|  KUALA LUMPUR, 7 Okt:  Suara Rakyat Malaysia (Suaram) tidak boleh menerima kenyataan Menteri  Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein yang menyatakan bahawa isu  keganasan polis semasa perhimpuanan Bersih 2.0 diperbesarkan dan pihak  polis tidak boleh disalahkan sepenuhnya. Penyelarasnya, Yap Heng Lung berkata, dalam insiden itu, Menteri  Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar perlu meminta  maaf dengan segera di atas kekerasan polis terhadap peserta himpunan  Bersih 2.0.
 Katanya, kerajaan juga perlu membayar pampasan dan ganti rugi  terhadap semua mangsa keganasan polis termasuk keluarga Allahyarham  Baharuddin Ahmad yang meninggal dunia semasa perhimpunan tersebut.
 
 “Kami mengecam tindakan kerajaan yang membelanjakan sebanyak  RM22,855.76 termasuk kos penggunaan 226 peluru gas pemedih mata (TS  Shell) dan 36 bom pemedih mata (TS Grenades) untuk menyuraikan peserta  perhimpunan aman Bersih 2.0,” ujarnya dalam satu kenyataan.
 Tambahnya, tindakan tersebut adalah satu penyelewengan duit rakyat dan amat tidak professional.
 Menurutnya, penggunaan senjata sebegitu jelas melanggar hak rakyat  untuk bebas bersuara dan berhimpun seperti yang termaktub dalam  Perlembagaan Persekutuan dan juga Deklarasi Hak Asasi Manusia.
 Selain itu, ujarnya kerajaan juga melanggar prinsip asas Pertubuhan  Bangsa-bangsa Bersatu dalam penggunaan kekerasan dan senjata api.
 “Kami inginkan penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri dan juga  Ketua Polis Negara, kenapa wujudnya perbezaan jumlah orang yang  ditangkap di mana mengikut statistik Kementerian Dalam Negeri (KDN),  jumlah yang ditangkap adalah 1,509 orang padahal kenyataan polis  menyatakan sebanyak 1,697 orang.
 Katanya, Suaram berpendirian, KDN dan Ketua Polis Negara perlu  mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden kekerasan polis yang  berlaku pada 9 Julai lalu.
 Tambahnya, tindakan memberikan alasan yang tidak munasabah dan tidak  mengaku kesilapan yang dilakukan oleh polis semasa perhimpunan Bersih  2.0 akan mengecewakan rakyat dan menunjukkan kerajaan tidak mempunyai  kehendak politik untuk menambahbaikan institusi polis seperti yang  diinginkan oleh rakyat jelata.
 Fungsi Biro Tatatertib dalam Polis Diraja Malaysia dalam menangani  anggota polis yang melanggar garis panduan operasi polis (SOP)  sememangnya tidak cukup kerana tidak telus dan laporan tatatertib adalah  sulit.
 “Kami menyeru kerajaan pimpinan Najib Tun Razak untuk segera  menunaikan permintaan rakyat untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Salah  Laku dan Aduan Polis (IPCMC).
 “Hanya dengan kewujudan suruhanjaya tersebut yang adil dan bebas yang  membolehkan institusi polis untuk ditambahbaik dengan berkesan,”  katanya.
 | 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.