7 OKTOBER – Belanjawan alternatif Pakatan Rakyat 2012 – Kesejahteraan  Untuk Semua – yang dikemukakan baru-baru ini bukan sekadar mencerminkan  keinginan PR untuk memerintah Malaysia, sebaliknya ia adalah azam  politik yang akan dilaksanakan selepas berjaya mengambil alih  pemerintahan negara.
Memang ini adalah azam dan cita-cita. Dasar belanjawan Pakatan Rakyat  ini bukanlah semata-mata untuk menyaingi dasar UMNO-Barisan Nasional,  sebaliknya ia adalah satu dasar yang menyeluruh dan condong memberi  kuasa kepada rakyat terbanyak.
Kuasa atau kecenderungan kepada rakyat merupakan satu keperluan yang  pertama sekali perlu diberikan. Dalam hal ini, PR telah berjaya memahami  dan melakarkannya secara tuntas.
Kekuatan rakyat dalam konteks kuasa untuk memiliki atau membeli  adalah lebih utama dari belanjawan yang menghambat mereka dengan  pelbagai cukai, hutang dan tanggungan bil kepada syarikat-syarikat  gergasi dan kerajaan.
Maksud ‘kuasa kepada rakyat’ dalam dasar belanjawan PR ini juga memberi makna ‘kuasa memilih’ bagi rakyat.
Dengan pendapatan yang kompetitif, elaun atau imbuhan yang  berpatutan, semua golongan rakyat baik lelaki dan wanita, tua dan muda,  pekerja atau suri rumah akan mampu menjadikannya sebagai satu dorongan  untuk mereka lebih produktif melalui dorongan Belanjawan Pakatan Rakyat.
Suri rumah dan warga emas
Bayangkan, sebagai suri rumah yang saban hari dirinya lusuh dengan  rutin yang sama, menerima bantuan sebanyak RM1,000 dan elaun RM700  setahun bagi penjagaan anak berumur 12 tahun ke bawah.
Paling tidak kesannya adalah golongan terbanyak ini akan mula  merancang bagaimana cara terbaik untuk menggunakan wang itu. Biasanya  suri rumah memang menjadi ‘menteri kewangan’ rumah tangga.
Jangan kita pandang rendah terhadap intelek dan keupayaan golongan  suri rumah ini kerana umum juga ketahui bahawa golongan ini bijak  menggunakan wang atau aset yang kecil untuk menjaga, mengurus dan  mencambah pendapatan isi rumah, malah lebih kreatif dan rajin dengan  mengambil upah menjahit kain, baju, langsir dan pelbagai lagi.
Justeru, bantuan sebegini akan mampu meransang keupayaan golongan  suri rumah untuk merencana sesuatu demi kebaikan keluarga dan rumah  tangga.
Begitu juga dengan warga emas. Bonus RM1,000 di samping bantuan  berterusan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (tidak termasuk duit Hari  Raya/Krismas/Deepavali dan Tahun Baru Cina), amat bermakna bagi golongan  ini.
Walau pun golongan ini dari aspek ekonomi sudah dianggap golongan  yang kurang produktif, mereka tetap mempunyai peranan besar dalam  konteks pembangunan keluarga dan masyarakat.
Pelajar dan anak muda
Bagaimana pula dengan golongan muda?
Mengikut laporan media, pelajar-pelajar kita secara umumnya mengalami masalah stress (tekanan) yang amat tinggi.
Pelbagai fakta dan laporan termasuk andaian beberapa pihak telah  dikemukakan tentang punca para pelajar kita mengalami stress. Barangkali  dalam hal ini, wajar persoalan itu kita tujukan kepada dasar pendidikan  negara termasuk pendekatan-pendekatan yang telah dan sedang digunakan  oleh kementerian terbabit.
Secara konsepnya, warga muda yang mengalami tekanan perasaan atau  stress, selain dari faktor dirinya sendiri, ia juga berpunca dari gaya  hidup keluarga dan persekitaran semasa.
Kisah yang sering diungkapkan oleh golongan muda (pelajar) ini adalah  ‘kebebasan’ baik dari keluarga, sekolah, persekitaran termasuk apa jua  kegiatan yang dipaksakan ke atas mereka.
Ruang mereka untuk mendekati dan menguji kebebasan disekat dan  dihantui dengan pelbagai momokan. Maka, golongan ini bukan sahaja akan  gagal dalam pendidikan malah turut menyebabkan emosi dan intelek mereka  beku dan lesu.
Kita tak dapat nak membayangkan dengan usia yang masih muda, masih  belum banyak tanggungjawab dan peranan tetapi telah mengalami masalah  tekanan perasaan yang kronik.
Maka, fenomena ini harus ditangani dengan berhati-hati dan komprehensif.
Jika kita melihat belanjawan PR dalam membantu golongan muda, RM100  juta akan diperuntukkan kepada program Pilihan Anak Muda, yang  melibatkan anak muda Malaysia berumur bawah 30 tahun untuk  mengimplimentasikan projek-projek dan program-program pilihan mereka.
Malah RM50 juta akan diperuntukkan kepada sebuah dana khas untuk  meningkatkan penglibatan anak muda dalam aktiviti-aktiviti berdasar  kreativiti dan mewujudkan lebih banyak ruang riadah dan rekreasi.
Menggalakkan kebebasan dan kreativiti
Jika kita memahami konteks sebenar bantuan ini, ia bukan sekadar  jumlah wang yang berjuta-juta. Wang itu jangan menggelapkan mata kita.
Sebaliknya ia menunjukkan satu sifat yang ketara di mana kerajaan  memberi golongan ini satu ‘lesen’ untuk mereka memilih, bergerak,  beraktiviti, merancang, berkreatif dan memanfaatkan ruang sosial dalam  konteks demokrasi yang matang.
Di samping imbuhan bantuan ini, jangan kita lupa bahawa kerajaan PR  juga akan memansuhkan Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU) demi  memastikan golongan muda benar-benar aktif dan dapat memainkan peranan  dalam masyarakat dengan lebih berkesan.
Anak muda tidak akan belajar dengan cara paksaan. Tetapi daya tarikan  mampu menyebabkan golongan ini dapat dipandu dengan lebih fokus dan  terarah.
Inilah nilai yang ada dalam belanjawan PR, belanjawan untuk rakyat  Malaysia. Ia bukan umpan untuk memancing undi. Ia telah mengambil kira  kepentingan hari ini dan masa depan. – Roketkini.com
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.