KUALA LUMPUR 20 Dis: Angkatan Muda KEADILAN mengecam tindakan ugutan
pukul, ludah dan mencaci seorang mahasiswa, Adam Adli yang bertindak
menurunkan bendera presiden Umno di ibu pejabat parti itu, Sabtu lalu.
Ia berikutan tindakan Ketua penerangan pemuda Umno Petaling Jaya
Utara, Armand Azha membuat ancaman ke atas penyelaras Legasi Mahasiswa
Progresif (LMP) itu, dalam satu video yang dimuatkan di laman Youtube.
Ugutan itu turut dihantar oleh blogger pro Umno seperti Papagomo,
‘Pas Beruk’ dan Azmy Kelana Jaya yang mengugut meludah dan memukul
mahasiswa berkenaan.
Video yang dimuatkan dua hari lalu itu, mendapat perhatian lebih
60,000 penonton yang mencemuh dan mengecam sikap samseng Pemuda Umno
berkenaan.
“Tindakan ini jelas menunjukkan budaya samseng melebar dalam Umno.
“Umno cuba mewujudkan politik takut, Politic of Fear di
kalangan mahasiswa yang pada hari ini celik menolak corak kepemimpinan
Umno yang zalim dan jumud sebagai langkah untuk membendung mereka terus
bangkit,” kata Pengarah Biro Mahasiswa AMK, Mohd Saifullah Mohd
Zulkifli.
Sambil mendesak Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku)
dimasuhkan, Saifullah memberi amaran kebangkitan anak muda di Indonesia
bakal berlaku di Malaysia, akibat keangkuhan Umno-Barisan Nasional
mentadbir negara.
“Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan Malaysia ingin mengingatkan
pihak yang mengugut mahasiswa termasuk Pemuda Umno, samseng-samseng dan
pihak Universiti agar berhenti mengugut dan mengasari mahasiswa jika
tidak mahu berhadapan dengan kebangkitan rakyat,” tegas beliau.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.