KOTA BHARU, 7 Okt: Wacana Perlaksanaan Hudud di  Negeri Kelantan semalam antara lain merumuskan bahawa Kelantan berhak  dan boleh melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Hudud) 1993.
Malah, menurut Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Mohamad salah  seorang panel wacana itu berkata, undang-undang itu perlu dilaksana  segera kerana sudah 20 tahun diluluskan tanpa perlaksanaan.
Tambah beliau lagi, bagi mencapai hasrat itu Kelantan perlu segera  mewujudkan dua mahkamah iaitu Mahkamah Syariah Khas tiga hakim dan  Mahkamah Rayuan Syariah Khas lima hakim.
"Bagi perlaksanaan hukum ini, pihak kami sudah bersedia dan hanya  menunggu keputusan kerajaan Kelantan sahaja dan ia bukannya mudah untuk  menjatuhkan hukuman kepada pesalah kerana pesalah atau yang dituduh  perlu melalui beberapa proses seperti saksi yang cukup dan sebagainya,”  katanya di dewan Teratai Kompleks Darulnaim, di sini.
Selain beliau, wacana tersebut turut menampilkan Ahli Majlis Agama  Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Datuk Mohammad Daud  Iraqi dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA),  Prof Dr Abd Aziz Bari.
Tambah beliau lagi, Akta Mahkamah Syariah 1965 (Pindaan 1985) juga  tidak wajar dijadikan halangan untuk melaksanakan hudud di negeri itu.
Mengulas dakwaan perlaksanaan hudud bertentangan dengan perlembagaan,  Daud pula berkata, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberikan hak  yang jelas kepada setiap warganegara mengamalkan agama masing-masing  termasuk masyarakat Islam yang mahu mengamalkan hudud.
Malah, ujarnya sebarang undang-undang yang menyekat kebebasan ini sebenarnya yang patut dipertikai.
“Perkara 11 memberikan kebebasan mengamalkan agama, kenapa kita nak  takut, kita nak amalkan agama kita, kita nak laksana, tanggungjawab ini  tertanggung kepada kerajaan yang akan ditanya Allah di akhirat nanti  kenapa luluskan enakmen tetapi tidak laksana,” katanya.
sumber : Harakah Daily 
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.