SHAH ALAM, 20 Dis: Umno perlu membuat keputusan segera untuk bertindak kepada pihak yang bertanggungjawab dalam skandal NFC atau terus dimalukan.
Skandal
Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) semakin membarah apabila PKR hari ini
mendedahkan NFC membeli sebuah kondominium bernilai hampir RM10 juta di
Singapura.
(Kondominium mewah Orchard Scotts di Singapura. Disinilah NFC membeli unitnya bernilai kira-kira RM10 juta) Kondominium
ini dibeli pada harga S$4,107,600 dan luasnya adalah 2,282 kaki
persegi, iaitu salah satu unit yang terbesar di bangunan kondominium
mewah di tengah-tengah kota Singapura itu.
Pendedahan kali ini dibuat oleh tiga pemimpin kanan PKR dalam sidang media mereka hari ini.
Ketiga-tiga
mereka adalah Saifudin Nasution Ismail (Setiausaha Agung), Zuraida
Kamarudin (Ketua Wanita) dan Rafizi Ramli (Pengarah Strategik).
Sebelum
ini, pelbagai pihak dalam Umno menekan agar Datuk Seri Shahrizat Jalil
meletakkan jawatan. Turut memberikan tekanan adalah bekas Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir.
Ini kerana, NFC dikendalikan oleh suami dan anak-anak beliau.
Timbalan
Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu beranggapan, Menteri Pertanian dan
Industri Asas Tani ketika pinjaman itu diluluskan, Tan Sri Muhyidin
Yassin mesti bertanggungjawab ke atas penyelewengan ini kerana projek
ini terletak di bawah penyeliaan kementerian yang beliau jaga.
Pembelian harta mewah oleh keluarga menteri ini lebih memualkan bila mana ia didaftarkan terus di atas nama mereka.
"Carian
rasmi menunjukkan ia didaftarkan secara bersama di atas nama Datuk Seri
Mohamad Salleh Ismail, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh dan Wan Izzana
Fatimah Zabedah Mohamad Salleh," kata kenyataan mereka bertiga.
Pendedahan
dibuat ekoran Umno dan Shahrizat belum memberi tanda-tanda akan ada
pertanggungjawaban kepada penyelewengan dana rakyat melalui NFC seperti
yang dituntut rakyat.
"KEADILAN akan terus membongkar penyalahgunaan dana awam bagi kepentingan peribadi keluarga menteri berkenaan," kata mereka.
Menurut
kenyataan itu, mereka ada bukti-bukti pembelian sebuah kondominium
mewah beralamat 7 Anthony Road, #14-24, Orchard Scotts, Singapore 229955
oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil pada 27 Januari 2010.
Kondominium
ini dibeli pada harga S$4,107,600 dan luasnya adalah 2,282 kaki
persegi, iaitu salah satu unit yang terbesar di bangunan kondominium
mewah di tengah-tengah kota Singapura itu.
Pendedahan ini
melengkapkan dakwaan KEADILAN sebelum ini bahawa dana dari NFC yang
sepatutnya digunakan untuk membina industri daging negara telah
disalurkan kepada syarikat-syarikat peribadi milik keluarga Datuk Seri
Shahrizat Jalil seperti NMLC dan RFC, kata mereka.
Lebih teruk
lagi, wang dari syarikat-syarikat seperti NMLC dan RFC kemudiannya
disalurkan pula ke syarikat-syarikat milik keluarga Shahrizat di
Singapura iaitu Meatworks (Singapore) Pte Ltd dan Global Biofuture Pte
Ltd yang menjalankan operasi perniagaan yang tidak ada kena mengena
dengan tujuan bantuan dana kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC.
Meatworks
(Singapore) Pte Ltd dilaporkan menjalankan perniagaan restoran mewah di
Singapura, sementara Global Biofuture Pte Ltd pula menjalankan
perniagaan perdagangan minyak dan ternakan.
Pada hari ini,
KEADILAN boleh mendedahkan satu komunikasi (dalam bentuk email) di
antara Saudara Wan Shahinur Izran dengan Saudari Donna Yong yang
menguruskan perniagaan restoran di Singapura bagi pihak keluarga Datuk
Seri Shahrizat Jalil.
Email ini membincangkan pemindahan wang yang diperlukan untuk membiayai perniagaan restoran mewah di Singapura.
Bagi
tempoh 3 bulan di antara Oktober 2010 dan Disember 2010, keluarga Dato’
Seri Shahrizat Jalil dianggarkan memindahkan sejumlah S$530,000;
bersamaan RM1.3 juta dari dana milik kerajaan untuk membiayai perniagaan
peribadi di Singapura.
Jika ini berlaku sepanjang tahun 2010
dan 2011, kemungkinan jumlah wang yang telah dilarikan mencecah RM10
juta hanya untuk satu perniagaan di Singapura.
Amalan ini sudah tentu turut berleluasa dengan syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh mereka di Singapura, kata mereka.
Oleh
kerana syarikat-syarikat ini adalah milik penuh keluarga Shahrizat
Jalil, wang dari NFC boleh sahaja dipindahkan terus ke akaun
syarikat-syarikat ini, kemudiannya dikeluarkan oleh keluarga menteri
untuk membiayai pembelian peribadi seperti kondominium mewah di Orchard
Scotts.
"Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh berdiam diri lagi
kerana pendedahan demi pendedahan membuktikan berlaku penyelewengan
berleluasa dalam penggunaan dana rakyat berjumlah RM250 juta itu.
"Kami
mendesak beliau mengambil tindakan segera membekukan kesemua akaun bank
dan perbelanjaan NFC serta syarikat-syarikat berkaitan yang dimiliki
oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, sementara siasatan yang lebih
telus dan serius dijalankan secepat mungkin," kata kenyataan itu.
|
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.