| Kira-kira dua minggu yang lalu, saya ditanya oleh seorang wartawan  berkenaan perkara yang menarik tentang pesta konvokesyen Universiti  Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Soalan itu cukup mudah, namun  memberi satu impak kepada diri saya untuk mencari jawapan yang tepat dan  sebenar tentang istilah perkara yang menarik tentang pesta konvokesyen.  Pesta Konvokesyen UIAM kali ke-27 yang berlangsung selama satu minggu  bermula 8 Oktober 2011 hingga 15 Oktober 2011 harus mempunyai tarikannya  yang tersendiri, bukan sekadar kegairahan untuk memeriahkan suasana  konvokesyen di UIAM. 
 Asasnya, pesta konvokesyen ini bertujuan untuk meraikan  graduan-graduan yang berjaya mendapatkan segulung ijazah hasil kerja  keras sepanjang proses pengajian dan pengalaman pencerahan ilmu di  menara gading ini. Seharusnya, untuk setiap kejayaan itu, perlu ada  keraian sebagai perangsang untuk terus maju pada masa hadapan serta  merintis jalan untuk melebarluaskan jalur intelek dan etika dalam  masyarakat secara amnya.
 Namun, apabila sesuatu proses atau perkara itu mengalami pengulangan  dan dilihat sebagai suatu adat atau kebiasaan, maka objektif asal  kewujudan perkara tersebut seperti pesta konvokesyen misalnya, semakin  kabur dan kadang-kadang tidak jelas. Lantaran itu, timbullah idea-idea  pelaksanaan yang meminggirkan kesucian nilai akademia dan intelektual  yang menjadi fungsi penting bagi sesebuah universiti. Lantas, terdapat  kesalahfahaman bahawa pesta konvokesyen ini harus diisi dengan hedonisme  dalam usaha untuk mencipta dan mewujudkan suatu momentum kemeriahan  dalam pesta.
 Apakah ini yang seharusnya diyakini oleh keseluruhan mahasiswa dan  masyarakat tentang pelaksanaan pesta konvokesyen? Apakah jenis pemikiran  ini harus menjadi asas kepada refleksi modal insan yang menjadi harapan  nusa bangsa kelak? Persoalan-persoalan inilah yang secara tidak sengaja  diutarakan dalam benak fikiran saya sewaktu memikirkan jawapan bagi  pertanyaan oleh wartawan tersebut. Oleh itu, saya melihat pendekatan  dalam pesta konvokesyen harus melalui proses penjenamaan semula melalui  pelaksanaan program sewaktu pesta berlangsung.
 Seharusnya, pesta konvokesyen perlu didasari dengan semangat  percambahan ilmu lebih-lebih lagi, universiti sepatutnya bertindak  sebagai pusat penyaluran ilmu yang memberi manfaat bukan sahaja kepada  masyarakat di dalamnya, malahan golongan yang berada di sekitarnya juga.  Di Turki dan Indonesia misalnya, pesta konvokesyen penuh dengan pesta  jualan buku.
 Lantaran itu, pesta konvokesyen UIAM cuba menerapkan kesedaran ilmu  melalui program-program seperti National Seminar serta Seminar  Penulisan  (SerumpuN). Dalam masa yang sama, tidak dipinggirkan juga  elemen kemeriahan melalui program-program yang lebih santai seperti  Chocolate Fair, Grand Exhibition, Islamic Performance Night dan Fit for  Fun Race. Sekurang-kurangnya, pengunjung boleh mendapatkan sesuatu yang  bermanfaat melalui aktiviti-aktiviti tersebut lantas memberi impak yang  positif dalam menjustifikasikan fungsi universiti sebagai pusat ilmu dan  pembinaan masyarakat dalam konteks akademia dan pembangunan modal  insan.
 Saya juga berpandangan, objektif penubuhan universiti itu sendiri  perlu mendasari segala aktiviti termasuklah pesta konvokesyen.  Universiti sebagai suatu institusi yang mengembangkan potensi dan  mentaliti masyarakat dari sudut kekuatan intelek dan rohaninya harus  dijadikan batu asas kepada sebarang bentuk perbincangan dan pelaksanaan.  Contohnya di UIAM, misi Triple ICE iaitu Integrasi (Integration),  Pengantarabangsaan (Internationalization), Islamisasi (Islamization) dan  Kefahaman Menyeluruh (Comprehensive Excellence) seharusnya menjadi  pemangkin dalam usaha untuk mencetuskan inspirasi kepada seluruh warga  universiti mahupun sekitar. Kesannya, universiti akan lebih bersifat  inklusif dalam mendekatkan seluruh masyarakat dengan budaya keilmuan.
 Di kesempatan ini juga, tidak terlambat untuk saya mengucapkan  tahniah kepada semua graduan yang bakal menerima segulung ijazah sama  ada kedoktoran, ijazah sarjana mahupun sarjana muda. Semoga  produk-produk yang terlahir setelah melalui pengalaman ilmu di  universiti mampu untuk disebarluaskan dalam kalangan masyarakat  seterusnya menggunakan kemahiran yang dilalui sepanjang proses  pencerahan ilmu di institusi pengajian tinggi untuk meningkatkan  produktiviti dan mentaliti masyarakat supaya mampu berdaya saing di  persada antarabangsa.
 Penulis ialah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIA
 | 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.