KUALA LUMPUR, 20 Dis:
Klip video atau Filem pendek berjudul 'Oley' hanya memakan belanja
RM3,000 sahaja dan mengambil masa penggambaran 2 jam, tetapi memberikan
kesan cukup besar bagi aktiviti dakwah.
Ini kerana, klip video
terbitan sebuah NGO, Solidariti Muslim Prihatin ini sehingga kini
ditonton lebih 180,000 orang dalam jangka masa 5 hari setelah disiarkan.
Dengan 'view' yang sedemikian tinggi, sambutan orang ramai
terhadap filem tersebut ternyata menyamai filem triler hebat keluaran
Hollywood.
Berdasarkan mutunya yang sedemikian hebat dan
sambutan orang ramai yang sebegitu baik terhadap filem tersebut, banyak
pihak beranggapan belanja yang dikeluarkan oleh pihak penerbit dalam
usaha penerbitan filem itu pasti tinggi.
"Namun, jangan terkejut
jika saya jelaskan, belanja untuk membuat filem itu sebenarnya hanya
sebanyak RM3,000 sahaja, manakala masa keseluruhan yang kami gunakan
untuk penerbitannya pula hanya 3 jam setengah sahaja.
"Dari masa
3 jam setengah itu, 2 jam untuk shooting dan 1 jam setengah lagi untuk
proses editing bagi membolehkan ia disiarkan ke dalam Youtube untuk
tontonan orang ramai," jelas Pengerusi Solidariti Muslim Prihatin, Nurul
Islam Mohamed Yusoff.
Ketika dihubungi Harakahdaily di sini
hari ini, beliau menjelaskan, pada dasarnya untuk menghasilkan filem
tersebut pasti memerlukan belanja yang besar, tetapi ia menjadi murah di
sebaliknya disebabkan banyak faktor.
Antara faktor utamanya
kerana kesemua pelakon penting di dalam filem tersebut enggan menerima
sebarang bayaran, tetapi hanya berlakon secara percuma demi kepentingan
dakwah.
"Begitu
juga dengan pengarah dan penulis skrip bagi filem itu. Mereka juga
hanya membuat kerja-kerja mereka secara percuma sahaja," jelasnya.
(Nurul Islam...teruja)
Belanja yang dikeluarkan oleh
pihaknya bagi penerbitan filem itu hanyalah bagi urusan-urusan teknikal,
manakala sebahagian lagi bayaran kepada sebahagian pelakon tambahan.
Nurul
Islam, 29, menjelaskan, Oley merupakan sebuah filem pendek yang
terhasil khusus buat menjawab segala tohmahan mengenai hukum Islam yang
dipersendakan oleh filem pendek “Bicara Rakyat“ yang dihasilkan dengan
penuh kebencian dan kenistaan terhadap hukum hudud oleh pihak tertentu.
Dengan penghasilan ‘Oley’ bererti Solidariti Muslim Prihatin
melangkah setapak lagi ke hadapan dalam menyampaikan mesej bermaklumat
kepada masyarakat dengan cara baru.
Lebih menarik apabila 'Oley'
turut dilakonkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan;
Nik Mohd Abduh dari ILMAM; Riduan Mohd Nor yang juga Ahli Jawatankuasa
MuslimCare; penceramah selebriti yang sedang meningkat naik, Ustaz Syed
Kadir Hussin Al Joffre serta pendakwah bebas, Ustaz Imran Al-Malizi.
Filem
tersebut turut menampilkan pengacara, penulis lirik dan pelawak
terkenal, Bob Lokman; vlogger Youtube terkenal, Mat Lutfi dan Man John
dengan lakonan watak menarik mewakili segmen anak-anak muda pelbagai
latar belakang yang mendambakan pengetahuan sebenar mengenai Islam.
(Penampilan Matlutfi memberi nilai tersendiri kepada video klip ini)
Oley adalah sebuah klip video yang dihidangkan dalam bentuk 'santai'
dan simple tetapi menepati citarasa dan selera anak muda, dengan para
pelakonnya berdialog dengan gaya selamba, bersahaja tetapi penuh dengan
mesej bermakna.
Melalui kaedah soal jawab yang pasti boleh
membuka mata dan telinga masyarakat yang jahil terhadap hukum Islam,
khususnya mengenai hukum hudud, sehingga boleh menimbulkan keinsafan
kepada para penontonnya.
Setelah diterbitkan 15 Disember lalu,
video tersebut telah ditonton oleh sejumlah 154,687 kali dan mendapat
likes sebanyak 8729 dan dislikes hanya sebanyak 72 kali, berbanding
dengan video pendek bertajuk sembang rakyat yang telah mengundang
kritikan dan pertikaian pelbagai pihak kerana didakwa sengaja
menimbulkan prejudis terhadap Islam.
Angka tersebut dapat
dilihat melalui jumlah likes sebanyak 57 kali dan dislikes sebanyak 3048
kali semalam, manakala hari ini pula jumlahnya terus meningkat kepada
lebih 180,000 orang penonton.
Filem tersebut turut disiarkan
menerusi slot video Harakahdaily dengan jumlah penonton sebanyak lebih
21,000 sehingga jam 4.30 petang ini sejak dimuatnaik 15 Disember lalu.
Penerimaan
baik daripada orang ramai mengenai filem pendek itu sebagai indikator
bahawa anak-anak muda tidaklah bencikan hukum Islam, sebaliknya menerima
hukum Allah dengan baik. Malah anak muda memberi kepercayaan kepada golongan yang ingin memperjuangkan hukum Islam berbanding mereka yang menentangnya.
|
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.