KUALA LUMPUR, 19 DIS – Mengapa enam kapal peronda dibeli dengan harga
RM9 bilion sedangkan peruntukan yang diluluskan untuk pembelian itu
oleh Parlimen hanya RM6 bilion? Mengapa kerajaan Barisan Nasional
terlebih belanja RM3 bilion?
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mahu Perdana Menteri yang telah
menjanjikan keterbukaan dan ketelusan dalam urusan perolehan kerajaan,
menjelaskan secara terperinci mengapa berbilion wang rakyat dibelanjakan
dengan begitu membazir.
Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dilaporkan telah menerima Surat
Anugerah bertarikh 16 Disember 2011 daripada Kementerian Pertahanan
Malaysia untuk kontrak merekabentuk, membina, melengkapkan, memasang,
mengintegrasi, menguji, dan menyampaikan enam unit Generasi Kedua Kapal
Kapal Pentempuran Pesisir (Kelas Frigate).
Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) berkata dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia:
“Kontrak tersebut membawa siling sebanyak RM9 bilion, yang akan
dilaksanakan dalam tempoh tiga Rancangan Malaysia, 10, 11 dan 12.
Penghantaran kapal Kelas Pertama adalah dianggarkan pada tahun 2017
dengan diikuti kapal-kapal lain setiap enam bulan selepas itu.”
Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didesak menjelaskan
kenapa berlaku peningkatan kos yang melampau tinggi iaitu sebanyak 50
peratus untuk pembelian enam kapal peronda laut.
Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata, beliau tekejut
apabila Boustead Naval Shipyards mengumumkan dalam Bursa Malaysia
kontrak yang dimeterai minggu lepas melambung daripada kos yang disebut
Zahid di Parlimen Februari lalu.
“Dengan peningkatan sebanyak RM3 bilion sebelum pembinaan kapal
bermula, adakah Menteri Pertahanan dapat meyakinkan rakyat Malaysia
bahawa kapal-kapal ini tidak akan mengalami nasib sama yang memalukan
seperti kapal-kapal dahulu?
“Sementara perbelanjaan sistem pertahanan di Malaysia masih kabur,
dengan Malaysia diletakkan pada kedudukan ‘sederhana rendah’ oleh
Transparency International, kami mendesak supaya Jawatankuasa Pemantauan
Parlimen mengkaji semula dan meluluskan perbelanjaan pertahanan seperti
mana diamalkan oleh semua negara-negara maju,” katanya dalam satu
kenyataan semalam.
Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata demikian
mengulas mengenai perjanjian dan peningkatan kos melampau antara
Kementerian Pertahanan dan Boustead.
Pada sesi Parlimen Februari lalu, Zahid mengumumkan bahawa kerajaan
telah meluluskan RM6 bilion kepada Kementerian beliau untuk membeli enam
kapal peronda yang akan dibina oleh Boustead.
Mac lalu Zahid mendakwa enam kapal tersebut adalah kapal perang
canggih dikenali sebagai “kapal tempur pesisir pantai” (LCS) yang “besar
dan pantas” dan “ia juga dilengkapi dengan peralatan perang
tiga-dimensi seperti meriam, perlu berpandu dan torpedo.”
Justeru Pua berkata, Malaysia yang hendak membeli sebanyak enam kapal
jenis LCS tersebut agak melampau sedangkan Amerika Syarikat hanya
mempunyai dua buah sahaja iaitu USS Independence dan USS Freedom.
“Perbelanjaan ini melibatkan berbilion ringgit setiap tahun, oleh itu
kekurangan ketelusan hanya membawa kepada kelemahan akauntabiliti,
kebocoran wang melampau dan lebihan perbelanjaan.
“Ketirisan ini mesti dipulihkan agar dapat memastikan negara tidak
bankrup pada 2019, seperti yang diramalkan oleh Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Idris Jala,” katanya.
Pengerusi parti KITA, Datuk Zaid Ibrahim pula berkata bahawa ia amat
pelik bahawa dalam sebuah kontrak wujud siling harga RM9 bilion.
“Bagaimana anda boleh mempunyai kontrak sehingga kepada RM9 bilion? Apakah yang akan berlaku jika mereka melebihi jumlah itu?”
“Itu bukan kontrak di sisi undang-undang. Ia hanya surat tunjuk
minat. Di dalam kontrak, anda perlu menyatakan ciri-ciri dan
spesifikasi. Tetapi di sini, nampaknya peralatan tersebut telah tidak
dinilai dan sistem ini adalah tidak muktamad. Ini bermakna mereka tidak
pasti apa yang mereka beli.” – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.