pengharaman tersebut  kepada DOSH dan kerajaan Malaysia. APCO juga membawa masuk Dr David  Berstein, ahli toksikologi yang beribu pejabat di Switzerland yang telah  menjalankan pelbagai kajian ke atas merokok dan asbestos chrysolite  yang dibiayai oleh industri tembakau dan asbestos sendiri, ke Malaysia  untuk meyakinkan kerajaan bahawa produk itu selamat untuk kegunaan.
 Pandangan dari sudut saintifik adalah cukup jelas bahawa semua bentuk asbestos, termasuk asbestos chrysotile,  boleh menyebabkan penyakit seperti mesotelioma, kanser paru-paru,  kanser jenis lain dan asbestosis, dan penggunaan yang selamat adalah  sesuatu yang mustahil. Tambahan pula, asbestos adalah salah satu  karsinogen pekerjaan yang paling penting, membabitkan kira-kira separuh  daripada bilangan kematian akibat kanser pekerjaan. Malah, ia membunuh  lebih ramai pekerja di banyak negara berbanding kecederaan ketika  bekerja.
 Menurut WHO, di negara-negara yang telah mengharamkan asbestos sejak  awal tahun 90-an sekalipun kes kematian yang dikaitkan dengan asbestos  terus meningkat. Ini disebabkan tempoh lama yang dikaitkan dengan  penyakit tersebut. Dengan menghentikan penggunaan asbestos sekarang,  kita berharap dapat melihat penurunan dalam kes-kes kematian yang  dikaitkan dengan asbestos cuma selepas beberapa dekad.
 Sementara itu, Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan Pertubuhan Kesihatan  Sedunia telah mengadakan kempen secara global untuk membasmi penyakit  yang dikaitkan dengan asbestos, dan ia dijalankan dengan menghentikan  penggunaan semua jenis asbestos.
 Lebih daripada 55 buah negara telah menyahut gesaan ini dan negara  terakhir yang berbuat demikian ialah Thailand. Pihak berkuasa Thai  mendapati bumbung rumah di bandar yang tidak menggunakan asbestos  menambah kos pembinaan rumah sebanyak $65 atau ½ peratus kos membina  rumah di Thailand. Memandangkan keadaan di Thailand dan Malaysia  mempunyai beberapa persamaan, adalah selamat untuk mengatakan bahawa  kerugian ekonomi yang disebutkan oleh APCO adalah tidak signifikan.
 Sehubungan itu, Malaysia perlu turut menyertai kempen global ini  iaitu ke arah mengharamkan penggunaan segala jenis asbestos dan tidak  tunduk kepada tekanan kumpulan-kumpulan yang lebih mementingkan  keuntungan daripada kesihatan orang ramai.
 SM Mohamed Idris adalah Presiden CAP.
 sumber : Harakah daily
 | 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.