19 Dec 2011

AMK gesa kerajaan tangguh laksana SBPA

KUALA LUMPUR 19 Dis: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa kerajaan menangguhkan perlaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi mengelakkan rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam.
Timbalan Ketua Penerangan AMK, Najwan Halimi berkata, kerajaan juga perlu berunding dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekeja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sebelum melaksanakan sistem tersebut.
Tambahnya lagi, isu ketidakseimbangan pelarasan gaji sebagaimana yang didedahkan oleh Cuepacs adalah sesuatu yang memeranjatkan kerana dilihat bercanggah dengan pengumuman oleh Perdana Menteri sewaktu pembentangan Belanjawan 2012.

“PM (Datuk Seri Najib Razak) menyatakan bahawa kenaikan gaji bagi penjawat awam adalah di antara tujuh hingga 13 peratus. Namun apa yang berlaku wujud dakwaan bahawa kenaikan gaji bagi kebanyakan penjawat awam khususnya Kumpulan Pelaksana adalah kurang daripada tujuh peratus,”
Kata Najwan, kajian semula terhadap skim ini amat penting  kerana dilihat tidak adil dan menindas kepentingan hampir 1.4 juta penjawat awam dan tidak  seharusnya dibuat dengan tergesa-gesa.
“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan SBPA dan menyelesaikan isu-isu berbangkit yang menjadi pertikaian serta mencetuskan kekeliruan di kalangan penjawat awam,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan mengapakah kerajaan perlu tergesa-gesa dalam menguatkuasakan pelaksanaan skim SBPA ini seolah-olah ada ‘gula-gula pilihan raya’ di sebaliknya.
“Dalam konteks ini, sektor perkhidmatan awam sebagai nadi utama pembangunan negara sewajarnya dilayan dengan adil tanpa mengira perbezaan pangkat dan kumpulan, sama ada dari Kumpulan Pelaksana, Kumpulan Pengurusan dan Profesional atau dari Kumpulan Pengurusan Tertinggi,” kata beliau.
Sebelum ini, media melaporkan Cuepacs membuat pendirian tegas meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan SBPA, yang akan dikuatkuasakan 1 Januari ini.
Badan induk itu mendakwa pihaknya “amat kesal” kerana kerajaan dan JPA tidak mengadakan langsung perundingan dengan Cuepacs sebelum menggubal dan melaksanakan SBPA.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata, kerajaan seharusnya memastikan setiap anggota perkhidmatan awam, menerima maklumat yang tepat dan mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.