KUALA LUMPUR 19 Dis: Tindakan menurunkan gambar Perdana Menteri
kelmarin, adalah simbolik penolakan mahasiswa kepada kepimpinan Datuk
Seri Najib Razak, kata Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM),
Ahmad Syukri Ab. Razak.
Antara
lain katanya, Najib menipu mahasiswa dengan slogan transformasi untuk
memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).
“Malangnya, pengumuman (pinda Auku) dibuat hanya selepas mahkamah
rayuan putuskan seksyen 15 (akta) itu bercanggah dengan perkara 10
Perlembagaan Persekutuan,”
“Tindakan menurunkan gambar Perdana Menteri merupakan simbolik kepada
hilang kepercayaan anak muda kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Razak
selaku ketua kerajaan,” katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan
Cina Selangor dan Kuala Lumpur.
Semalam, kira-kira 300 mahasiswa berarak ke pejabat Suruhanjaya Hak
Asasi Manusia, sebelum menuju ke bangunan Umno – Putra World Trace
Centre (PWTC) bagi menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri
Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
Seorang mahasiswa, Adam Adli, 22, dari Universiti Perguruan Sultan
Idris (UPSI) dilihat menurunkan bendera yang tertera wajah Najib sebagai
protes.
Mengulas lanjut, Ahmad Syukri memberi tempoh kepada Najib untuk
melaksana dua transformasi sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 atau
bersedia mendapat tentangan hebat dari mahasiswa.
“Dua tuntutan itu ialah mansuh AUKU serta-merta dan beri autonomi penuh kepada universiti,” katanya.
Sementara itu, bekas Pengerusi SMM, Shazni Munir berkata, Universiti
di Malaysia akan lebih baik jika autonomi bebas diberi sepenuhnya.
“Universiti Malaya (UM) contohnya mendapat dana antara RM700 hingga
RM800 juta setahun dan dengan dana itu universiti mampu menguruskan
pentadbiran dengan lebih baik tanpa campur tangan politik.
“Malah kami yakin inovasi, pembangunan dan penyelidikan universiti
akan berkembang lebih baik sekaligus menaikan rangking kita,” kata bekas
mahasiswa UM itu.
Sidang media itu turut dihadiri Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi), Gerakan
Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) dan sekumpulan aktivis mahasiswa.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.