19 Dec 2011

PKR kemuka bukti pembohongan Mahathir

KEADILAN merujuk kepada tiga dokumen rasmi Bank Dunia yang diedarkan kepada pihak media pada hari ini.  Ketiga-tiga dokumen rasmi ini adalah bersabit dengan salah satu dari empat pinjaman dari Bank Dunia berjumlah US$704 juta yang diambil oleh Kerajaan Malaysia semasa menangani kemelut krisis kewangan 1997/1998.

KEADILAN mengemukakan ketiga-tiga dokumen ini sebagai bukti bahawa Mahathir (gambar kiri) telah berbohong apabila beliau mengaku "menolak tawaran bantuan dari Bank Dunia (ketika itu) kerana jika Malaysia berbuat demikian, ia akan menjadi hamba kepada Bank Dunia<1>".

Ketiga-tiga dokumen rasmi Bank Dunia ini berhubung pinjaman US$60 juta ini secara jelas membuktikan perkara-perkara berikut:

PERTAMA: RUNDINGAN PINJAMAN BERLAKU SELEPAS ANWAR IBRAHIM DIPENJARAKAN

Rujuk Kertas Maklumat Projek (Project Information Document) bernombor PID6999 yang bertarikh 23 Oktober 1998.  Laporan ini disediakan sebagai laporan awal oleh Bank Dunia untuk menilai permohonan pinjaman sesebuah negara.  Ia adalah dokumen pertama yang disediakan sebelum pun rundingan bermula.
Tarikh 23 Oktober 1998 membuktikan bahawa proses rundingan pinjaman tersebut bermula selepas Anwar Ibrahim dipecat dan dipenjarakan.  Ia mustahil melibatkan Anwar Ibrahim seperti yang selalu didakwa Mahathir Mohamad dan UMNO.

KEDUA: MAHATHIR MOHAMAD MENGARAHKAN KERAJAAN MEMOHON PINJAMAN BANK DUNIA

Rujuk Laporan Penilaian Permohonan Pinjaman (Project Appraisal Document) bernombor 18855-MA yang bertarikh 3 Mac 1999.  Laporan ini disediakan untuk makluman pimpinan Bank Dunia dalam membuat keputusan sama ada mahu meluluskan permohonan pinjaman yang dibuat Kerajaan Malaysia.

Rujuk (ms 29) jadual kerja dan rundingan yang melibatkan Kerajaan Malaysia dan Bank Dunia.  Ia secara jelas menunjukkan bahawa agensi bertanggungjawab yang berunding dengan Bank Dunia untuk mendapatkan pinjaman ini adalah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.  Permohonan pertama dibuat pada 26 Julai 1998.  Laporan dan rundingan berikutnya (yang hanya bermula selepas Anwar Ibrahim dipenjarakan) ditangani sepenuhnya oleh Unit Perancang Ekonomi, yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad.

Dokumen ini membuktikan bahawa permohonan untuk mendapatkan pinjaman dibuat oleh Mahathir Mohamad melalui Unit Perancang Ekonomi.

KETIGA: PERJANJIAN DITANDANGANI PADA 31 MAC 1999 BAWAH PERSETUJUAN MAHATHIR MOHAMAD


Rujuk Perjanjian Pinjaman antara Kerajaan Malaysia dan Bank Dunia (Loan Agreement) bernombor 4452-MA yang bertarikh 31 Mac 1999.

Perjanjian ini ditandatangani di bawah arahan dan persetujuan Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

Jelas sekali bahawa Mahathir Mohamad telah berbohong apabila beliau mengaku tidak mahu menerima bantuan kewangan dari institusi antarabangsa seperti Bank Dunia.  Malah, pentadbiran beliau dibawah arahan dan seliaan beliau bertanggungjawab membuat permohonan mendapatkan bantuan kewangan Bank Dunia.

Oleh yang demikian, KEADILAN ingin menegaskan bahawa fitnah beliau terhadap Anwar Ibrahim dalam hal ini tidak lebih dari usaha beliau memadamkan rekod pentadbiran kewangan yang baik di bawah Anwar Ibrahim.  Malaysia berjaya mencapai lebihan belanjawan ketika beliau memegang portfolio Menteri Kewangan sehingga berjaya melangsaikan hutang dengan lebih awal dalam tahun-tahun 1993 hingga 1996, berbanding dengan defisit belanjawan yang berpanjangan sejak Mahathir Mohamad mengambil alih jawatan itu dalam tahun 1998.

Beliau juga bertanggungjawab menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Negara dan Kumpulan Wang Amanah Pencen, bertujuan menjaga kepentingan rakyat melalui dana amanah yang dikawal ketat dan bebas dari salahguna kerajaan.  Malangnya, dana ini turut disalahgunakan dan menyimpang dari niat asal penubuhannya.

Mahathir sewajarnya membersihkan imej beliau di mata rakyat dengan menjawab dua isu melibatkan keluarga beliau.  Adalah lebih baik beliau menerangkan mengenai penglibatan beliau dalam urusan menyelamatkan perniagaan anak beliau, Mirzan Mahathir yang melibatkan wang rakyat berjumlah RM2 billion dalam tahun 1998 daripada cuba menegakkan benang basah bahawa beliau menolak bantuan kewangan Bank Dunia.

Apatah lagi apabila Mirzan Mahathir mempunyai dana yang cukup besar kebelakangan ini untuk membeli konglomerat arak terbesar di Filipina iaitu San Miguel yang dilaporkan berharga sekitar RM2.9 bilion.
<1> Seperti dilaporkan BERNAMA bertarikh 17 Disember 2011

*Kenyataan media oleh Mohd Rafizi Ramli selaku Pengarah Strategi, Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Pengarah Komunikasi dan Wong Chen selaku Pengerusi Biro Perdagangan Keadilan.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.