TEMERLOH, 19 Dis:
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan
kerajaan yang diteraju Umno berada dalam keadaan lemah sehingga sesuatu
keputusan menjadi berubah-ubah apabila diugut oleh beberapa pihak.
Pesuruhjaya PAS Pahang itu mendakwa, ini terbukti dalam isu novel
Interlok di mana akhirnya kerajaan mengalah dengan tidak lagi
menggunakan buku tersebut mulai tahun hadapan hanya kerana mahukan undi
kaum India.
Katanya, novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu
sepatutnya tidak mencetuskan kontroversi jika kerajaan mengambil kira
semua aspek sejak daripada mula.
“Namun begitu perkembangan terbaru seperti diumumkan oleh Presiden
MIC Datuk G. Palanivel, kabinet memutuskan untuk menarik balik novel
Interlok daripada silibus sastera tingkatan lima kerana dibantah parti
komponen BN itu menunjukkan kelemahan Umno sendiri.
“Apa faedahnya kerajaan berbelanja sehingga berjuta untuk mencetak,
kemudian menampal beberapa perkataan yang dianggap menghina masyarakat
India tetapi akhirnya ditarik balik selepas novel sudah dirosakkan,”
katanya.
Tambahnya, keputusan berubah-ubah itu turut melibatkan pembelajaran
Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang pada mulanya
setuju dimansuh tetapi kemudiannya ditangguh apabila dibantah sesetengah
pihak.
“Jadi secara jelas sikap flip-flop ini menunjukkan betapa lemahnya
Umno,” kata Tuan Ibrahim ketika berucap merasmikan Seminar Penerangan
PAS Pahang di Darul Amin Sungai Gau, dekat sini hari ini.
Kira-kira 300 peserta hadir. Turut membentangkan kertas kerja Ahli
Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Pegawai Penerangan Pejabat
Ketua Menteri Pulau Pinang, Anuar Hashim dan Ketua Penerangan PAS
Pahang, Suhaimi Saad.
Mengenai pilihan raya umum (PRU) kali ini, Tuan Ibrahim berkata ia
merupakan yang paling sengit sehingga diakui dalam Perhimpunan Agung
Umno yang baru-baru ini sebagai PRU menentukan hidup mati Umno.
Tambahnya, selepas PRU 2008 yang menimbulkan kejutan, sudah ada mood rakyat untuk melakukan perubahan.
“Pemerhati meramalkan jika tsunami dulu berpusat di Kedah sehingga
membuatkan negeri di utara Semenanjung jatuh ke tangan PR, kali ini
dijangka berpusat di Negeri Sembilan di mana akan menjatuhkan
negeri-negeri di selatan tanah air pula,” katanya.
Mengenai Pahang, beliau berkata pergantungan kepada pengundi Felda
menjadi penentu kerana di negeri ini terdapat 27 kerusi Dun melibatkan
kawasan Felda daripada 42 kesemuanya.
Tambahnya, dengan perkembangan terbaru isu-isu Felda PR mungkin
menerima lonjakan undi luar biasa asalkan kerja-kerja penerangan
dilakukan secara berterusan.
Serentak itu, beliau mahu saluran maklumat melalui dunia internet
dipergunakan semaksimum mungkin dalam penyebaran maklumat termasuk
melalui portal berita, blog, facebook dan twitter. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.