KUALA LUMPUR, 7 OKT – Belanjawan Pakatan Rakyat yang menawarkan  penetapan gaji minimum RM1,100 bertujuan menarik keluar majoriti pekerja  berpendapatan rendah dari lubuk kemiskinan.
Ia juga bakal mengangkat maruah pekerja dan golongan miskin ke tahap  yang lebih tinggi kerana selama ini golongan paling besar yang  menyumbang kepada pembangunan negara telah diabaikan oleh kerajaan  UMNO-Barisan Nasional, kata Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago.
Beliau berkata gaji minimum yang disyorkan dalam belanjawan Pakatan  itu merupakan satu proses bagi membaik pulih ekonomi rakyat,  produktiviti pekerja dan secara tidak langsung memberi lebih kuasa  memilih dan membeli kepada mereka.
“Dengan syor gaji minima sebanyak RM1,100 oleh Pakatan, ia akan  memberi kuasa kepada pekerja untuk berunding dengan majikan tentang hak  dan kepentingan ekonomi mereka,” katanya kepada Roketkini.
Charles yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor berkata, gaji asas  kebanyakan pekerja di Malaysia hanya dalam lingkungan RM500 sebulan  walau telah bekerja selama berpuluh tahun.
“Bermula sedekad lalu, produktiviti pekerja meningkat tinggi, malah  produktiviti syarikat juga naik, tetapi ia tidak selari dengan gaji  pekerja yang dalam tempoh itu hanya naik kepada 2.6 peratus sahaja,”  katanya.
Justeru, dengan ketetapan gaji minimum untuk semua sektor, Charles  menjelaskan bahawa angka itu akan memberi lebihan kewangan kepada  pekerja untuk berbelanja dan meningkatkan taraf hidup mereka dan  keluarga mereka.
“Selain itu, dengan lebihan wang itu juga ia akan mendorong kepada  lebihan aktiviti ekonomi dan secara tidak langsung juga meningkatkan  ekonomi Malaysia. Ini bakal menjadi suntikan dan kenaikan ekonomi kepada  Malaysia,” katanya.
Pada 4 Oktober lalu, Pakatan Rakyat telah membentangkan Belanjawan  bertema Kesejahteraan Untuk Semua yang menerangkan usaha telus Pakatan  untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, selain membetulkan kembali  kerosakan-kerosakan angkara BN kepada Perlembagaan Persekutuan.
Belanjawan itu dilancarkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar  Ibrahim yang turut menjelaskan bahawa kuasa untuk menentukan gaji  minimum terus dipusatkan di tangan Menteri, justeru Akta Majlis  Rundingan Gaji Kebangsaan yang dibentangkan baru-baru ini tidak lebih  dari helah untuk menutup keengganan BN melaksanakan gaji minimum.
Berhubung Majlis Rundingan Gaji Kebangsaan, Charles berkata, BN dan majlis itu sebenarnya tidak mempunyai political will sejak sekian lama.
“Hanya selepas desakan dari Pakatan, kesatuan-kesatuan pekerja, dan NGO-NGO, barulah mereka merasakan satu keperluan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan intergriti majlis rundingan tersebut sama  ada gaji yang bakal ditetapkan mereka itu akan meliputi Sabah dan  Sarawak, semenanjung Malaysia, atau berasaskan industri-industri sahaja.
“Sangat lembab usaha mereka… Mereka masih belum bincang,” katanya,  menambah bahawa Pakatan dalam tempoh hanya beberapa bulan telah pun  berupaya menetapkan satu angka gaji minimum, berbanding majlis yang  dianggotai lebih 20 orang itu. – Roketkini.com
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.