Saya ingin tegaskan di sini kerajaan negeri tak berhasrat membina “cyber troopers” atau pun askar siber yang diupah oleh pihak tertentu untuk bertaksub mempertahankan pemimpin ataupun pati dan menabur fitnah.
Sebaliknya kami hendak raikan anda semua yang berdiri atas landasan kebenaran, kebebasan, demokrasi dan keadilan. Itulah sebabnya kami rela dikritik kalau buat salah kerana tidak ada insan yang sempurna melainkan Tuhan. Lagi pun, askar boleh diupah, tetapi kawan tidak boleh dibeli!
Pakatan tolak fitnah
Kerajaan negeri mengutuk sesiapa yang menjadikan orang yang tidak bersalah mangsa fitnah mereka. Tak kira siapa baik terhadap Perdana Menteri mahu pun Ketua Pembangkang, penggunaan senjata fitnah harus dikecam semua.
Sepanjang ini, kami tidak menghiraukan “cyber troopers” BN yang diupah ini, hanya mengambil tindakan saman ke atas suratkhabar media massa utama yang berkoyok-koyok mendagangkan fitnah tersebut.
Itulah sebabnya saya saman bukan sahaja Utusan Malaysia tetapi juga New Straits Times dan saya bersyukur kepada Tuhan dapat berjaya dalam saman malu ke atas Utusan Malaysia di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Jumlah ganti rugi akan diderma kepada amal tetapi yang penting adalah buktikan Utusan Malaysia suratkhabr milikan BN memang menfitnah saya dan saya bukanlah anti-Melayu dan anti-Islam sepertimana yang dipaparkan.
Biarlah cyber troopers BN yang menabur fitnah seperti siluncai terjun dengan labu-labunya, asalkan maklumat yang kami sampaikan adalah benar, berfakta dan disokong oleh bukti kukuh.
Akan tetapi saya rasa sudah lebih bila cyber trooper BN seperti Papagomo yang menabur fitnah ke atas anak berumur 15 tahun kononnya mencabul kehormatan pelajar perempuan sekolahnya dan kononnya saya terpaksa membayar RM200,000 untuk menutup skandal ini, diraikan dan disambut secara rasmi sampai boleh melawat kapal selam KD Tun Abdul Razak.
Saya kesal Ketua Pemuda UMNO pun sokong fitnah Papagomo terhadap anak saya. Macam mana seorang cyber trooper BN Papagomo yang hanya berkelayakan tabur fitnah menganiayai seorang budak belum cukup` umur, berhak melawat suatu rahsia strategik negara?
Ini jelas membuktikan hubungan secara langsung taktik kotor dan zalim yang akan digunakan ke atas pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum yang akan datang sampai Ketua Pemuda UMNO pun tak akan lepaskan anak-anak kita yang belum cukup umur.
Saya ingin memberikan jaminan kepada yang hadir di sini pada pagi ini bahawa kerajaan negeri PR tidak akan gunakan taktik kotor dan zalim ini, tetapi kita akan terus lawan balik dengan kebenaran dan wasatiyah (kesederhanaan) serta prinsip keadilan, kebebasan dan demokrasi.
Apabila RM1 trilion mengalir keluar
Isu utama yang kita harus tumpukan ialah untuk memerangi kemungkaran, rasuah dan kronisme. Betapa seriusnya krisis rasuah bila rakyat Malaysia kehilangan “satu dekad yang telah hancur dek korupsi”, di mana wang haram sebanyak RM1,077 bilion atau RM1 trilion telah dibawa keluar dari negara kita dalam tempoh 10 tahun dari 2000-2009.
Mengikut laporan terkini badan pemerhati kewangan Washington Global Financial Integrity (GFI), wang haram sebanyak RM150 bilion (USD47 bilion) telah dikeluarkan dari Malaysia dalam tahun 2009 sahaja.
RM150 bilion ini adalah tambahan kepada kerugian besar RM927 bilion (USD291 bilion) dalam tempoh 9 tahun dari 2000 hingga 2008. Laporan GFI ini telah mengejutkan kita semua, terutamanya apabila Malaysia kini berada di kedudukan 5 negara yang tertinggi untuk pelarian modal haram yang terbesar. Ini bermakna dalam sepuluh tahun kebelakangan ini sahaja 28 juta rakyat Malaysia kehilangan RM1,077 billion kerana wang haram ekoran rasuah yang bermaharajalela.
