PETALING JAYA, 3 JAN – Apabila gagal mempertahankan diri setelah
melakukan kesalahan atau kesilapan, sudah menjadi resmi pimpinan UMNO
dan Barisan Nasional mengalih pandangan dengan membuat tuduhan liar
terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat.
Dalam isu terbaru, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
seakan kering akal apabila menuduh Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan
Tony Pua sebagai ‘alat’ negara luar.
Justeru, Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mencabar
Zahid supaya menunjukkan bukti kukuh dan mendakwanya di mahkamah
sekiranya benar beliau (Pua) adalah ‘alat’ kepada seorang profesor luar
negara.
“Jika Menteri itu gagal membekalkan bukti kukuh, maka beliau
sepatutnya menarik balik kata-katanya dan membuat perakuan minta maaf
kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pua yang telah mendapat transkrip komen Zahid kepada sebuah akhbar
berbahasa Cina pada 1 Januari lalu mendedahkan apa yang dikatakan oleh
menteri tersebut:
“Saya fikir Tony Pua ni adalah seorang yang menjadi alat saja seorang
bekas profesor yang telah menjadi profesor di universiti di luar
negara, dan negara itu memang menjadi dalang kepada sebuah parti di
negara ini.
“Saya fikir asal politik di Malaysia biar dibentuk oleh ahli-ahli
politik Malaysia. Jangan pernah menjadi dalang daripada mana-mana negara
. Saya tidak menuduh tapi saya ada dokumen-dokumen dan bukti-bukti
untuk mengesahkan apa yang saya katakan ini.”
Menurut Pua, ini adalah kali kedua Zahid menuduhnya ejen asing kerana
fitnah yang sama oleh menteri itu pernah dilaporkan oleh lidah rasmi
UMNO, Utusan Malaysia, pada Mac 2011, di mana Zahid dilaporkan berkata:
“Dia (Tony Pua) dulu ditangkap di Singapura, dibawa ke mahkamah,
tetapi sebab hubungan dia mungkin baik dengan pejabat tertentu di sana,
beliau dilepaskan (dan) tidak dapat jadi ahli Parlimen (di sana).”
Menafikan fitnah itu, Pua berkata Zahid merelakan dirinya ‘disuapkan’
dengan cerita-cerita palsu dari ‘tukang karut’ merangkap ketua pegawai
perisikan dan blogger pencacai UMNO, iaitu Papagomo.
“Papagomo itu jugalah yang memfitnah anak lelaki Ketua Menteri Pulau
Pinang yang masih bersekolah kononnya telah melakukan gangguan seksual
terhadap seorang pelajar perempuan di sekolahnya.
“Sangat memalukan apabila seorang Menteri Pertahanan bergantung harap
kepada informasi dan perisikan dari seorang blogger pencacai yang jelas
adalah seorang penipu yang tidak punya moral mahu pun etika,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, tuduhan dan fitnah itu tidak lain
hanya bertujuan untuk menutup pekung Kementerian Pertahanan kerana
keborosan dan ketirisan dalam pembelian peralatan senjata.
Pua menjelaskan, melalui Laporan Ketelusan Bajet Pertahanan oleh
Transparency International menunjukkan Malaysia berada pada tahap 4.5
daripada markah maksimum 12.
“Malaysia berada setaraf dengan Afghanistan, Rwanda dan Azerbaijan di
dalam laporan itu, jauh ketinggalan berbanding Bangladesh, Indonesia
dan Papua New Guinea,” katanya. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.