19 DISEMBER – Hampir semua media massa “arus perdana” – yang diterbit
atau disiarkan setiap hari seperti akhbar harian, TV dan radio – di
Malaysia berada dalam kawalan UMNO dan Barisan Nasional.
Kawalan itu dibuat sama ada secara kangsung melalui pemilikan saham
para pemimpin UMNO-BN atau secara tidak langsung melalui undang-undang
yang ketat, malah zalim, seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA),
Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Keselamatan Dalam Negeri dan
pelbagai peraturan serta undang-undang kecil lain yang menyekat kebebsan
bersuara dan berekspresi.
Dengan itu, akhbar-akhbar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, New
Straits Times, The Star dan sebagainya serta RTM dan TV3 dan juga semua
stesen radio milik mereka yang mempunyai hubungan dengan kepimpinan
negara, hanya menyampaikan maklumat satu hala sahaja.
Yang dibaca, ditonton dan didengar, hampir 99 peratus, adalah berita
dan laporan mengenai “kebaikan” UMNO-BN sahaja. Inilah yang telah dan
sedang berlaku di Malaysia sejak separuh abad lamanya.
Propaganda tradisi UMNO-BN yang dibiayai wang rakyat telah gagal
Namun, dengan penguasaan media yang hampir menutup suara rakyat,
ruang untuk kritikan membina dan pandangan yang berbeza daripada
UMNO-BN, masih tidak cukup untuk menahan keghairahan rakyat untuk
mendapatkan maklumat yang lengkap, benar dan tepat.
Sudah tentu keadaan penguasaan media itu memaksa rakyat mencari
alternatif lain. Sejak reformasi 1998 di mana dunia menyaksikan ledakan
maklumat di Malaysia setelah kerajaan UMNO-BN menutup sepenuhnya pintu
media massa (selepas Dr Mahathir Mohamad memecat Anwar Ibrahim daripada
kerajaan dan kemudian memenjarakannya).
Lahirlah
media alternatif daripada kreativiti alam maya internet. Edaran akhbar
harian semakin menurun kerana rakyat sudah tidak percayakan lagi
propaganda yang menyamar sebagai berita dan laporan media. TV dan radio
hanya menjadi sumber hiburan kerana berita-berita mereka sama seperti
“berita” di negara-negara diktator dahulu seperti pada era Nazi di
Jerman dan komunis di empayar Soviet Union.
Kini teknologi maklumat bukan sahaja menawarkan laman-laman web
tetapi juga facebook, twitter dan bermacam lagi termasuk TV dan radio
internet yang boleh dicapai dari mana-mana peralatan seperti komputer
meja, i-pad dan i-pod, telefon bimbit atas pelbagai jenama dan banyak
lagi kemudahan yang sedang dan akan dicipta.
Semua ini telah mencabar kedudukan kerajaan UMNO-BN yang sudah sedar
bahawa kawalan 99 peratus media massa tidak berjaya menyekat rakyat
daripada mendapat maklumat alternatif.
Justeru Datuk Seri Najib Razak yang mahu memperlihatkan diri sebagai
seorang pemimpin yang hebat telah melancarkan TV1 Malaysia yang bersifat
interaktif dan boleh dicapai melalui telefon pintar dan tablet.
Namun, tidak ada apa yang baru daripada TV 1Malaysia melainkan
propaganda yang sama kerana ia tetap mengambil program-program daripada
RTM dan TV3. Malah akhir-akhir ini propaganda tersebut agak merbahaya
kerana mempunyai ciri-ciri perkauman yang membangkitkan emosi benci kaum
lain.
Wang rakyat untuk kempen UMNO-BN
Persoalannya, sebagaimana yang diketahui umum, apa sahaja yang
berlambangkan 1Malaysia adalah produk-produk yang dibiayai oleh wang
rakyat. Ia bukan dari poket pemimpin UMNO-BN.
Dalam hal ini, Perdana Menteri wajib menjelaskan kepada rakyat:
* Berapa banyak peruntukan dan perbelanjaan yang digunakan untuk TV 1Malaysia?
* Mengapa wang rakyat perlu digunakan untuk membiayai satu lagi propaganda UMNO-BN?
Tidak cukupkah UMNO-BN membuatkan rakyat sengsara apabila wang
peruntukan untuk menternak lembu diberikan kepada keluarga seorang
Menteri yang telah gagal menjayakan usaha membekalkan daging kepada
rakyat, sebaliknya menggunakan wang amanah itu untuk membeli kondominium
mewah?
Tidak cukupkah UMNO-BN membayar wang rakyat untuk blogger-blogger
upahan yang melakukan fitnah terhadap keluarga termasuk anak kecil
pemimpin Pakatan Rakyat?
Tidak cukupkah UMNO-BN, setelah “membela” blogger tukang fitnah itu,
sanggup membenarkan mereka masuk ke dalam kapal selam penuh rahsia
negara dengan sewenang-wenangnya?
Itu adalah sifat kepimpinan UMNO-BN yang ada hari ini. Mungkin mereka
tidak boleh atau tidak mampu untuk membersihkan atau mereformasikan
diri serta pentadbiran mereka.
Kuasa untuk berubah di tangan rakyat
Yang boleh melakukan perubahan hanyalah rakyat. Persoalan yang harus
setiap individu rakyat Malaysia, termasuk ahli-ahli UMNO sendiri,
adalah:
* Berapa lama lagi rakyat sanggup membiarkan diri dipermainkan dan
dihina oleh kepimpinan yang tidak tahu menghormati maruah insan?
* Berapa lama lagi rakyat sanggup membiarkan diri diperkotakkatikkan
oleh kepimpinan yang hanya mementing diri dan keluarga mereka sahaja?
* Berapa lama lagi rakyat sanggup menderita apabila tiada kenaikan
gaji manakala harga barangan dan perkhidmatan semakin meningkat, dan
cukai-cukai baru pula akan diperkenalkan, dan pada masa yang sama, wang
rakyat dibazirkan dan dirompak oleh mereka yang bergelar para pemimpin
kerajaan?
Usaha terbaru TV 1Malaysia ciptaan Najib adalah contoh kecil daripada
pencurian titik peluh rakyat membangunkan negara. Para pemimpin UMNO-BN
tidak pedulikan itu semua. Yang penting bagi mereka adalah mengutamakan
diri dan keluarga terlebih dahulu.
Kuasa di tangan rakyat. Jika memilih untuk terus mengekalkan yang
buruk dan busuk, maka tiada siapa yang dapat berbuat apa-apa untuk
rakyat. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.