KUALA LUMPUR, 20 Dis:
Perkasa memberi amaran, tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu
menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum akan datang akan
menyebabkan orang Melayu tidak keluar mengundi.
Setiausaha Agung
Perkasa Syed Hassan Syed Ali juga berkata, pihaknya yakin penggunaan
dakwat kekal akan membawa negara ke belakang.
Semalam SPR
mengumumkan bahawa semua pengundi wajib dicalit dengan dakwat kekal dan
sekiranya mereka enggan berbuat demikian, maka pengundi terbabit tidak
akan diberikan kertas mengundi.
Langkah itu seiring dengan syor jawatankuasa pilihan khas Parlimen berhubung penambahbaikan proses pilihan raya.
“Adalah
memalukan negara yang jauh lebih maju dari negara-negara membangun lain
mahu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum.
“Malaysia
bukan negara seperti Somalia, Bangladesh, Pakistan, Afghanistan,
Kemboja dan lain-lain negara mundur yang rekod pengenalan diri masih
tidak canggih, yang menggunakan kertas biasa dengan maklumat peribadi
tulisan tangan. Memalukan,” kata Setiausaha Perkasa itu.
Syed
Hassan juga mendakwa Perkasa percaya gesaan untuk penggunaan dakwat
kekal adalah daripada pihak yang sebenarnya tidak mahukannya juga tapi
oleh kerana ia cara untuk membuatkan orang Melayu dan Islam tidak mahu
keluar mengundi.
“Siapa yang untung jika orang Melayu tidak
keluar mengundi? Saya sendiri kemungkinan besar tidak akan keluar
mengundi jika kekal dengan penggunaan dakwat kekal.
“Dan,
kemungkinan ramai ahli Perkasa tidak keluar mengundi juga. Siapa yang
akan terasa rugi jika ramai ahli Perkasa dan orang Melayu lain tidak
keluar mengundi?” katanya.
Oleh itu kata beliau, kerajaan perlu
berfikir dengan sebaik-baiknya keputusan penggunaan dakwat kekal pada
pilihan raya umum ke-13.
Semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul
Aziz Yusof berkata, dakwat kekal ‘silver nitrate’ akan digunakan pada
pilihan raya umum ke-13 dan ia berlainan dengan dakwat kekal yang
disyorkan pada pilihan raya umum 2008.
Beliau berkata, dakwat
kekal yang mengandungi ‘silver nitrate’ itu telah dihantar ke Jabatan
Kimia pada 9 Disember untuk diteliti kandungan dan kesesuaiannya
digunakan di negara ini dan seterusnya akan dihantar ke Majlis Fatwa
Kebangsaan untuk memastikan ia sesuai digunakan orang Islam.
Dakwat itu juga dihantar ke Kementerian Kesihatan untuk memastikan ia tidak menjejaskan kesihatan pengguna secara umum.
Menurut Aziz, dakwat ini mengandungi logam silver nitrate apabila dicalit pada kuku jari dan akan diserap dalam kuku kulit.
Dakwat
kekal silver nitrate tujuh peratus digunakan untuk pengundian awal
iaitu hari pembuangan undi khas untuk anggota tentera, pasangan anggota
tentera, polis dan pasangan anggota Pasukan Gerakan Am manakala dakwat
kekal siver nitrate empat peratus bagi pengundian biasa.
|
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.