Pada ketika itu, UMNO baru sahaja menang dalam PRK DUN Bagan Pinang, selepas tujuh kekalahan berturut-turut dalam PRK di Semenanjung Malaysia, pasca 8 Mac 2008. UMNO masih diselubungi suasana krisis, maka bahasa yang pragmatik berjaya menenggelamkan suara-suara perkauman. Perwakilan dan pemimpin UMNO sebulat suara menyokong program transformasi yang dibawa Najib Razak.

Kerja penjenamaan ini gagal bertahan lama. Setelah jemu dengan slogan, rakyat mula meneliti kandungannya. Dengan berlalunya masa, rakyat mendapati slogan transformasi Najib bagai susu 1Malaysia - dari luarannya umpama ekonomi yang memanfaatkan rakyat jelata, padahal kandungan proteinnya lebih rendah daripada piawaian, malah mengandungi bakteria E Coli yang boleh mengancam kesihatan tubuh manusia.

Sejak itu, kulit luaran kerajaan baru Najib mula merekah, mendedahkan minda lapuk dan budaya lama di dalamnya.
Gelombong demokrasi oleh BERSIH 2.0
Dalam PRN Sarawak, pembangkang berjaya menembusi kubu yang dibina dengan gula oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak, mencipta sejarah dengan memenangi 15 kerusi di kawasan bandar, termasuk tiga kerusi kawasan bukan Cina - tamparan pertama buat Najib dan BN pada tahun 2011.

Penangkapan mereka yang berpakaian kuning sebelum perhimpunan, penangkapan enam orang pemimpin Parti Sosialis Malaysia di bawah Ordinan Darurat, cubaan menuduh BERSIH dan pembangkang menghuru-harakan ibu kota dengan "senjata yang ditemui", perbuatan tidak masuk akal dengan memohon perintah untuk menghalang pimpinan pembangkang dan aktivis masuk ke kawasan bandar... kesemua ini telah mencungkil kemarahan warga internet. Malah, Najib memusnahkan kredibiliti dirinya apabila mungkir janji untuk membenarkan BERSIH berhimpun dalam stadium - antara pukulan maut sejak beliau menyandang jawatan Perdana Menteri.

China Press membubuh tajuk "Di manakah keamanan yang dijanjikan?" di muka depan akhbar tersebut pada malam 9 Julai, ditafsir secara umum sebagai "mempersalahkan peserta demonstrasi". Reaksi keras daripada warga internet memaksa China Press untuk menarik balik tajuk itu pada hari keesokan. Najib, Ketua Polis Negara Ismail Omar, Presiden MCA Chua Soi Lek, Timbalan Presiden MCA Liow Tiong Lai dan lain-lain, cuba menyelindung fakta dan menyebelahi polis - diserang balas dalam dunia wacana. Maklumat internet telah mendewasakan warga Malaysia daripada sekadar menjadi "Pak Turut", kini memainkan peranan sebagai pemantau.

Kemudian, warga internet berebut-rebut menyiarkan gambar isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor yang didakwa memiliki cincin berharga RM24 juta, dan mengumpul banyak beg tangan Hermes Birkin yang berharga antara USD 9 ribu hingga 150 ribu - mendedahkan betapa mewahnya hidup keluarga PM. Kemewahan dan pembaziran ini membuatkan segala-gala usahanya untuk mendampingi rakyat atas nama "mesra rakyat" seolah-olah sindiran yang sinis terhadap rakyatnya. RM3 untuk makanan 1Malaysia? Wahai Perdana Menteri, sudah lama kami tidak menikmati makanan dengan lauk ayam dan ikan dengan harga RM3. (Bahagian pertama, bersambung)
*Chan Wei See ialah Ketua Pengarang MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 28 Disember 2011.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.