KUALA LUMPUR, 20 Dis: PAS kesal dengan sikap kerajaan yang sentiasa mengambil langkah tergesa-gesa dalam menentukan sesuatu polisi.
“Terkini ialah dengan memaksa kakitangan kerajaan untuk
menandatangani skim Saraan Baru Perkhimatan Awam (SBPA) yang diumumkan
oleh kerajaan,” kata AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar).
Katanya, seperti yang diketahui, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja
Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) masih perlu berunding dengan
kakitangan kerajaan untuk menyetujui skim tersebut.
Tetapi hari ini, katanya pihak guru-guru telah diminta untuk
menandatangani segera skim tersebut, walaupun tempoh akhir masih belum
sampai iaitu pada 31 Disember 2011.
PAS, jelasnya telah melalui pengalaman di mana pihak kerajaan telah
menyekat bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang menyebabkan
banyak SAR terpaksa ditutup.
Tambahnya, tujuan kerajaan ialah supaya mereka menyerah diri kepada
skim Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dalam rangka pihak kerajaan
menguasai pendidikan Islam dalam negara ini.
Menurutnya, pada 2006, PPSMI telah dipaksa kepada rakyat dan ternyata
PPSMI telah membawa kepada kerosakan kepada kemajuan pendidikan
kebangsaan yang berasaskan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Justeru, katanya apabila skim-skim yang membabitkan pendidikan
dilaksanakan tanpa rundingan yang sebaik-baiknya dengan pihak kerajaan,
PAS bimbang akan banyak lagi masalah yang akan timbul dalam bidang
pendidikan yang akan merosakkan falsafah pendidikan di negara ini.
“Memadailah ibu bapa bimbang terhadap akhlak anak-anak mereka
disebabkan kegagalan dasar pendidikan moral atau kelemahan dasar dalam
pendidikan akhlak,” ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS
Pusat kepada Harakahdaily.
Beliau berkata, PAS berharap kerajaan menyelesaikan segera isu-isu
besar seperti ini di samping membuat perancangan yang betul dalam bidang
pengurusan, kerana perancangan semasa yang dibuat secara tergesa-gesa
telah menyebabkan banyak kerosakan termasuklah soal penempatan guru-guru
lepasan institusi pengajian tinggi dalam bidang pendidikan yang gagal
diselesaikan sehingga hari ini.
“Begitu juga apabila SBPA mahu dilaksanakan, pastikan ia membawa
kebaikan kepada rakyat keseluruhan, bukan untuk sesuatu kepentingan yang
boleh merosakkan masa depan rakyat dan negara,” ujarnya. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.