| Soalan Saya sudah berbulan-bulan tidak tidur bersama suami kerana dia  menjauhkan daripada saya. Setiap kali saya mendekatinya dia merungut  “panas, rimas dan jauh daripada aku, aku tidak boleh mendekati kamu.”  Apabila saya mengajaknya berubat dia enggan, sebaliknya mendakwa saya  yang sakit dan perlu diubati. Ramai pengubat yang saya temui mengatakan  suami saya disihir. Jika benar, apakah yang perlu saya lakukan untuk  mengatasi masalah ini yang semakin genting.
 Aniza,
 Kuala Lumpur
 
 Jawapan
 Masalah dalam rumah tangga memang banyak. Salah satu daripadanya  berkenaan kisah yang puan paparkan. Permasalahan sebegini banyak berlaku  dan saya selalu diadukan hal-hal seperti ini.
 Ramai ahli perubatan mudah menyimpulkan dan mengaitkan masalah ini  dengan sihir. Bagaimanapun saya sendiri tidak pandai untuk mengatakan  bahawa suami disihir kerana saya tidak mengetahui perkara yang sebenar.
 Sebenarnya tiada orang yang boleh tahu ia adalah fenomena daripada sihir.
 Sihir memang wujud. Ia perkara ghaib. Nama atau istilah sihir itu  sendiri bermakna sesuatu yang disembunyikan atau tersembunyi daripada  orang ramai.
 Jika ia sihir, ia dilakukan secara sulit dan penuh rahsia. Jika ia  rahsia, bagaimana para pengubat boleh mengatakan ia adalah sihir.
 Jika pengubat berkenaan memberitahu bahawa suami puan terkena sihir, maka ertinya dia mengetahui perkara ghaib.
 Saya pernah menjelaskan dalam ruangan ini sebelum ini, bahawa insan  mana pun tidak akan mengetahui perkara yang ghaib kerana Allah berfirman  (mafhumnya): "Katakanlah ‘Tiada sesiapapun mengetahui perkara yang  ghaib sama ada yang menghuni langit atau bumi, melainkan Allah SWT  sahaja...(hingga akhir ayat)." - Surah an-Naml ayat 65
 Firman Allah (mafhumnya): "Allah sahajalah yang mengetahui segala  yang ghaib, maka ada yang dizahirkan keghaiban itu kepada sesiapapun.” -  Surah al-Jinn, ayat 26.
 Dalam peristiwa lain dalam hadis sahih diceritakan bahawa Rasulullah  s.a.w. disihir seorang Yahudi yang bernama Labeed bin al-A'ksam dan  baginda sendiri tidak mengetahui disihir sehinggalah diberitahu oleh  Jibril a.s.
 Jika Rasulullah s.a.w. sendiri tidak mengetahui disihirkan, bagaimana kita mudah-mudah mengetahui ada orang disihirkan?
 Oleh yang demikian saya berfikir kes puan ada kaitannya dengan permasalahan suami isteri.
 Ada kalanya saya bersetuju, apa yang dipaparkan ia ada kena mengena  dengan sihir. Salah satu senario sihir seperti Firman Allah (mafhumnya):  "...Dalam pada itu ada yang mempelajari ilmu sihir daripada Harut dan  Marut, dengannya boleh menceraikan antara suami dan isteri...(hingga  akhir ayat)." - Surah al-Baqarah, ayat 102.
 Ayat ini jelas menunjukkan wujudnya ilmu sihir dan antara perkara  yang boleh berlaku adalah (dengan izin Allah) memusuh, melaga-lagakan  sehingga mencerai beraikan suami isteri.
 Apa yang puan alami adalah kerengangan yang merosakkan fungsi  perkahwinan. Seolah-olah telah hilang kemesraan dan kasih sayang sudah  bertukar kepada permasalahan yang membawa keadaan yang tidak diingini.
 Kejadian seperti ini tidak semestinya daripada sihir perbuatan orang.  Jika tidak kerana disihirkan pun, boleh terjadi kejadian sedemikian  itu.
 Mungkin antaranya adalah kerana suami berpenyakit mati pucuk (sebagai  contoh), dia malu memberitahu isterinya, lalu bersikap dingin,  menyalahkan orang lain, kononnya dia disihirkan.
 Atau, suami hilang minat kepada isteri di atas kelemahan-kelemahan  isteri yang suami tidak tahu untuk mengatasinya dan tidak mahu  membincangkannya.
 Atau, kerana perangai-perangai isteri yang keterlaluan hingga menyebabkan suami menyampah terhadapnya.
 Atau dengan sebab-sebab lain seperti ada campur tangan pihak ketiga  dan sebagainya yang menyebabkan suami hilang minat terhadap isteri, maka  berlakulah perkara yang puan sebutkan tadi.
 Saya tidak bermaksud untuk meletakkan hal-hal yang sedemikian itu  berlaku kepada puan. Saya sekadar ingin mengajak puan dan semua yang  berlaku kes seumpama ini pada diri mereka, melihat dahulu faktor-faktor  fizikal melanda kehidupan kita.
 Sekalipun berlaku apa yang puan sebutkan itu, maka ubatilah masalah  itu dengan bersungguh-sungguh tanpa melabelkan ia perbuatan sihir.
 Ada kemungkinan bahawa hal seperti ini berlaku kerana gangguan  syaitan yang tidak disuruh mana-mana atau dipergunakan ilmu sihir yang  berinsusiasi dengan makhluk halus.
 Sememangnya syaitan itu musuh utama yang sentiasa berusaha memporak  perandakan kehidupan anak Adam. Pun demikian tidak dikatakan sihir,  walaupun tanda-tandanya semacam sihir. Jika mudah-mudah dianggap sebagai  sihir, ia menimbulkan satu lagi penyakit iaitu sakit hati kepada orang  yang buat sihir.
 Lebih malang lagi jika ada yang menuding jari 'si pulan itu  membuatnya, si anu itu membuatnya' atau lebih teruk mendakwa jiran,  kawan sepejabat atau orang terdekat melakukannya. Keparahan itu  menyebabkan penyakit tidak terlerai, penyakit tidak disembuhkan.
 Apapun puan perlu cuba mengubati orang yang berpenyakit, cuba  berjumpa orang yang diyakini boleh menolong, tiada penyakit yang tiada  penawarnya.
 Sekurang-kurangnya puan dan suami berdoa ke hadrat Allah untuk  disembuhkan, beramal dengan ayat-ayat al-Quran seperti yang tersebut  dalam hadis-hadis sahih.
 "Nabi menyuruh keluarganya beramal dengan membaca Surah al-Ikhlas,  Surah al-Falaq dan Surah an-Naas, ayat al-Kursyi dan lain-lain." (Hadis  riwayat A'ishah r.anha)
 Atau puan dan suami boleh tambah membawa 11 ayat dalam Surah  al-Baqarah, ayat 1, 2, 3, 4 dan 5, baca ayat 255, 256, 257 dan 284, 285  serta 286.
 Berbuatlah demikian, lakukan cara yang disarankan oleh syarak untuk mengubati penyakit suami puan.
 Wallahua'lam.
 | 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.