KUALA LUMPUR, 7 Okt: Kerajaan  hari ini dalam mengumumkan bajet 2012 telah memperuntukan sebanyak  RM232.8 bilion bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan kerajaan.
Perdana  Menteri Datuk Seri Najib Razak sewaktu mengumumkan bajet tersebut  menjelaskan daripada peruntukan tersebut RM181.6 bilion adalah bagi  peruntukan perbelanjaan manakala RM51.2 bilion pula diletakan bagi  perbelanjaan pembangunan.
Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr  Dzulkifly Ahmad ketika diminta mengulas tentang bajet yang telah  diumumkan itu menjelaskan bajet tersebut adalah lebih terjurus kepada  gula-gula politik ataupun peruntukkan pilihanraya.
"Bajet yang diumumkan oleh Najib itu hanyalah lebih kepada untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang.
"Secara  jelas beliau berada dalam keadaan tertekan apatah lagi apabila melihat  belanjawaan yang telah diumumkan oleh Pakatan Rakyat (PR)sebelum  ini,"jelasnya.
Tambah Dr Dzulkifly lagi tekanan yang dihadapi  oleh Najib itu apabila melihat belanjawan PR yang lebih tertumpu kepada  pengagihan semula pendapatan negara kepada rakyat.
"PR melihat  tekanan yang dihadapi oleh Najib adalah tentang hasrat PR yang telah  berjanji ingin melakukan pengagihan semula pendapatan negara kepada  rakyat, kita melihat beliau terpaksa bertindak balas terhadap usaha PR  itu.
"Tetapi persoalan yang jelas ingin PR utarakan bagaimana  pengagihan semula itu ingin dikembalikan semula kepada yang berhak tanpa  ada sebarang ketirisan. Sebagai contoh pemberian subsidi kepada pemilik  teksi dan kita lihat keuntungan hanya akan diperolehi oleh kroni mereka  sendiri bukannya kepada pemilik teksi tersebut," katanya.
Persoalan besar
Dalam  pada itu beliau menjelaskan Najib hanya menumpukan perbelanjaan kepada  pembangunan tetapi tidak menyatakan secara khusus bagaimanakah kerajaan  ingin menambah pendapatan negara.
"Bajet sebelum ini kita melihat  kerajaan akan mengumumkan penambahan pendapatan sumber negara akan  dikutip melalui cukai-cukai tetapi pada kali ini ia tidak dinyatakan dan  ini menjadi persoalan besar kepada kita bagaimanakah kerajaan ingin  berbelanja sedangkan tidak pasti sumber pendapatannya.
"Najib  terus membuat perbelanjaan besar dalam projek mega yang jelas mempunyai  risiko tinggi di saat negara berdepan dengan ekonomi global yang muram  dan secara jelas ekonomi negara berada pada tahap bahaya jika  perbelanjaan yang tidak bertanggungjawab ini diteruskan tanpa pengkajian  yang khusus," sambungnya lagi.
Beliau memberitahu pada kali ini  Najib cuba mengelak dari memberi komitmen kepada rakyat terutamanya  pekerja awam dan juga swasta malah dalam pada itu Najib juga tidak  berlaku adil terhadap pekerja swasta yang sentiasa ketinggalan setiap  kali bajet diumumkan.
"Kita melihat bajet kali ini tidak  diletakkan gaji minimum sebagai sasaran mereka dan secara jelas saya  katakan Najib cuba mengelak untuk terus ada komitmen dengan pekerja awam  mahu pun swasta.
"Tetapi dalam masa yang sama bajet tersebut  memperlihatkan Najib telah menganaktirikan pekerja swasta dengan  menafikan hak mereka sebagai tenaga pendapatan negara, tanpa ada  peruntukan khusus diberikan oleh Najib kepada golongan pekerja tersebut.
"Najib  hanya mengumumkan pemberian bonus dan juga kenaikan gaji pekerja awam  mengikut gred-gred tertentu dan apa yang kita lihat setiap kali bonus  mahupun gaji dinaikkan maka akan wujud inflasi di negara ini dan ia akan  terbeban kepada semua rakyat bukannya kepada mereka yang mendapat  faedah, inilah ketidak adilan yang wujud dalam bajet kali ini," ulasnya  lagi.
Cedok bajet Pakatan
Beliau menambah bajet ini adalah mencedok dari apa yang telah di umumkan oleh belanjawan Pakatan Rakyat sebelum ini.
"Bajet  dari PR lebih mesra kepada rakyat dibawah jika dibandingkan dengan apa  yang diumumkan oleh Najib tadi dan kita tahu rakyat tidak akan selesa  dengan apa yang diberitahu kerana mereka tidak mendapat apa yang  dikehendaki," sambungnya lagi.
Sebelum itu bajet 2012 yang  diumumkan oleh Perdana Menteri itu juga tidak meletakkan sumbangan  wanita dan juga warga emas yang telah banyak memberi sumbangan kepada  negara, selain itu juga bebanan diberikan kepada rakyat melalui Program  Perumahan Rakyat dengan meningkatkan had maksimum harga rumah daripada  RM220 ribu kepada RM400 ribu bagi pembiayaan bersama suami isteri.
"Kenaikan  ini dilihat tidak seimbang kerana tiada sasaran gaji minimum dinyatakan  oleh kerajaan dan secara jelas akan melihat rakyat terus terbeban  dengan kos tambahan dan bebanan hutang," kata Dr Dzulkifly lagi.
sumber : Harakah Daily
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.