|  KUALA LUMPUR, 7 Okt:  Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) bersama penduduk Kg. Baru menolak Akta  Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011 diluluskan oleh Dewan Rakyat  pada 5 Oktober lepas kerana tidak mendapat mandat sepenuhnya dari  pemilik dan pewaris tanah di Kampung berkenaan. Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata,  Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong  Chik Raja Zainal Abidin dilihat begitu terdesak memaksa parlimen  meluluskan akta baru itu sebelum pilihan raya ke-13 bagi memastikan  pihak kerajaan dapat menguasai tanah-tanah penduduk di kampung  berkenaan.
 
 Katanya, walaupun melalui akta itu, status tanah di Kg. Baru bertukar  dari tanah poertanian kepada tanah Pusat Bandaraya Komersial (CCC),  namun penduduk terikat kepada kuasa pentadbiran pihak perbadanan dan  situasinya nanti pasti sama seperti di Putrajaya di mana pemilik tanah  tidak boleh melakukan pembangunan sesuka hati.
 Malah, ujarnya melalui akta itu pihak perbadanan mempunyai kuasa  merampas mana-mana tanah dengan membayar gantirugi yang nilainya  ditentukan oleh oleh pihak lembaga yang dilantik oleh menteri.
 Menteri secara keseluruhan, tambah beliau mempunyai pengaruh dan kuasa yang besar terhadap perbadanan yang bakal ditubuhkan.
 “Beliaulah yang akan memilih dan melantik ahli-ahli lembaga dan  secara tidak langsung boleh mempengaruhi sebarang keputusan lembaga  termasuk dalam pemilihan syarikat kontraktor yang akan melakukan  pembangunan di Kg. Baru,” katanya kepada Harakahdaily.
 Menurutnya, apa yang paling dirisaukan oleh penduduk adalah bentuk  pembangunan yang ingin dijalankan oleh pihak perbadanan kerana sehingga  ke hari ini pihak menteri masih gagal memberikan reka bentuk pelan  pembangunan sebenar.
 “Bila ditanya wartawan baru-baru ini beliau hanya menyatakan  pembangunan Kg. Baru akan mengekalkan ciri-ciri kemelayuan dan  keislaman,” ujarnya.
 Justeru itu, katanya tidak mustahil yang kekal nanti hanyalah  beberapa rumah-rumah asal penduduk yang dijadikan tempat pelancongan dan  Masjid Kg. Baru sahaja, sedangkan rumah-rumah lain dan premis  perniagaan akan diroboh dan digantikan dengan kondominum mewah serta  lot-lot perniagaan bernilai tinggi untuk dijual kepada pelabur asing  dari luar negara.
 “Lihat sahaja kawasan di sekeliling KLCC yang telah dibangunkan  dengan unit-unit kondominium mewah yang majoritinya dimiliki dan dihuni  oleh bukan warganegara.
 “Warga tempatan khususnya orang-orang Melayu dipindahkan ke kawasan pinggiran pusat bandar,” ujarnya.
 DPPM juga, ujarnya melihat pindaan kecil terhadap senarai ahli  lembaga perbadanan dengan melantik seorang wakil penduduk Kg. Baru  sebagai timbalan pengerusi sebagai gimik politik kerana yang bakal  dilantik nanti sudah pastilah kalangan orang-orang Umno yang menjadi  barua kepada menteri yang berkuasa.
 “Kalau pun penduduk diberikan hak memilih wakil mereka untuk duduk di  kerusi ini, tetapi kuasa dan suara hanya terhad sedangkan majoriti  korum lembaga adalah orang-orang yang dikuasai dan dilantik oleh  menteri.
 “Oleh itu, DPPM akan terus bersama penduduk menolak akta baru ini dan  dari semasa ke semasa akan bersama penduduk mempertahankan hak mereka,”  katanya.
 | 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.