| Soalan: Ustaz, saya ingin bertanya perihal yang berkaitan dengan  bunian. Perkara ini timbul dalam keluarga saya sendiri, iaitu mengenai  adik perempuan saya yang berperangai agak aneh. Kami sekeluarga amat  musykil apabila beliau menolak pinangan orang, sebaliknya mengaku sudah  berkahwin dengan makhluk halus atau bunian. 1. Soalan saya, apakah perkahwinan antara manusia dengan jin boleh berlaku?
 2. Apakah hukumnya perkahwinan tersebut, sah atau tidak dari sisi Islam?
 Halimatussaadiah
 Bota, Perak
 
 Jawapan 1
 Puan,
 Perkahwinan dalam erti kata yang kita fahami hari ini, tidur bersama  selepas perkahwinan yang sah, memang berlaku di antara manusia dengan  manusia sahaja seperti yang disebut oleh Allah S.W.T dalam Surah ar-Rum,  ayat 21 (mahfumnya): "Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T,  dijadikan bagi kamu (manusia) untuk pasanganmu dari jenis kamu juga  (manusia), supaya kamu mendapat ketenangan dengannya dan dianugerahkan  kepada kamu kasih sayang dan rahmat dari Allah S.w.T."
 Ayat ini menjelaskan bahawa pasangan hidup manusia dalam rumahtangga  yang dirahmati Allah, adalah di antara manusia dengan manusia.
 Mengenai dakwaan adik puan yang menyatakan bahawa dia telah berkahwin  dengan jin. Pada saya hal ini memang boleh berlaku pada suatu  kemungkinan (possibility).
 Dalam sejarah sebagai contoh, berlaku kisah Puteri Balqis, Raja  Perempuan di negeri Saba' (Yaman). Ada pendapat yang mengatakan bahawa,  salah seorang daripada ibu bapanya adalah jin. Sama ada bapanya jin,  ibunya manusia atau sebaliknya.
 Hal ini saya dapati ada tercatat dalam Tafsir al-Qurtubi, juzuk yang  kesepuluh halaman 289, ketika membuat tafsiran kepada Surah al-Isra'  ayat 64, yang menyebut firman Allah bahawasanya jin akan berusaha keras  memperdayakan manusia untuk menderhaka kepada Allah dengan  berbagai-bagai cara.
 Mereka menggunakan seni suara (nyanyian), tentera-tentera mereka  digunakan, sehingga boleh bermusyarakah bersama untuk mendapatkan harta  benda dan anak-anak milik bersama manusia hasil perkongsian dengan  makhluk-makhluk halus ini. Disebut di antaranya, berlakulah perkahwinan  tadi (ibu bapa Puteri Balqis).
 Dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.ha, Nabi pernah  bersabda yang bermaksud, "Bahawasanya ada kalangan manusia ini yang akan  menjadi mugharribeen, maka Aishah bertanya Nabi maksud mugharribuun  itu? Maka Nabi bersabda yang bermaksud ialah mereka-mereka yang telah  bermusyarakah dalam kehidupan rumahtangga dengan jin."
 Daripada rujukan ini menunjukkan bahawasanya ada kemungkinan manusia  itu mengahwini jin sama seperti apa yang didakwakan. Kerana makhluk ini,  seperti disebut dalam beberapa hadis, mereka boleh menyerupai dengan  rupa-rupa yang diizinkan Allah kepada mereka menyerupainya. Tetapi dalam  keadaan-keadaan yang amat sempit atau peluang yang mereka ada amat  terhad, demi menjaga kemaslahatan anak Adam tidak terdedah dengan luas  untuk ditanggung oleh makhluk-makhluk halus.
 Penjelmaan mereka menjadi makhluk seperti manusia, disabitkan dalam  hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, iaitu kejadian pencurian  harta zakat yang dikawal selia oleh Abu Hurairah, sehingga Abu Hurairah  boleh menangkapnya dan dibawa kepada Rasulullah s.a.w untuk pendakwaan.  Walaupun akhirnya jin tersebut dilepaskan tetapi Nabi telah menyatakan  bahawasanya yang mencuri itu adalah syaitan.
 Disabitkan juga bahawa penjelmaan jin itu wujud dalam bentuk yang  jelas menyerupai manusia dalam peristiwa peperangan Badar seperti yang  disebut dalam Surah al-Anfaal ayat 87 (mahfumnya):
 "Dan ketika dihiasi oleh syaitan kepada mereka, tentera Islam dengan  katanya kepada mereka, kamu tidak dikalahkan oleh musuhmu oleh manusia  dan saya adalah jiran kepada kamu yang akan membantu dalam peperangan  ini. Maka apabila kedua-dua kumpulan (Islam dengan Kafir Jahilliyah)  bersemuka untuk peperangan yang berjanji untuk menolong mereka  orang-orang kuffar itu telah cabut lari mengatakan saya tidak lagi boleh  bersama-sama dengan kamu kerana saya dapat melihat apa yang kamu tidak  boleh lihat dan saya sesungguhnya amat takut kepada Allah dan Allah itu  amat dahsyat keseksaan-Nya".
 Ayat ini merujuk kepada adanya kepada satu makhluk yang menjelma  sebagai manusia kununnya untuk membantu askar-askar musuh (kuffar)  menentang Islam dan sabit bahawa makhluk itu bukan manusia, tetapi jelas  mereka adalah syaitan.
 Dengan demikian, jelaslah bahawasanya syaitan ini boleh menyerupai  manusia dan dengan sendirinya boleh menjadi suami atau isteri kepada  manusia.
 Jawapan 2
 Hukumnya adalah jelas, jumhurnya ulama sudah berijma' bahawa hukumnya  (mengahwini jin) tidak sah! Tidak boleh perkahwinan manusia dengan jin  dilakukan. Melainkan ada seorang ulama yang bernama Qamuli yang  menyatakan perkahwinan tersebut boleh.
 Namun saya berpegang kepada pandangan jumhur ulama bahawa hukum  perkahwinan tersebut adalah tidak sah, kerana ianya menyalahi dengan  ayat Surah ar-Rum yang disebut di atas. Perkahwinan antara manusia  dengan jin tidak akan melahirkan ketenangan, kebahagiaan ataupun  mendapat rahmat Allah SWT.
 Perkahwinan yang tidak sah pada hukum syarak tidak mungkin dirahmati  Allah dan tidak mendapat restu Allah. Tidak mungkin kebahagian dan  ketenangan berlaku! Kita dapat merasakan jika berlaku suatu krisis  rumahtangga dengan mereka (golongan jin), bagaimana rumahtangga boleh  aman daripada gangguan mereka?
 Malahan anak-anak yang mungkin lahir dari hubungan itu, akan  menjadikan masalah kepada manusia, mereka tidak boleh bergaul dalam alam  manusia dengan sanak saudara. Jika berlaku pula masalah dengan  anak-anak jiran, maka ianya akan mengundang berbagai kecelakaan. Nasihat  saya kepada keluarga puan, hindarilah hal-hal ini daripada berlaku.  Wallahu a'lam.
 | 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.