Kalau ini ditanggung secara sama rata oleh setiap 28 juta rakyat Malaysia, setiap warga negara kehilangan RM 38,500 seorang. Laporan terkini GFI yang bertajuk “Aliran Kewangan daripada Negara Membangun Dalam Dekad Berakhir 2009” telah disediakan oleh ahli ekonomi Sarah Freitas dan Dev Kar, yang pernah menjadi ahli ekonomi kanan di International Monetary Fund (IMF).
Kedua-dua menekankan bahawa aliran haram ini merupakan “ketirisan modal yang tidak direkod melalui… pemindahan wang secara haram yang terhasil daripada rasuah, pencurian, sogokan dan pengelakan cukai.” Dalam erti kata lain, ia merujuk kepada wang rasuah yang diperolehi secara haram dan tambahan pula tidak diedar semula ke dalam ekonomi negara.
Ketirisan RM 1,077 bilion yang amat besar dan tidak bertanggungjawab ini adalah akibat daripada rasuah dan sukar untuk ditebus semula. Hakikat bahawa hasil rasuah sebanyak RM 1,077 bilion telah dialirkan keluar daripada negara kita dalam tempoh 10 tahun yang lalu bermakna bahawa rakyat Malaysia telah kehilangan satu dekad yang telah hancur dek korupsi.
Kebebasan punca kemajuan
Saya ingin tegaskan bahawa kejayaan media sosial secara khusus ,dan internet secara am, adalah berasaskan satu ciri penting, iaitu kebebasan. Inilah satu-satunya hikmat yang membolehkan penyebaran media sosial secara luas. Tanpa kebebasan maklumat, mustahil penggunaan media sosial dapat berkembang ke tahap sebegini.
Itulah sebabnya Pulau Pinang meluluskan Akta Kebebasan Maklumat dan mendirikan Sudut Pidato pertama di Malaysia yang menjaminkan bukan sahaja “freedom of speech” tetapi juga “freedom after speech”.
Namun begitu, kita kini mendapati bahawa Kerajaan Persekutuan baru mencadangkan Rang Undang-Undang Lembaga Juru Komputer Profesional (BCPM) yang jelas bertujuan untuk mengawal selia semua “perkhidmatan pengkomputeran”. Dalam erti kata lain, ia boleh disalah guna untuk menyekat kebebasan bersuara, lantas bertentangan dengan jaminan kebebasan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Rang Undang-Undang yang dicadangkan ini merangkumi segala perkhidmatan dari pembinaan laman web kepada reka bentuk dan pembangunan mana-mana produk komputer, sama ada perisian (software) atau perkakasan (hardware).
Malah, penubuhan blog atau pun penggunaan media sosial seperti “Facebook” dan “Twitter” juga boleh diklasifikasikan sebagai “perkhidmatan pengkomputeran”, dan oleh itu boleh disekat, ditapis dan dikawal selia oleh undang-undang yang dicadangkan ini.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang menolak terus Rang Undang-Undang ini dan ingin menekankan sekali lagi bahawa sebarang pengawalan dan penapisan adalah tidak perlu sama sekali dalam penggunaan internet dan maklumat.
Penyekatan terhadap internet and pengkomputeran adalah sama seperti penyekatan terhadap kebebasan dan daya kreativiti. Tahukah saudara-saudari sekalian, jika undang-undang yang sama ini wujud di Amerika Syarikat, sudah tentu para pakar dan ikon dalam industri IT seperti Steve Jobs (Apple), Bill Gates (Microsoft) dan Mark Zuckerberg (Facebook) tidak akan dapat peluang untuk berjaya.
Jadi di sini, saya ingin mengatakan bahawa kebebasan adalah punca kemajuan, dan kerana itu kebebasan wajib dilindungi. Diharap juga program-program yang dirancangkan untuk hari ini akan membantu sedikit sebanyak untuk memantapkan kemahiran dan pengetahuan tentang tatatertib dan tatacara alam maya supaya kuasa media sosial dapat dimanfaatkan dengan efektif.
Dengan ini, saya mengucapkan selamat datang dan selamat bergiat dalam media sosial. Saya berharap bahawa kalian semua akan menjadi “Frenz of Penang” yang tulen dan mengamalkan tatacara media sosial yang beretika dan berasaskan kebenaran.
* Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sempena
pelancaran Konvensyen Media Sosial P.Pinang 2011 yang bertemakan “Frenz
of Penang” di Straits Quay pada 17 Disember 2011.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.