20 Dec 2011

Lebihan RM3 bilion beli kapal peronda dipersoal


KUALA LUMPUR 20 Dis: Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk Johari Abdul mempersoal pembelian kapal peronda oleh Bousted Heavy Industries Bhd, yang melebihi RM3 bilion dari kos asal.
Beliau merujuk surat BHIC bertarikh 16 Disember 2011 kepada Bursa Malaysia yang menyatakan syarikat itu diberi kontrak berharga RM9 bilion bagi pembelian enam buah kapal peronda laut.
Angka itu berbeza dengan kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 5 Februari lalu bahawa kapal Peronda itu dibeli pada harga RM6 bilion sahaja.
“Kita desak Kementerian Pertahanan beri penjelasan segera kerana angka yang disebut Menteri dan Surat yang yang diberi kepada syarikat berkaitan jauh berbeza.
“RM3 bilion itu angka yang cukup besar dan ia bersamaan 3 ribu juta wang rakyat,” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Mac lalu Zahid mendakwa enam kapal tersebut adalah kapal perang canggih dikenali sebagai “kapal tempur pesisir pantai” (LCS) yang “besar dan pantas”.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan peralatan perang tiga-dimensi seperti meriam, perlu berpandu dan torpedo.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua baru-baru ini berkata, jumlah 6 kapal peronda jenis LCS itu adalah melampau sedangkan Amerika Syarikat hanya mempunyai dua buah sahaja.
Mengulas lanjut, Johari berkata, penjelasan mengenai pembelian kapal peronda itu penting bagi memastikan ke mana arah aliran wang rakyat dibelanjakan.
“Menteri bertanggungjawab perlu jelaskan kepada umum kerana Parlimen sudah habis bersidang.
“Kalau tidak, kita selaku pemimpin Pakatan Rakyat boleh meminta beliau menjawab di Dewan Rakyat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.